MOD pengangkutan konvensional di Malaysia dan hampir semua negara di dunia sama ada darat, air serta udara berhadapan masalah serupa, iaitu kesesakan lalu lintas. Rata-rata infrastruktur yang baru dibina hanya menampung keperluan jangka pendek sebelum laluan kembali sesak seperti asal atau semakin teruk. Kerajaan dengan dukungan pakar, ahli akademia dan industri sentiasa mencari jalan menangani kebuntuan ini.
Akhirnya, mod pengangkutan baharu diperkenalkan. Teknologi sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) atau dron dibangunkan sejak awal abad ke-21. Teknologi UAS kini dilihat menghampiri tahap matang untuk dibangunkan sebagai satu mod pengangkutan udara secara komersial untuk membawa penumpang dan barangan.
Perkembangan ini didukung beberapa organisasi penerbangan antarabangsa yang mengorak langkah memulakan pelaksanaan mod pengangkutan baharu itu. Antaranya Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menyasarkan pelaksanaan penuh mobiliti udara bandar (UAM) menjelang 2030. Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pula menetapkan semua UAS perlu diiktiraf menjelang November 2026 bagi membolehkan ia terbang secara bercampur dengan penerbangan yang dipandu juruterbang dalam suasana UAM.
Walaupun istilah UAS masih terlalu asing di Malaysia, ia tetap menuntut inisiatif dan kesungguhan nasional untuk memulakan pembangunan infrastruktur asas bagi menyokong perkembangannya di peringkat industri. Tindakan ini bukan sahaja bagi memastikan Malaysia bergerak seiring kemajuan dunia penerbangan antarabangsa malah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan ruang udara negara sentiasa terjamin dengan mengambil kira wujudnya ancaman operasi UAS tanpa kawalan yang semakin berleluasa di seluruh dunia.
Justeru, pembentangan Bajet 2023 yang baharu di Dewan Rakyat dijadualkan pada 24 Februari ini disaran memasukkan keperluan bajet untuk pembangunan UAS dan perkembangan UAM membabitkan aspek penyediaan infrastruktur asas, pembangunan organisasi dan institusi melahirkan modal insan berkelayakan, penggubalan peraturan dan garis panduan baharu, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kesedaran awam selain persediaan pihak keselamatan dan pertahanan negara.
PRU15
Imbau semula Bajet 2023 pada 7 Oktober 2022 yang terbatal berikutan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilangsungkan, tidak menyebut peruntukan atau pelan pembangunan UAS dan mod pengangkutan UAM secara khusus.
Namun, mengambil kira kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk mengekalkan cadangan yang bagus dalam Bajet 2023 terdahulu, maka kerajaan wajar mengekalkan rancangan dan peruntukan bagi pertumbuhan industri aeroangkasa, infra berkaitan terkesambungan jalur lebar, internet serta latihan modal insan berkaitan sektor tersebut dalam Bajet 2023 yang baharu kelak.
Jadi, Bajet 2023 amat kritikal sebagai titik permulaan dan kesungguhan kerajaan mencetuskan pertumbuhan industri UAS dan kepesatan mod UAM di negara ini. Pada sisi lain, kerajaan perlu tegas dan serius menghadapi ancaman serta pencerobohan terhadap ruang udara negara. Justeru, kerajaan perlu memulakan pembinaan badan keselamatan dan pertahanan awam untuk mendepaninya.
Ini bukan sahaja melibatkan penyediaan ekosistem teknologi UAS bagi kegunaan badan keselamatan dan pertahanan awam malah perlu mengambil kira strategi perlindungan ke atas tempat larangan dan ruang udara negara di sempadan laut mahupun darat, terutama sekali dalam usaha mengambil alih tadbir urus kawalan ruang udara kita yang masih lagi berada di bawah pengurusan Singapura sejak 1974.
Justeru, dalam Bajet 2023, kerajaan disaran melihat keperluan tindakan khusus dilakukan di Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan supaya mengambil kira keperluan mewujudkan geo-fencing ruang udara bagi semua tempat larangan dan lokasi tumpuan pemantauan keselamatan.
PENJARA
Dalam skop ini, penyediaan sistem pemantauan dan pengurusan ancaman UAS di tempat tumpuan utama seperti penjara dan bangunan kerajaan terutaman kem tentera serta stor simpanan senjata perlu diwujudkan.
Bajet untuk Kementerian Inovasi dan Multimedia juga kritikal selepas mengambil kira pembangunan kepakaran dan organisasi yang lengkap dengan pensijilan mengikut piawaian antarabangsa bagi memastikan produk inovasi UAS keluaran tempatan dapat dikomersialkan.
Kerajaan juga perlu melihat Program Digital Agritech MDEX demi mengambil kira keperluan pensijilan pusat latihan UAS bagi golongan petani dan B40.
Melihat kepada polar perubahan cuaca yang semakin ekstrem, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) amat memerlukan penyelarasan dan menyepadukan operasi UAS badan keselamatan dalam zon bencana secara beyond visual of sight (BVLOS). Ia hanya boleh dilakukan melalui pemantauan sistem Pengurusan Trafik UAS (UTM) yang boleh digerakkan ke mana-mana zon mengikut keperluan.
Selain itu, wujud keperluan penyediaan pakej data merangkumkan kedua-dua industri ini memandangkan infrastruktur dua organisasi ini saling bersilang. Dalam pada itu, strategi perkongsian data juga bukan sahaja akan dapat mengurangkan kos pembangunan dan penyelenggaraan yang diperlukan, malah dijangka dapat merendahkan kesan kos kepada pelanggan. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Sarjana Sains Pengurusan Kejuruteraan Penerbangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










