Judi: Negeri mana akan contohi Kedah?

Judi: Negeri mana akan contohi Kedah?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH dan syabas kepada kerajaan negeri Kedah dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengumumkan menghentikan operasi perjudian di negeri jelapang padi itu mulai 1 Januari lalu. Sebagai umat Islam, kita turut memuji ketegasan beliau yang tidak berganjak daripada keputusan itu walaupun ada desakan membatalkannya termasuk oleh DAP negeri.

Muhammad Sanusi berkata, jika kerajaan negeri berupaya meraih sehingga jutaan ringgit sekali pun, langkah serupa tetap akan dilaksanakan kerana kesan aktiviti judi kepada masyarakat lebih teruk untuk diatasi.

“Saya dah tengok pada tahun 2021 keseluruhan pendapatan kepada kerajaan di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri untuk premis-premis perjudian hanya sekitar RM400,000 setahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau RM400 juta pun saya nak stop juga, inikan pula RM400,000 lagi kena stop (kerana) kesan dia buruk, teruk. Nak ‘baiki’ masyarakat, ahli keluarga yang berselerak kerana bapa jadi tahi judi, balik tabuh (pukul) anak, tabuh mak, juai harta, curi duit kerana gila judi lebih teruk daripada RM400,000 kerugian itu,” tegasnya.

Dalam Islam, judi adalah antara perkara yang diharamkan. Judi ini pula gandingan mantapnya adalah arak. Pendek kata, judi dan arak berpisah tiada. Pengharaman judi dalam al-Quran adalah berlaku secara berperingkat.

Ini disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. (al-Baqarah: 219)

Di dalam bahasa Arab judi disebut sebagai al-Maisir. Ia bermaksud suatu bentuk permainan yang memakai atau menggunakan wang dan lain-lain sebagai taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu akan mendapat taruhan tersebut.

Islam mengharamkan semua unsur perjudian sama ada melalui permainan, hiburan dan sebagainya kerana judi adalah perbuatan keji, perbuatan syaitan serta berdosa besar. (Rujuk al-Maaidah ayat 90)

Bukan hanya Islam mengharamkan judi, undang-undang China turut mengharamkan aktiviti perjudian di seluruh negara itu kecuali Macau. Larangan itu dikuatkuasa selepas Parti Komunis China mengambil alih pentadbiran negara itu pada 1949 dan faktor ini dilihat mentransformasi industri judi dan pembangunan kasino di negara-negara Asia.

Judi adalah satu penyakit masyarakat yang berbahaya. Jika dibiarkan, ia ibarat barah iaitu penyakit yang merosak kehidupan, bukan sahaja kepada orang yang berjudi itu tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Orang yang terpengaruh dengan judi, hati mereka tertutup dan buta menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan hati agar segera dapat wang untuk dijudikan.

Judi juga mengakibatkan orang jadi malas, tamak dan rakus, hasad dengki dan dendam, suka menimbulkan persengketaan dan pergaduhan serta hilang harta benda dan tiada maruah.

Akhirnya boleh membawa manusia menjadi papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap anak isteri, masyarakat, negara dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah SWT.

Orang yang terkena virus tahi judi akan lupakan tanggungjawab kepada agama. Solat yang menjadi tiang agama, akan dilupa. Zakat dan haji pula entah ke mana. Yang menjadi ‘ratibnya’ siang malam adalah memadankan nombor-nombor.

TIKAM EKOR

Pantang terlihat kemalangan jalan raya, pantas dia menggabung atau menunggang terbalikkan nombor plat kenderaan yang terlibat. Lepas tu dijadikan modal untuk tikam ekor dan sebagainya. Malah, ada yang mempunyai buku khas menyimpan padanan nombor-nombor bagi tujuan berjudi.

Menurut harrogate-news.co.uk/2022, lima negara yang populasi rakyatnya paling ramai berjudi ialah Singapura, Finland, Australia, Ireland dan United Kingdom. Bentuk judi yang paling diminati adalah kasino.

Walaupun begitu, dua negeri di Amerika Syarikat iaitu Utah dan Hawaii telah mewartakan semua bentuk perjudian adalah haram dijalankan sama ada secara terbuka mahupun tertutup. Ia dicatat dalam artikel Robert M. Jarvis di Gaming Law Review and Economics pada tahun 2010 berjudul Gambling in Hawai’i and Utah.

Penduduk Hawaii menentang aktiviti perjudian kerana mereka melihat aktiviti tidak berfaedah ini akan menghilangkan suasana harmoni kekeluargaan sekali gus boleh menimbulkan banyak isu sosial termasuk huru-hara.

Selain itu, pada 15 Jun 2020, The Guardian menerbitkan suatu artikel yang mendedahkan perincian penyelidikan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen United Kingdom, sebelum ini berjaya berkempen untuk mengharamkan pertaruhan kad kredit dan menggesa kawalan lebih ketat ke atas sektor yang telah berkembang pesat.

Mereka membuat cadangan amat relevan iaitu mengharamkan iklan perjudian yang memerlukan perubahan besar terhadap undang-undang perjudian Akta Perjudian 2005 pernah diperkenalkan di bawah kerajaan Tony Blair lebih sedekad lalu.

Di Malaysia, Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG), Dr. Toh Kin Woon juga menyokong kempen pemansuhan judi sukan yang telah dilaksanakan oleh Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) pada 2010.

Malah beliau yang juga bekas exco kerajaan negeri Pulau Pinang dari parti Gerakan mengajak semua masyarakat menyertai Himpunan 100,000 Memansuh Judi Sukan di Kuala Lumpur pada 3 Julai 2010.

Antara hasilnya, kerajaan tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascott Sports Sdn. Bhd. setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang majoriti daripadanya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan pada Jun 2010.

Islam tidak pernah mengajar umatnya supaya mendapatkan rezeki daripada sumber tidak halal, melainkan memerintahkan umatnya mencari dan makan daripada benda-benda yang baik dan halal. Salah satu sumber tidak halal itu ialah judi.

Janganlah ada hendaklah para bapa bangga dengan wang yang banyak hasil daripada judi untuk dibawa pulang sebagai nafkah isteri dan anak-anak.

Sumber yang haram tidak berkat untuk keluarga selain akan menjadi bahan utama bakaran api neraka di akhirat kelak.

Ketahuilah, syaitan mempergunakan al-maisir sebagai tempat menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama manusia selain menjadi penghalang pelakunya daripada mengingati Allah.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil? (Al-Maaidah: 91)

Selepas Kedah, kita menanti negeri mana pula akan mencontohinya. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×