KITA hargai permohonan maaf tulus ikhlas Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi Twitter beliau berhubung kelewatan sidang akhbar pada 5 Januari lalu.
“Berhubung kelewatan sidang media petang tadi (5 Januari), saya sedar keluhan rakan pengamal media. Jemputan media diuruskan pihak lain. Saya hadir mesyuarat dan sidang media dengan garis masa yang dijadualkan kepada saya. Namun walau apa jua alasan, saya secara peribadi mohon maaf kepada rakan media,” tulis beliau.
Dan Menteri Dalam Negeri itu sekali lagi mengulangi permohonan maaf pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pengurusan Pekerja Asing, lima hari kemudian terutama kepada pengamal media yang terkesan menunggu tiga jam pada hari kejadian yang dianggap di luar kawalan beliau.
Media bukanlah mahu dianggap ‘diva’ yang perlu dilayan bagai raja. Sebagai agensi media yang bertanggungjawab, keberadaan kami di lokasi adalah usaha untuk mendapatkan laporan tepat atau first hand information daripada sumber.
Ia tidak sekadar hanya duduk di kerusi pejabat, copy berita daripada agensi lain dan menyalin semula di portal masing-masing, semata-mata mahu mendapatkan hits tinggi daripada pembaca. Tidak semudah itu.
Oleh itu, komunikasi itu penting. Peranan komunikasi korporat yang ada di kementerian atau agensi masing-masing amat mustahak. Study dahulu setiap majlis yang memerlukan liputan media. Sediakan tentatif lengkap supaya media boleh buat anggaran masa untuk hadir dalam majlis berkenaan.
Jika melibatkan sidang akhbar selepas mesyuarat diadakan, maka janganlah letak masa kehadiran media sama waktu dengan mesyuarat itu bermula. Bezakan waktu yang memerlukan rakaman gambar atau video oleh jurugambar untuk hadir awal berbanding wartawan. Jadi, tidaklah berlaku kes ‘sidai’ ini.
Ini adalah tip percuma kepada agensi perhubungan awam supaya media senang hati untuk membuat laporan tentang agensi anda. Kami percaya setiap laporan yang disiarkan media berkaitan agensi berkenaan amat bermakna. Siaran percuma tanpa bayaran.
Peranan media adalah amat penting terutama bagi pihak kerajaan sebagai jambatan penghubung dengan masyarakat. Ia juga menjadi platform membawa suara masyarakat untuk perhatian kerajaan supaya setiap polisi digubal adalah mengikut keperluan sebenar rakyat.
Bagaimanapun, kerajaan perpaduan yang kini diterajui PMX (Perdana Menteri ke-10), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat lebih terbuka dalam memberi peluang kepada media untuk melaporkan program berkaitan kerajaan. Termasuklah mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet yang disampaikan sendiri Anwar. Sudah lama sidang akhbar ini ‘ditiadakan.’
Langkah ini juga sebagai satu peluang kepada media untuk bertanya soalan dan dijawab sendiri oleh PM untuk apa sahaja isu, tidak hanya terhad untuk media melaporkan mengikut naratif yang disediakan melalui kenyataan akhbar.
STIGMA
Kekerapan PM atau menteri bertemu dengan media untuk menjawab segala isu tanpa sekatan memberi persepsi berbeza kepada rakyat bahawa pasukan Kabinet hari ini adalah berwibawa dalam membela nasib mereka, setidak-tidaknya memberikan respons pantas walaupun tidak ada tindakan segera.
Jangan melihat media hanya tahu mencari berita sensasi atau cuba meletakkan stigma bahawa media suka memanipulasi fakta atau memutarbelit jawapan sebagai sandaran untuk mengelak bertemu media.
Dalam kebanjiran berita palsu dengan kebergantungan masyarakat kepada maklumat melalui media sosial, setiap isu dibangkitkan untuk perhatian kerajaan ada kalanya perlu dijawab segera sekali gus boleh menghentikan polemik daripada terus didakyahkan oleh ‘wartawan jadian.’
Gunakan media untuk menyampaikan usaha kerajaan kerana banyak polisi yang baik sepatutnya diuar-uarkan kepada rakyat, bukan hanya tersimpan dalam fail. Sekurang-kurangnya rakyat tahu apa kerajaan buat dan setiap sen cukai dibayar rakyat, ada manfaat.
Namun perlu diingatkan juga, setiap maklum balas atau kenyataan media rasmi yang mahu dikeluarkan wajib dipastikan dalam bahasa kebangsaan. Sama ada ia mahu diterjemahkan ke dalam bahasa selain bahasa kebangsaan, itu pilihan.
Perkara itu sejajar dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 – Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam. Pekeliling itu turut menyebut, terjemahan bahasa lain boleh disertakan sebagai dokumen lampiran bagi memastikan maksud asal maklum balas tidak disalahtafsirkan.
Ia sebagai usaha mempekasakan penggunaaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam dilaksanakan secara menyeluruh dan digunakan dengan betul dalam semua urusan rasmi sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.
Apa pun, usaha Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk mendengar sendiri isu-isu yang melingkari media dalam melaksanakan tugas mereka juga amat dihargai dalam pertemuan bersama Kelab Media Putrajaya, baru-baru ini. Sekurang-kurangnya beliau memperoleh maklumat secara terus daripada kumpulan mereka yang berada dalam industri ini supaya dapat mengelak atau mengurangkan masalah seumpamanya yang mungkin berlaku kemudian nanti.
Ini termasuk jaminan beliau untuk cuba memudahkan pihak media bagi mendapatkan maklumat daripada kerajaan tanpa karenah birokrasi. Ini kerana selalu berlaku apabila maklum balas yang diminta, kena ‘sidai’ berbulan-bulan.
Sebagai menteri yang bertanggungjawab memayungi golongan media, pendirian beliau amat jelas bahawa tidak perlu ada diskriminasi antara media dengan mengiktiraf media tertentu sebagai media rasmi kerajaan untuk membuat liputan tertentu. Semua media adalah sama rata sebagai menyokong hak kebebasan media.
Terima kasih YB (Yang Berhormat). Satu permulaan yang baik. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya










