Henti bagi alasan kartel, monopoli, kurang bekalan

Henti bagi alasan kartel, monopoli, kurang bekalan

KERAJAAN perlu ada inisiatif luar kotak yang mampu melindungi ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEKITARAN ekonomi tahun ini diramalkan lebih mencabar berbanding 2022 sehingga dilaporkan bakal mencetuskan ribut ekonomi dalam kalangan rakyat.

Bank Dunia sebelum ini memberi amaran, ekonomi global dalam keadaan ‘bahaya’ dan sedang menghampiri kemelesetan selepas data inflasi menunjukkan peningkatan. Kadar faedah juga terus meningkat dan bebanan hutang terus melonjak di negara sedang membangun. Akibatnya, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global daripada 3.0 kepada 1.9 peratus iaitu menghampiri paras kemelesetan.

Senario ekonomi global ini bukan sahaja mengancam ekonomi Malaysia tetapi turut memberi kesan besar kepada negara maju lain. Misalnya, kadar pertumbuhan ekonomi United Kingdom (UK) dijangka menjadi kedua paling lemah dalam kalangan ekonomi besar dunia pada tahun ini.

Oleh itu, banyak yang perlu kita lakukan agar dapat menempuh dan mengharungi pelbagai dugaan ekonomi yang bakal tercetus pada tahun ini. Dalam hal ini, kerajaan dan masyarakat masing-masing mempunyai tanggungjawab berat dalam memastikan kita boleh bertahan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Misalnya, Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari ini dilihat sangat signifikan dalam menentukan hala tuju proses pemulihan dan pembangunan ekonomi rakyat dan negara.

Umumnya, rakyat meletakkan harapan besar terhadap bajet yang disemak semula ini kerana golongan terkesan khususnya berpendapatan rendah (B40) serta sederhana (M40) mahukan lebih banyak inisiatif berbentuk bantuan jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk bantuan tunai bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru, inilah masanya kerajaan perpaduan mendengar keluh kesah dan merasai denyut nadi rakyat seterusnya membentangkan perancangan dan pelan pemulihan ekonomi yang lebih segar, proaktif dan efisien.

Ringkasnya, perlu ada inisiatif luar kotak yang bukan sahaja mampu melindungi ekonomi negara daripada terkena tempias kemelesetan global tetapi turut boleh memacu pertumbuhan lebih mampan sekali gus menjaga kebajikan rakyat.

Selain itu, kerajaan perlu terus memberi perhatian khusus untuk mengurangkan kos sara hidup serta menambah aliran tunai rakyat. Misalnya, perlu ada mekanisme lebih efisien untuk mengawal kenaikan harga barang keperluan harian. Rakyat tidak mahu dengar lagi alasan kenaikan harga dikawal oleh kartel dan ditentukan oleh elemen monopoli pasaran mahupun berpunca daripada kekurangan bekalan kerana pengeluaran terhad. Tapi kita mahu melihat apa langkah dan tindakan yang boleh kerajaan buat dengan menggunakan kuasa yang ada untuk melindungi hak serta kebajikan rakyat daripada terus ditindas oleh kelompok peniaga.

PAKAIAN BAHARU

Di samping itu, kerajaan juga perlu kawal perbelanjaan dengan cara lebih berjimat cermat dan mengelak pembaziran. Dalam hal ini,. agensi awam misalnya perlu menyahut saranan Perdana Menteri yang mahukan jabatan kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran serta pembelian pakaian baharu.

Dalam konteks lebih makro, kita juga berharap kerajaan tidak merancang sebarang projek mega baharu yang tidak menjadi keutamaan pada ketika ini ataupun tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat. Ini termasuk menyemak semula perancangan projek berskala besar sedia ada untuk dilaksanakan pada tahun ini. Jika boleh, eloklah ditangguh atau dibatalkan terus.

Di samping itu, kerajaan perlu memastikan tidak berlaku lagi sebarang ketirisan dalam dana awam terutama melalui penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam hal ini, elemen tatakelola dan tadbir urus yang baik perlu terus menjadi agenda utama dan nadi pentadbiran Anwar.

Tatkala kerajaan dituntut melaksanakan tanggungjawab membantu rakyat, kita sebagai individu perlu memainkan peranan untuk melindungi ekonomi diri dan keluarga. Pada zaman sukar ini kita perlu mengawal perbelanjaan harian dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Misalnya, bantuan tunai yang kerajaan sediakan seperti Bantuan Tunai Rakyat 2023 Fasa 1 melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang, Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, Bantuan Tambahan kepada pekebun kecil getah serta Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2023 kepada penjawat awam dan pesara kerajaan wajar digunakan dengan cermat bagi mengharungi cabaran ribut ekonomi.

Selain itu, masyarakat juga disaran terus menyemai budaya menyimpan atau menabung supaya dapat digunakan ketika kecemasan. Kita perlu menabung walaupun dalam jumlah sedikit dan buatlah secara konsisten melalui kaedah ‘simpan secara paksa’ yang akhirnya akan memberi manfaat besar bila tiba masanya.

Di samping itu, anggota masyarakat yang berkemampuan dari segi fizikal serta mempunyai peluang terutama masa turut digalakkan melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan diri dan keluarga. Ini termasuklah membuat perniagaan secara dalam talian, pekerjaan gig mahupun menggunakan platform media sosial bagi menjana pendapatan seperti menjadi pengulas produk dan pempengaruh.

Malah suri rumah juga boleh membantu menjana pendapatan sampingan untuk meringankan beban suami dengan menyertai pelbagai program yang kerajaan sediakan. Misalnya, menyertai program Rezeki Suri yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang membolehkan suri rumah menjual 11 barangan asas dengan bekalan terus daripada pengilang. Ini pastinya dapat memperkasa ekonomi suri rumah daripada golongan B40 sekali gus menjadi punca pendapatan bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Jujurnya, ramalan ribut ekonomi 2023 cukup membimbangkan. Justeru, kerajaan dan rakyat perlu membuat persediaan rapi agar dapat mengharungi segala jenis ketidaktentuan ekonomi yang bakal melanda. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×