MENGENANG cerita lucu pada zaman kanak-kanak sering membuatkan saya tersenyum sendiri. Ketika itu, saya suka meniru apa sahaja yang dilakukan oleh kakak-kakak. Mereka hebat pada mata saya, justeru, saya juga mahu menjadi sehebat mereka.
Memasuki usia lima tahun, saya tertarik tatkala mendengar kakak-kakak bercerita tentang azam tahun baharu mereka. Saya mendengar dengan teliti dan bertanya pelbagai soalan untuk memahami apa yang mereka perkatakan. Setelah itu apa lagi, bergegas mencari kertas untuk menulis apa yang mahu saya capai pada tahun tersebut.
Azam dan angan-angan tidak banyak perbezaannya bagi kanak-kanak pada usia itu. Saya senaraikan apa sahaja yang tergambar di fikiran. Anak kecil cuma mampu memikirkan apa yang mereka mahu tanpa memikirkan boleh tidaknya dicapai mereka. Namun, tanpa disedari kadangkala kita turut bertindak seperti kanak-kanak dalam keterujaan memasang azam tahun baharu.
Baru-baru ini, saya terjumpa satu video di mana secara santai perakamnya cuba menyedarkan kita akan hal ini. Lucu dan menghiburkan tetapi ia benar-benar membuka mata untuk melihat hakikat di sebalik kebanyakan azam tahun baharu yang biasa kita tetapkan.
Bagi anak muda, ramai terpengaruh dengan suasana persekitaran kerana ingin diterima kelompok yang mereka kagumi. Maka azam yang dipasang akan berkait dengan trend semasa pada saat itu tanpa memikirkan baik buruknya mahupun sama ada mereka mampu mencapainya. Ada yang berazam ingin membeli peranti tercanggih di pasaran walaupun harganya di luar jangkauan serta tidak diperlukan. Ada juga berazam mencapai impian melangit di luar kemampuan mereka sebelum bermulanya tahun hadapan. Tidak kurang juga melakar azam tahun baharu hanya untuk dikongsi di media sosial semata-mata menuruti trend dan bagi mencuri tumpuan pengguna lain.
Hidup di alaf baharu mempunyai pelbagai cabaran khususnya pengaruh media sosial. Justeru, kita mesti bijak mengelak diri daripada hanyut dalam perangkap mentaliti khalayak di alam maya yang akan membelenggu kehidupan. Malah ia patut dijadikan azam tahun baharu bagi mereka yang terkesan dengan hal tersebut. Apa gunanya kita memasang azam jika ia semata-mata untuk memenuhi tuntutan persekitaran?
Apa sahaja azam yang ditetapkan, ia harus menjadi dorongan untuk kita berusaha menjadi insan lebih baik dari hari ini. Setiap insan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Maka, sewajarnya kita bertekad untuk memperbetulkan dan memperbaiki diri sendiri serta menjauhi segala perkara yang boleh merosakkan diri kita baik dari segi fizikal mahupun kerohanian.
TAKDIR
Banyak perkara boleh kita perbaiki agar menjadi insan lebih berjaya. Ini termasuk hal-hal berkaitan disiplin diri seperti ibadat, amanah, pengurusan masa, tatacara dan tatalaku ketika bekerja serta banyak lagi.
Sangatlah bermanfaat jika kita berazam untuk fokus kepada perkara-perkara asas sebegini sebelum mengejar sesuatu yang terlalu besar. Malahan, sesuatu yang dikira hebat di mata khalayak, belum tentu akan membawa kebaikan secara keseluruhannya kepada kita sekiranya hal asas seperti ini dipinggirkan.
Dalam mengejar apa yang diazamkan, kita mesti sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah. Jangan pula terlalu kecewa jika gagal mencapai apa yang kita usahakan kerana sebaik mana pun perancangan, tidak akan dapat menentang takdir Allah. Adakalanya berlaku musibah yang tidak diduga dan mengakibatkan seluruh kehidupan kita berubah dalam sekelip mata. Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan di tengah hari.
Justeru, kita harus sentiasa berazam untuk meningkatkan keimanan agar dapat membina sikap sabar tatkala menghadapi rintangan.
Hari ini, memasang azam tahun baharu bukanlah perkara integral bagi diri saya. Kita boleh memasang azam pada bila-bila masa dan tidak perlu menunggu tarikh tertentu. Apa yang penting ialah kesedaran serta usaha keras untuk mencapai cita-cita serta mencari keredaan Allah pada setiap masa. Bukan semua yang dihajatkan boleh dicapai hanya menerusi usaha diri kita secara perseorangan. Ada perkara yang hanya dapat menjadi kenyataan menerusi usaha kolektif daripada setiap ahli masyarakat seperti keharmonian dan kemakmuran negara. Kadangkala ia bergantung kepada kecekapan serta keputusan pemimpin negara dan pembuat dasar. Contohnya, kemudahan infrastruktur lebih baik atau harga makanan lebih rendah.
Kesemua kita sudah tentu mengharapkan tahun ini akan membawa limpahan rahmat dan keberkatan serta menjanjikan kehidupan lebih baik dan dijauhkan daripada segala malapetaka. Saya berdoa agar keadaan dalam negara kita kembali stabil dan kehidupan rakyat tidak lagi terhimpit dengan pelbagai masalah. Maka kita mesti berazam untuk menjadi rakyat yang setia pada negara serta tidak mencabar apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan agar negara dapat kembali makmur.
Kita tidak boleh hidup secara bersendirian dan hanya mementingkan diri sendiri kerana harta yang kita miliki tidak akan memberi apa-apa makna jika negara berada dalam keadaan bergolak. Malah, kita terpaksa hidup dalam ketakutan dan keselamatan akan tergugat. Apa gunanya harta yang melimpah ruah jika institusi keluarga tidak terjaga dan hancur berkecai?
Ingatlah tanggungjawab kita terhadap agama dan tanah air. Alangkah moleknya jika azam tahun baharu kita turut merangkumi hal-hal kerohanian dan kenegaraan agar kehidupan seluruh masyarakat lebih makmur dan sejahtera.
Selamat menyambut tahun baharu 2023. Semoga impian kita semua menjadi kenyataan. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










