Awasi padah politik celaru

Awasi padah politik celaru

PENGUNDI pertama kali tidak seharusnya dipersalahkan atas keputusan PRU15 sebaliknya menjadi tanggungjawab parti-parti politik mematangkan golongan itu. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DESUS-DESAS ekoran persidangan parti komponen perpaduan baru-baru ini banyak memberi pengajaran kepada siapa yang tersentuh nalurinya. Mengimbau balik apa yang berlaku, ada beberapa pertimbangan boleh diambil untuk mengelakkan politik celaru membudaya akibat desakan tertentu.

Ada tiga aspek utama sekurang-kurangnya. Pertama, sebelum persidangan tersebut, soal etika dan moral muncul sebagai turut celaru.

Cubaan menggulingkan kerajaan di sebuah ‘wilayah’ (istilah mengikut pengumuman rasmi mutakhir) adalah sejelas-jelas bukti. Mereka yang terlibat membayar dengan harga begitu mahal dan tersempit apabila Perdana Menteri dilaporkan merestui ketua menteri yang ada. Tanpa perubahan.

Anehnya, tindak-tanduk liar tersebut mendapat restu daripada pihak parti induk di Semenanjung. Dan bukan dianggap suatu ‘pengkianatan’ sepertimana dikenakan kepada sekumpulan lain oleh kepemimpinan parti yang sama. Tambahan pengawasan diteruskan walaupun kononnya telah ‘dimaafkan.’

Ternyata ada semacam dua tafsiran yang agak berbeza. Seolah-olah mengguling kerajaan yang sah secara haram dianggap perbuatan lebih ringan daripada yang satu lagi. Jika betul, ia boleh menyebabkan kecelaruan gila-gila buat masa hadapan kelak. Misalnya, sudah pun ada desakan agar ‘Bossku’ dihakimi semula selepas sembilan hakim bersetuju dia bersalah.

Kedua, tohmahan ditujukan kepada Undi18 yang dilaksanakan buat kali pertamanya. Setelah usaha menurunkan usia kepada 18 tahun mengalami pelbagai liku politik yang tidak menentu termasuk kurang bersedia, akhirnya dipersetujui Parlimen dengan agak mudah. Maka semua pihak sebenarnya tahu dan sedar akan adanya jutaan pengundi baharu yang turut membulatkan keputusan pilihan raya umum (PRU) seterusnya.

Dalam suasana yang hala tujunya kelam kabut, pembacaan politik turut samar-samar. Dalam kesamaran ini, para pengundi pertama kali mungkin membuat pelbagai tafsiran luar jangkaan. Ini tidak bermakna mereka boleh dipersalahkan walaupun kematangan politik adalah satu faktor penting.

Oleh itu menjadi tanggungjawab pihak parti politik berusaha lebih gigih bagi mematangkan mereka.

Dari satu segi, ia merupakan peluang keemasan untuk ‘mempengaruhi’ mereka atas kesamaran yang ada supaya difahami dan diselami mengikut selera serta gaya yang serasi dengan kehendak anak muda.

Soalnya, adakah langkah sewajarnya sudah dilakukan? Jika belum, Undi18 tidak boleh dirunguti hanya kerana undi mereka tidak membawa laba sebagaimana dijangkakan oleh setengah pihak.

Lumrah pihak yang kalah sentiasa mencari sebarang alasan tidak ubah pengguling haram yang akhirnya jatuh berguling-guling dari puncak tinggi ke lembah kehinaan. Meskipun ada pihak memberi pelbagai alasan itu dan ini, tetapi tidak akan menyalahkan diri sendiri. Sering semua jari dihalakan kepada orang lain belaka seperti kes Undi18. Walhal mengikut para penganalisis politik yang lebih berwibawa, sebab sebenarnya berkait rapat dengan pertimbangan terhadap isu tertentu.

Sebagai contoh, penglibatan individu yang dianggap amat berpengaruh serta berpengalaman tidak diberatkan. Ada yang pernah menjadi menteri berpenggal-penggal lamanya. Maka tidak kiralah sama ada ia keputusan perseorangan atau kelompok terbabit. Pokoknya, andaian yang dibuat tidak tepat, bahkan mungkin tersalah niat yang boleh membawa padah tersendiri.

Umum mengakui ada juga yang tidak selesa dengan soal rasuah atau perasuah. Kalau betul, ini satu lagi kercelaruan yang amat sukar diselesaikan.

KEMUNCAK

Ketiga adalah kemuncak celaru kerana menusuk jiwa dan roh parti itu sendiri. Sebagai sebuah parti kebangsaan atau nasionalis, sudah barang tentu ia diwarnai oleh satu rumpun bangsa utama, Melayu misalnya.

Dan bangga mewakili jiwa dan adat serta resam budaya rumpun tersebut. Bukan sekadar pakaian, hiasan luar dan rupa bangsanya, lebih penting lagi nilai, benak dan maruahnya seperti tercatat dalam ribuan peribahasa serta puisi tentang budi dan peradaban tinggi masyarakat Melayu.

Ia pernah dikenali dunia sebagai tamadun besar apatah lagi didasari agama yang agung sifatnya. Si polan yang berpegang prinsip dan falsafah sedemikian dijemput masuk dengan harapan bahawa rumpun bangsa itu akan membumikan kehadirannya seantero. Disegani, diteladani dan dikukuhi pengaruhnya agar tidak hilang di dunia – bak kata seorang laksmana kepada zuriat mendatang.

Sepatutnya begitu juga parti serumpun yang bermaruah jati. Berani dan tegas. Tidak berdolak-dalik. Hari ini tidak boleh, lusa boleh belaka. Semuanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Lidahnya bercabang, hatinya berkulat. Ini bukan lagi parti serumpun yang dimaksudkan kerana tidak merumpunkan yang ada. Sebaliknya bercakaran, bersepak terajang, berdendam kesumat. Lebih-lebih lagi ia bukan cara yang dianjurkan oleh bangsa yang pantas berbudi bahasa, berbudi pekerti dan berbudi bicara dalam memartabatkan rumpunan yang sama! Bak aur dengan tebing, bak kiambang yang mudah bertaut.

Paling malang, apa yang amat mencelarukan ketika kedengaran dengan lantang dakwaan yang kononnya bekerjasama dengan rumpunan lain lebih baik dan selesa daripada rumpun sendiri. Pun begitu, timbalan pengerusi parti berkenaan menuduh sebaliknya. Hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong! Apatah lagi parti itu pernah menolak kerjasama dalam suatu perhimpunan pra-PRU15. Sekali gus menghantui celaru tahap tertinggi apabila prinsip pegangan utama berubah-ubah dengan sewenang-wenangnya sehingga menempa padah yang mencela jati diri bangsa.

Pergelutan ini bertambah kusut apabila berlumuran pula rasuah dan perasuah yang mengkaburi lagi setiap langkah dan niat. Ekoran itu, satu lagi igauan besar timbul dalam memahami makna kalimat asal ‘kebangsaan’ yang sudah mula berbaur kepelbagaian! Dikuatkan pula dengan pengakuan yang rumpunan lain lebih terkenal dengan slogan Malaysian Malaysia menjadi pilihan utama.

Ternyata ini tidak salah, asalkan sahaja keputusan serta tindakan yang diambil tidak mempersendakan diri serta melesukan rumpun sendiri dan lebih mudah dilenyapkan dari muka dunia hari demi hari. Semua akibat kecelaruan yang menggila dan tidak lagi demokratik. Adakah nasi dibiarkan menjadi bubur gara-gara politik celaru? – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×