ENAM negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mesti mengadakan pilihan raya negeri (PRN) selewat-lewatnya Ogos hingga September 2023.
Ini memberikan peluang baik kepada 46 peratus daripada semua pengundi membuat bukan sahaja penilaian hujung penggal untuk kerajaan-kerajaan negeri, tetapi juga penilaian untuk Kerajaan Persekutuan.
Penilaian ini kurang bermakna jika kadar mengundi rendah kerana ramai yang enggan keluar atau tidak pulang mengundi.
Diadakan 20 hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kadar mengundi di kawasan Parlimen Padang Serai dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman cuma 69 peratus dan 57 peratus.
Dengan tekad politik, Kerajaan Persekutuan dan enam kerajaan negeri boleh bersama-sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tiga langkah untuk menaikkan kadar mengundi.
TETAPKAN TARIKH PENGUNDIAN
Langkah pertama, menetapkan tarikh mengundi terlebih awal kerana pilihan raya mengejut amat membebankan pengundi sampai ada yang berasa malas mengundi.
Apabila Perdana Menteri seronok sendiri ‘mencari inspirasi’ untuk memohon pembubaran awal Parlimen, rakyat disusahkan kerana tidak dapat merancang masa mereka ke depan.
Bukan sahaja pengundi, malah bagi kakitangan kerajaan, polis dan pekerja parti terlibat dalam urusan pilihan raya, sebarang rancangan untuk bercuti, berkenduri malah berkahwin boleh terganggu bila tiba-tiba sampainya ‘inspirasi’.
Untuk PRN enam negeri ini, kita seharusnya mencontohi Jerman, New Zealand dan Kanada yang tarikh pengundian boleh dijangka awal-awal lagi kerana kerajaannya akan melengkapkan tempohnya dalam keadaan biasa.
Kecuali Pulau Pinang, DUN di lima negeri lain akan terbubar dalam lingkungan sembilan hari, bermula 25 Jun 2023 untuk Selangor dan berakhir 3 Julai 2023 untuk Kedah.
Maka, jika kesemua lima negeri mengumumkan ketetapan mereka untuk menghabiskan tempohnya, maka SPR sudah boleh tentukan dan umumkan tarikh pengundian, selewat-lewatnya pada 24 Ogos 2023 untuk memenuhi kehendak 60 hari dari pembubaran.
Untuk Pulau Pinang, kerana DUN hanya terbubar pada 1 Ogos 2023, maka Ketua Menteri boleh memohon sekarang restu Yang Dipertua Negeri untuk pembubaran awal di antara 25 Jun dan 3 Julai 2023.
KEMUDAHAN UNDI JARAK JAUH
Langkah kedua, menyediakan kemudahan untuk pengundi di luar negeri untuk mengundi jarak jauh dan terlebih awal, supaya mereka tidak perlu menjelajah jauh untuk pulang mengundi.
SPR boleh membuka pusat pengundian jarak jauh di semua ibu negeri dan bandar-bandar besar lain untuk pengundi datang mengundi lebih awal, katakan sepanjang seminggu sebelum hari pengundian. Ini turut boleh dilaksanakan di sesetengah kedutaan kita.
Undi-undi yang dibuat mengikut kawasan masing-masing kemudian dihantar balik pada atau sebelum hari mengundi untuk dikira oleh pegawai pengurus pilihan raya.
Kos tambahan untuk membuka dan menyelenggarakan pusat-pusat pengundian ini jauh lebih rendah berbanding kos perjalanan dan risiko kemalangan ditanggung oleh pengundi balik kampung, kos kehilangan masa dan pencemaran ditanggung pengguna jalan raya kerana kesesakan lalu lintas, serta gangguan kepada operasi sektor swasta kerana cuti.
Kalau Kementerian Kesihatan berjaya menyelenggarakan dengan teratur sekali pusat pemberian vaksin untuk prosedur lebih rumit dan masa lebih panjang, tiada alasan mengapa SPR tidak dapat menyediakan kemudahan mengundi seperti ini.
Lebih-lebih lagi kalau tarikh PRN dapat ditentukan lapan bulan lebih awal, dan pengundi perlu mendaftarkan beberapa bulan terlebih dahulu. Mahu seribu daya, enggan seribu dalih. Halangan untuk kemudahan mengundi jarak jauh ialah pandangan ketinggalan masa bahawa pengundi mesti bermastautin di kawasannya.
Jangkaan ini tidak serasi dengan era mobile sekarang di mana ramai tinggal, bekerja dan memiliki hartanah di tempat-tempat lain. Dalam kata lain, kepentingan mereka terselerak dan tidak semestinya paling terikat dengan tempat tinggal semasa, terutama petugas projek, pekerja sementara dan pelajar.
Lebih-lebih lagi, jika seseorang itu berasa undinya lebih bermakna dan bernilai di Pasir Puteh, Kelantan daripada di Seputeh, Kuala Lumpur, patutkah dan dapatkah kita memaksa dia menukar alamat ke Seputeh?
Di bawah sistem persempadanan sekarang, jika semua pengundi mesti berdaftar di tempat tinggal semasa, kawasan pilihan raya di pusat bandar dan negeri-negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang akan lebih padat pengundi, manakala kawasan pedalaman dan negeri-negeri lain akan kehilangan pengundi.
Kalau tidak ingin kadar mengundi serendah 57 peratus di DUN Tioman, Kerajaan Persekutuan dan enam kerajaan negeri terlibat harus meminta SPR menyiapkan kemudahan mengundi jarak jauh ini sebelum PRN.
PERMUDAHKAN PENGUNDIAN POS
Langkah ketiga, kaedah yang mesti dipakai untuk kebanyakan anak watan di luar negara. Proses pengundian pos kita mengambil masa panjang kerana kertas undi hanya boleh dicetak selepas penamaan dan perlu dimasukkan ke dalam dua sampul surat sebelum dihantar keluar, semuanya dilakukan oleh manusia.
Kecuali kita panjangkan tempoh kempen ke tiga minggu, maka ramai pengundi luar negara akan terus menerima kertas undi selepas hari pengundian atau terpaksa mencari sukarelawan untuk bersusah payah mengirimkan kertas undi balik ke Malaysia.
Kerumitan ini salah satu sebab utama cuma 48,109 daripada anggaran lebih sejuta anak Malaysia di luar negara memohon undi pos dalam PRU15. Cara penyelesaiannya mudah sahaja, benarkan pengundi di luar negara yang mendaftarkan diri di laman MySPR secara selamat untuk memuat turun kertas undi masing-masing sebaik sahaja selepas hari penamaan untuk dikirim balik. – UTUSAN
Bukan tuah impian terjadi,
Indah mawar tetap berduri,
Permudahkan urusan mengundi,
Baru bermakna pilihan raya negeri.
PROFESOR Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN) di Universiti Sunway.











