SELAIN karya bahasa kebangsaan dan Inggeris, sejak 1960-an sastera Tamil tempatan turut mengangkat latar belakang Malaysia dan tema berkaitan kaum India di negara ini. Akan tetapi, sebagaimana diakui para pengkaji cerpen dan novel Tamil, bahasa vernakular yang digunakan menyebabkan karya berkenaan hanya mampu dinikmati khalayak Tamil.
Mengikut data rasmi, terdapat minimum 1,000 penulis Tamil sepenuh masa di Malaysia, sementara ribuan lagi menulis dari semasa ke semasa. Sekitar 1,500 penulis Tamil menjadi ahli Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia dan memilih untuk menulis dalam bahasa ibunda sahaja.
Dalam situasi seperti inilah para penterjemah memainkan peranan. Antara pelopor terjemahan karya Tamil kepada bahasa kebangsaan ialah G. Soosai dan Joseph Selvam. Maklumat terperinci mengenai usaha mereka didokumentasi dalam buku Kavya Sastra (2021), iaitu hasil kajian saya bagi tesis sarjana sastera. Sepanjang membuat kajian itu, saya gagal menghubungi seorang lagi pelopor bidang terjemahan, iaitu
Palaniappan Periannan. Beliau pernah menterjemah empat cerpen Tamil untuk dimuatkan dalam antologi Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (1977) selenggaraan Harun Abdullah.
Baru-baru ini, Dr. Sivabala Naidu yang memulakan tugas di Universiti Antarabangsa Quest, Ipoh, Perak membantu saya menghubungi Palaniappan yang turut menjadi tenaga pengajar di sana. Saya amat teruja kerana berpeluang mendapatkan jawapan bagi beberapa pertanyaan.
Misalnya, Palaniappan pernah menterjemah empat esei tulisan R. Dhandayudham untuk siaran di majalah Dewan Sastera pada 1984. Selepas itu, beliau tiba-tiba hilang dari radar. Hasil perbualan telefon, saya mendapat tahu beliau kini menjangkau usia 80 tahun dan tinggal di Lahat. Beliau lahir di Ladang Kelapa Bali, Slim River dan pernah juga menjadi guru di sekolah Tamil di sana selama tiga setengah tahun.
“Saya mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang bahasa, sastera dan budaya Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1975, lalu menjadi guru di Sekolah Menengah Kepong. Kemudian menyambung pengajian di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) sehingga mendapat ijazah sarjana pada 1981,” Palaniappan bercerita dengan penuh teruja.
Bermula 1978, beliau sudah menjadi tenaga pengajar di Jabatan Pengajian India, UM. Dr. S. Singaravelu menjadi ketua jabatan pada waktu itu dan banyak memberi motivasi kepada Palaniappan untuk menulis.
Salah satu artikel yang menarik perhatian saya ialah Sumbangan Kesusasteraan India kepada Perkembangan Kesusasteraan Melayu Tradisional di jurnal Sari (Julai 1984) terbitan Jabatan Pengajian Melayu, UM.
Tanah dikenali Malaysia,
Tiada tara keindahannya,
Bumi bahagia dan beriman,
Bagai dunia keinderaan,
Di Asia Tenggara,
Bergemerlapan sinar cahayanya,
Bagai tilaka seorang gadis.
Demikian rangkap pertama puisi Sanskrit berjudul Suvarnamala oleh penyair India, M. Narasimhachary yang diterjemah oleh Palaniappan dengan judul Kalungan Bunga Emas dan tersiar di Jurnal Pengajian India (1984).
CERITA RAKYAT
“Pada waktu itu juga R. Dhandayudham dari Tamil Nadu, India menjadi pensyarah kanan di Jabatan Pengajian India. Beliau menulis rencana tentang perkembangan sastera Tamil tempatan dan mengulas cerpen-cerpen yang tersiar di akhbar Tamil. Saya diminta menterjemah untuk majalah Dewan Sastera,” katanya sambil mengimbau pengalaman 38 tahun lalu.
Usaha itu tidak dapat diteruskan kerana timbul sedikit masalah komunikasi antara pihak terbabit. Kesibukan kerja pula menyebabkan Palaniappan tidak terlibat dalam kerja terjemahan lain.
Tambahan pula, apabila Universiti Brunei Darussalam ditubuhkan pada 1985, beliau menerima tawaran untuk mengajar di Jabatan Sastera Melayu. Tumpuan kajian dan penulisan Palaniappan selama 20 tahun di sana bertukar kepada bidang cerita rakyat Brunei.
“Saya bersama-sama Haji Abdul Hamid Jaludin terlibat dalam projek mengumpul dan mendokumentasi folklor (cerita rakyat) di Kampung Ayer, daerah Tutong, Temburong, Beliat dan Brunei Muara. Saya turut diundang membentangkan kertas kerja di Australia, Jamaica, Singapura dan Hungary,” Palaniappan menceritakan dengan penuh bersemangat.
Saya cuba mendapatkan kepastian sama ada selain melakukan terjemahan, beliau pernah turut menghasilkan karya asli seperti rencana, cerpen dan puisi untuk akhbar dan majalah tempatan. Palaniappan mengaku beliau lebih selesa menjadi penterjemah berbanding menulis karya sendiri.
Perlu diakui, penterjemah juga memainkan peranan penting dalam perkembangan penulisan dan sastera. Misalnya, karya Tamil yang diterjemah oleh individu seperti Palaniappan dan Soosai membantu masyarakat pelbagai kaum di Malaysia memahami budaya kaum India yang dipaparkan dalam karya Tamil.
Pada masa sama, karya-karya terjemahan itu tersiar di majalah dan buku yang sudah tidak mudah dimiliki sekarang. Maknanya, apa-apa yang disajikan dahulu tidak dapat dinikmati generasi sekarang. Tentulah bagus jika ada usaha menerbitkan semula karya-karya terpilih dalam bentuk buku. Selain karya terjemahan di majalah Dewan Sastera, banyak juga cerpen, puisi dan rencana disiarkan di akhbar Balai Muhibbah pada 1970-an dan 1980-an.
Bagi Palaniappan, beliau mengaku terlalu sibuk dengan tugas hakiki sebagai pensyarah kanan di Universiti Antarabangsa Quest sejak 2016. Maka, beliau tidak sempat menulis atau membuat apa-apa terjemahan baharu. Bagaimanapun, beliau mengikuti perkembangan dan pencapaian para penulis kaum India yang gigih menghasilkan karya bagi memperkaya sastera kebangsaan.
“Karya yang dihasilkan harus berwawasan tinggi, bersifat global dan mampu mengubah paradigma pembaca. Tahap pemikiran dan cita rasa pembaca hari ini memang jauh berbeza dengan khalayak 1980-an,” kata Palaniappan apabila diminta memberi nasihat kepada penulis generasi baharu.
Beliau turut menggesa para penulis pelbagai kaum di Malaysia supaya terus memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










