Teras politik Melayu makin terhakis?

Teras politik Melayu makin terhakis?

DALAM PRU15 menunjukkan majoriti undi Melayu termasuk golongan muda beralih kepada Pas dan Bersatu di bawah jenama Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKHIRNYA selepas lima hari berlalu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) barulah Perdana Menteri ke-10 dapat dilantik, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kelewatan pelantikan Perdana Menteri disebabkan tidak ada mana-mana parti politik yang mendapat kemenangan majoriti dua pertiga atau sekurang-kurang majoriti mudah 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Anwar dipilih setelah Pakatan Harapan (PH) UMNO-Barisan Nasional (UMNO-BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan. Ia bukan kerajaan majoriti yang didominasi oleh mana-mana parti politik tetapi dibentuk hasil persetujuan bersama oleh parti-parti terbabit yang tidak memperoleh majoriti dalam PRU15.

Apa yang dapat kita simpulkan daripada pembentukan kerajaan perpaduan ini ialah lenyapnya kerajaan majoriti yang selama ini diungguli oleh UMNO-BN dengan teras politik dan kerajaan dibentuk adalah politik Melayu (UMNO). Namun, teras politik Melayu ini mulai melemah selepas PRU14 dan terus longlai selepas PRU15.

Walaupun UMNO sudi bersama membentuk kerajaan perpaduan, namun ia bukan lagi sebagai parti teras. UMNO dikatakan hanya menambah kerusi bagi PH mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan dan menerima Anwar menjadi Perdana Menteri. Walaupun dalam kalangan UMNO ada yang berbangga bahawa biarpun tewas tetapi parti itu tetap dilamar oleh PH yang sebelum ini berhabis-habisan menyerang UMNO sebagai parti ‘penyamun.’ Tapi kini parti itu juga diterima untuk membentuk kerajaan.

UMNO pula yang selama ini meletakkan DAP sebagai musuh tradisinya tiba-tiba berubah pendirian dan bersedia untuk duduk bersama dalam kerajaan yang pada hemat saya boleh dikatakan kerajaan PH walaupun namanya kerajaan perpaduan.

Apakah UMNO telah kehilangan maruah dan musnah prinsip perjuangannya? Hal ini saya serahkan kepada seluruh ahli parti yang dikatakan hampir tiga juta orang dan juga orang-orang Melayu yang menyokong UMNO untuk menilainya. Harus juga diingat, dalam PRU15 menunjukkan majoriti undi Melayu termasuk golongan muda telah beralih kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah jenama Perikatan Nasional (PN).

Pola pengundian ini jelas dizahirkan terutama di negeri-negeri Pantai Timur dan di kawasan-kawasan luar bandar. Pas memperoleh kerusi Parlimen paling banyak iaitu 49 berbanding parti-parti lain yang bertanding. Saya optimis jika Pas dan Bersatu dapat mengekalkan kerjasama dengan baik di bawah jenama PN dan masing-masing boleh mengemudi dengan baik, kemungkinan kedua-dua parti itu akan menjadi sandaran utama orang Melayu untuk dijadikan teras politik Melayu yang berpengaruh pada masa depan.

BENTENG

Justeru, Pas dan Bersatu mesti bijak mengatur langkah dan strategi untuk terus menarik sokongan bukan sahaja daripada orang Melayu tetapi kaum-kaum lain juga. Bagi saya, Pas dan Bersatu boleh menjadi benteng politik Melayu yang akan mempertahankan maruah umat Melayu Islam.

Cuma ingin saya nasihatkan Pas supaya jangan mudah mengeluarkan ‘fatwa’ menghukum secara melulu atau mengikut sedap mulut kerana ini boleh menimbulkan kebencian kepada parti itu.

Politik di negara ini mempunyai warisan dan tradisi berteraskan Melayu-Islam. Justeru, pembentukan kerajaan bukan setakat untuk membuat dan mengejar pembangunan atau kemajuan tetapi lebih penting daripada itu hendak menjaga kedaulatan bangsa, agama dan tanah air. Jika pembangunan hebat tetapi kedaulatan bangsa dan agama lenyap, itu adalah bencana cukup besar. Parti yang tidak berjiwa Melayu dan Islam tidak akan mempedulikan itu semua.

Dalam BN sendiri, MCA dan MIC ditolak oleh kaumnya sendiri dan undi Cina mengalir ke DAP dan sekutunya, PKR. Hakikatnya, politik Melayu bercapah kehilangan kekuatan, manakala politik kaum Cina berfokus (berpusat) kepada DAP untuk membina kekuatan. Sama ada UMNO akan terus hanyut ditolak orang Melayu atau ia mampu bangkit semula dan terus menjadi teras kekuatan politik Melayu adalah sesuatu yang tidak pasti.

UMNO memang memerlukan transformasi yang tuntas terutama dalam aspek kepemimpinan di semua peringkat. UMNO perlu menampilkan barisan kepemimpinan yang lebih muda dan menyakinkan dari segi kewibawaan, penampilan dan integriti.

Apa pun kerajaan dibentuk pada 24 November lalu, Anwar sebagai Perdana Menteri dalam sidang akhbar menyatakan komitmennya untuk tetap mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mempertahan kedudukan Islam dan orang Melayu tanpa mengabaikan sama sekali kaum-kaum lain dan memastikan pentadbiran kerajaannya tidak akan berkompromi sama sekali dengan penyelewengan dan rasuah.

Fokus beliau ialah kerajaan perpaduan pimpinannya akan berusaha memulih dan memperkukuh ekonomi negara ke arah kedudukan yang lebih mantap dan stabil. Beliau turut menegaskan, kerajaan pimpinannya akan memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua kaum secara inklusif demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Satu perkara tidak kurang penting ialah Anwar dalam sidang akhbar menyebut bahawa dalam sidang Parlimen yang dijangka 19 November nanti, beliau akan mengusulkan undi percaya dibuat oleh ahli-ahli Parlimen supaya keabsahannya sebagai Perdana Menteri tidak dipertikaikan.

Bagi saya, sejauh mana kerajaan perpaduan pimpinan Anwar dapat bertahan bergantung kepada kebijaksanaannya untuk mengimbangi tuntutan pelbagai parti di dalamnya terutama DAP yang merupakan parti yang masih dianggap mencabar kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Selain itu, keterbukaan sosial yang akan dibawa oleh Anwar sepanjang pentadbirannya juga akan diperhatikan kesannya terhadap konteks kehidupan sosiobudaya rakyat negara ini berteraskan kehidupan beragama dan adab kesopanan, bukannya kebebasan berasaskan fahaman liberalisme yang menjelekkan. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×