Tak guna menyalak dari luar - Utusan Malaysia

Tak guna menyalak dari luar

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Dalam kesibukan berpolitik sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), barangkali ramai tertanya-tanya apakah cerita sebalik nama-nama besar ahli politik yang kalah? Masih diselubungi kekecewaan? Apa rancangan masa depan?
Wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ bersama jurugambar FAUZI BAHARUDIN dan SHIDDIEQIIN ZON menemu bual dua pemimpin yang tewas.
Mereka ialah calon Parti Bangsa Malaysia (PBM), DATUK ZURAIDA KAMARUDDIN yang tewas di kerusi Parlimen Ampang, serta calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Simpang Renggam, DR. MASZLEE MALIK.

Mingguan: Apa yang boleh diperkatakan sejurus keputusan PRU15 diumumkan?
Zuraida: Saya melihat wujud polarisasi kaum yang jelas sewaktu keputusan PRU15. 94 peratus kaum Cina yang keluar mengundi memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH). Hanya 11 peratus saja Melayu sokong mereka. Sementara itu, 54 peratus Melayu yang keluar mengundi memilih Perikatan Nasional (PN). Kaum India pula 76 peratus yang keluar mengundi, pecahan sokongan undi mereka agak seimbang. Cuma saya lihat, peratusan keluar mengundi kaum Melayu kira-kira 64 peratus seluruh negara, itu tanda bahawa pengundi Melayu tak ramai yang keluar.

Sebab apa jadi sebegitu?
Kerana pengundi Melayu dalam dilema. Parti yang menjadi tunjang kepada pengundi Melayu sebelum ini adalah UMNO. Bila datang kepada PRu15, Melayu dalam dilema kerana selama ini mereka sokong UMNO dan Barisan Nasional (BN). Tapi BN sudah kucar-kacir dengan bermacam masalah. Jadi, Melayu tawar hati kepada BN. Bagi yang tahu alternatif parti lain, mereka jelas memilih PN sebagai pilihan orang Melayu manakala yang t

idak keluar mengundi sebab mereka sudah meluat dan muak. Inilah situasi di lapangan. Rumusannya, kalau lebih ramai pengundi Melayu keluar mengundi sewaktu PRU15, PN akan mendapat kemenangan mudah 112 kerusi Parlimen atau lebih.

Macam mana senario di Parlimen Ampang sampai Datuk boleh kalah?
Saya reda, sebab prinsip saya, saya buat yang terbaik. Maka, saya tak menyesal. Saya menjalankan tugas dengan amanah sama ada sebagai wakil rakyat mahupun sewaktu menjadi menteri. Saya yakin prestasi saya tidakla

h memalukan kepada orang Ampang, kepada negara dan sebagainya. Takdir Allah SWT yang tidak membolehkan saya menang dan memberi perkhidmatan atas kapasiti itu. Maka, mungkin saya boleh berkhidmat atas kapasiti lain.

Putus asa dalam politik?
Saya tidak putus asa dalam konteks berkhidmat kepada negara. Ini kerana saya ada banyak cara dan idea yang boleh membantu negara.

RUTIN
Bagaimana rutin selepas tidak jadi wakil rakyat?
Saya ada banyak platform untuk berbakti. Saya duta mewakili Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL). Ini platform antarabangsa untuk saya bergerak. Saya juga mem­punyai fokus terhadap usaha pe­merkasaan wanita. Jadi, saya kerap memberikan ceramah di universiti luar negara.

Bagaimana perkemb

angan Parti Bangsa Malaysia (PBM)?
PBM ini memang dibentuk ketika pengikut saya kira-kira 400,000 orang, sejak zaman saya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ia parti pelbagai kaum.
Jadi selepas saya menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menguatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), atas dasar itu kita 10 orang ahli Parlimen masuk. Tapi malangnya, Bersatu ini mempunyai struktur parti tertutup. Maknanya, mereka mengamalkan budaya parti lama, ada warlord. Jadi, pengikut-pengikut saya susah hendak masuk.
Mereka jumpa saya, macam mana Datuk? Kebetulan sebelum itu, saya membuat satu organisasi iaitu Penggerak Komuniti Negara. Ini bertujuan membimbing akar umbi saya, bagaimana mahu berkhidmat kepada rakyat. Jadi, melalui Penggerak Komuniti Negara inilah kita bawa masuk Bersatu. Tapi, tiada tempat untuk mereka dalam Bersatu.

Sebab itu tubuhkan PBM?
Ya. Saya beritahu Presiden Bersatu, waktu itu, saya cakap “Tan Sri, kita redundant, maka saya ingin berikan Bersatu nilai tambah dan kekuatan. Izinkan saya tubuhkan satu parti pelbagai bangsa, parti itu akan sokong Bersatu dari luar”. Macam syarikat-syarikat besar, mereka menubuhkan subsidiari. Jadi, saya beritahu Muhyiddin, sila lihat saya sebagai subsidiari.

PENJAJARAN BN-PH
Akar umbi UMNO dan penyokong BN bercakap, undi BN-UMNO tapi dapat PH-DAP? Apakah itu tikam belakang dan khianat pengundi?
Inilah pengkhianatan y

ang sebenar kerana dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dalam kempen-kempen, pemimpin UMNO beri mesej jelas, No Anwar, No DAP. PH pun sama, pemimpin mereka beri mesej tiada kerjasama dengan UMNO-BN. Malah, mesej sebegini mungkin faktor mengapa mereka mendapat undi dan menang.
Jadi, bila penjajaran sulit ini berlaku, inilah pengkhianatan. Tapi sekarang, mula timbul naratif dan propaganda, kononnya inilah yang terbaik demi negara. Saya tak kira. Ini membabitkan imej negara, tindakan penjajaran ini memalukan negara. Integriti kepada negara sudah digadai dengan penjajaran ini semua.

Pandangan mengenai pelantikan Kabinet BN-PH?
Perlantikan menteri pun tak mencerminkan bahawa mereka mahukan yang terbaik. Inilah, bila Datuk Seri Anwar Ibrahim kata, beliau akan lantik bukan berdasarkan habuan politik. Sedangkan, inilah lantikan habuan politik. Ini kerana BN yang membantu mereka menjadi kerajaan. Lepas itu, secara tak langsung, blok Borneo pun terpaksa tertarik dalam gabungan yang kononnya Kerajaan Perpaduan. Mengapa BN-UMNO dapat enam jawatan Menteri? Sedangkan mereka cuma ada 30 Ahli Parlimen?

Bagaimana perang ideologi UMNO-DAP dalam Kabinet sekarang?
Saya rasa, ideologi DAP bercanggah dengan UMNO. Kalau mahu cakap pasal agenda Melayu, UMNO terpaksa mencairkan ideologi, sama juga kalau mahu cakap tentang agenda kaum Cina, DAP pun terpaksa kompromi. Saya tak tahu bagaimana mereka mahu meleraikan pertembungan ideologi? Sedangkan dalam proses menubuhkan Kabinet pun mereka sukar selesaikan, apatah lagi soal ideologi.

TAK GUNA MENYALAK DARI LUAR
Apakah kerajaan sekarang ada kesungguhan politik untuk melaksanakan polisi membantu rakyat? Dari sudut manakah Datuk boleh membantu?
Saya tidak tahu. Tapi sekarang ini peluang kepada PH untuk membuktikan. Sebab sebelum ini, mereka banyak sangat hendak buat reformasi. Inilah waktu untuk reformasi. Bagi saya pula, secara peribadi, saya mahu berbakti kepada rakyat untuk sama-sama memajukan negara. Tapi dalam politik negara, ini bukan Kerajaan Perpaduan.
Jadi, mereka tak akan mengambil pandangan berdasarkan prestasi orang dari luar Kabinet. Jadi, mungkin saya tidak akan ada ruang untuk meneruskan agenda saya. Jadi, kalau saya ambil ruang sebagai suara pendesak pun, saya rasa mereka tak akan dengar. Sebab itu, saya kata, tak guna menyalak dari luar, kita kena masuk ke dalam.

‘MAK LAMPIR’
Komen terhadap label-label penghinaan seperti ‘Mak Lampir’ sebagainya?
Saya hendak tanya, saya siapa? Saya bukan calon PM, atau calon TPM. Jadi, kenapa mereka mahu serang saya? Saya pun bukan lagi Ahli Parlimen.
Bila bercakap tentang gelaran yang orang lontarkan, saya tidak mengikuti per­kembangan di Facebook. Saya tak peduli semua itu, saya tak tengok. Saya buat kerja saja, itu fokus saya.
Sebab itu, saya tidak terganggu. Saya percaya kepada Allah SWT, dan yakin pada diri sendiri.

Saya sudah jadi penganggur 

Komen tentang kekalahan di Parlimen Simpang Renggam pada PRU15?
Maszlee: Kalau kita lihat kepada keputusan PRU15, saya menerima keputusan dengan hati terbuka, saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mengundi.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada warga Simpang Renggam yang selama lima tahun saya telah memberikan terbaik, malah menyelesaikan banyak masalah mereka.
Itu adat berpolitik, kalah dan menang, malah saya rasa amat gembira kerana dalam tempoh lima tahun ini, banyak yang saya pelajari sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam dan berkenalan dengan rakan-rakan baharu. Mungkin itu akan lebih mematangkan saya.

Kecewa bila kalah?
Kita dalam politik ini, perlu bersikap objektif. Kita telah melakukan terbaik. Bila sudah melakukan terbaik, kita harus reda dan juga menerima keputusan itu.

Ada buat post-mortem, kenapa boleh kalah di Simpang Renggam?
Ia masih terlalu awal. Cuma yang menarik di Simpang Renggam, ramai yang kita temui berkata, walaupun mereka tidak memberikan undi kepada PH pada PRU15, tapi mereka menerima saya dengan baik. Malah, lepas pilihan raya masih ada yang datang minta bantuan, minta laptop, minta tolong tengokkan banjir. Ini selepas PRU15. Oleh kerana mereka dapati Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mereka pilih sewaktu PRU15 tidak muncul sewaktu banjir, jadi mereka hubungi saya. Malah, lampu tak menyala pun mereka hubungi saya.
Jadi bila saya kata, saya bukan lagi wakil rakyat, mereka jawab tapi selama ini pun memang doktor bagi sama ada kami sokong UMNO atau tidak. Jadi, tanggapan mereka, antara perkataan yang mereka sebutkan, kami sayang Dr. Maszlee Malik, tapi kami undi Barisan Nasional (BN).

PENGANGGUR
Apa kegiatan selepas tidak lagi berada dalam politik?
Sekarang ini, secara rasmi saya adalah seorang yang tidak mempunyai pekerjaan, saya kini seorang penganggur. Saya belum membuat sebarang keputusan besar. Sekarang, selepas lima tahun memberikan yang terbaik sama ada di Parlimen ataupun di kawasan, jadi mungkin saya mahu ambil cuti dulu.

Macam mana kedudukan dalam PKR?
Saya memang dalam politik, dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Maksudnya, meskipun kalah dalam PRU15, masih mahu kekal dalam parti?
Saya rasa, tiada kaitan. Kalah menang itu adat dalam politik. Kita lihat, banyak parti yang tak pernah menang pun, tapi mereka kekal ada. Jadi dalam politik ini, ia tak terikat dengan kalah atau menang pilihan raya. Ia terikat dengan apa yang kita berikan kepada rakyat.

TSUNAMI MELAYU
Analisis mendapati cuma 11 peratus Melayu mengundi PH dalam PRU15, PN mendapat undi majoriti Melayu dengan 54 peratus, sementara BN sekadar 33 peratus. Kenapa tidak ramai Melayu mengundi PH?
Undi Melayu yang sedikit kepada PH banyak didorong oleh propaganda perkauman oleh PN. Sampai ada amaran telah diberikan oleh Majlis Raja-Raja berkaitan propaganda melampau perkauman yang ekstrem. Jadi saya rasa, apa yang berlaku itu hanyalah kesan steroid, hanya bersifat sementara dan untuk jangka masa panjang, perlu dihentikan.

KABINET
Bolehkah kerajaan gabung BN-PH bertahan sepenggal penuh, apabila dua gabungan berlainan ideologi duduk bersama?
Pertama, kita perlu sedar bahawa kerajaan yang wujud sekarang adalah Kerajaan Perpaduan. Bukan kerajaan campuran, tapi Kerajaan Perpaduan berdasarkan titah dan perkenan Majlis Raja-Raja serta Yang di-Pertuan Agong.
Saya kira, agak jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja inginkan kestabilan politik yang akan membawa kepada kestabilan ekonomi. Ini untuk memulihkan imej negara, ekonomi, keadaan sara hidup rakyat serta pencapaian negara dalam pelbagai sudut.

UEC
Komen terhadap Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) diiktiraf kerajaan?
Itu kena tanya kepada Menteri Pendidikan baharu. Saya seorang penganggur, apapun pendapat saya tidak akan memberikan apa-apa kesan. Jadi, kena tanya kepada Menteri Pendidikan baharu.

KASUT HITAM, KABINET
Masih ada segelintir yang bercakap soal polisi ‘kasut hitam’ sewaktu doktor jadi Menteri Pendidikan. Komen?
Saya rasa tak relevan. Nanti ia larikan fokus daripada tajuk-tajuk lain yang kita bincangkan dalam temu bual ini.

Apa harapan terhadap Kabinet kerajaan sekarang?
Semoga mereka dapat membawa Malaysia kepada keadaan yang lebih baik. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN