USAHA meneruskan pembinaan negara tercinta ini oleh kerajaan baharu, baik dari segi statehood, iaitu keberadaan negara pada tahap pembangunan memberangsangkan dan nationhood, yakni keberadaan rakyat dalam keadaan bersatu selain maju, bukan sahaja diyakini akan berhasil dengan jayanya, ia juga diyakini akan mencipta keghalibannya yang tersendiri. Ini kerana sebagai kerajaan perpaduan yang mengutamakan permuafakatan daripada semua pihak antaranya pemerintah dan rakyat jelata, kedua-dua keberadaan negara dan rakyat ini pasti akan mencapai tingkat yang lebih menakjubkan.
Dalam hal pembangunan negara yang berkenaan dengan usaha mengadakan pelbagai kemudahan, sama ada asas atau lain-lain, ia yang sudah memperlihat banyak perkembangan positif selama ini akan pasti dipertingkat lagi oleh kerajaan baharu. Sehubungan ini, selain usaha yang telah mewujudkan pelbagai institusi negara antaranya penggubalan perundangan negara khususnya Perlembagaan Persekutuan, penubuhan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan kebangsaan dan Bank Negara selaku institusi kewangan negara, pelbagai usaha lain akan terus diambil dan dipertingkat oleh kerajaan baharu untuk memastikan pembangunan negara dari sisi keselamatan, ekonomi dan politik ikut tidak ketinggalan.
Sehubungan ini, keselamatan pasti diberikan keutamaan tinggi oleh mana-mana kerajaan. Ini tidak akan terkecuali di Malaysia yang akan dipikul oleh kerajaan baharu sebaik mungkin. Ini kerana dengan terjaminnya keselamatan negara daripada sebarang ancaman, baik yang dari dalam negara apatah lagi dari luar, pelbagai tugas membangunkan negara akan dapat berjalan dengan lancarnya. Dengan kata lain, persekitaran selamat lagi aman adalah pemangkin penting kepada keadaan politik yang stabil dan pertumbuhan ekonomi mampan.
Tugas membangunkan negara yang lain oleh kerajaan baharu ialah penerusan pembekalan prasarana, iaitu pemberian pelbagai kemudahan asas diperlukan oleh rakyat. Antaranya termasuklah menyediakan pengangkutan awam, mengadakan pendidikan yang boleh diakses oleh semua pihak, menguruskan manfaat kesihatan kepada rakyat jelata, membangunkan modal insan dan memodenkan negara yang diimbangi tradisionalisme.
Dalam soal pembangunan negara, seperkara penting perlu diketahui umum ialah keupayaan pembangunannya oleh kerajaan semasa. Perkara ini didapati sering dilupai semasa berlakunya perbincangan tentang pembangunan negara, lebih-lebih lagi setelah sekian lama negara itu merdeka.
Sehubungan ini, kerajaan baharu bukan sahaja akan memastikan pembangunan terus berlaku dengan pesatnya tetapi dipertingkat dari semasa ke semasa untuk Malaysia terus maju. Dengan ini, keselamatan negara, pendidikan kebangsaan, urus tadbir kerajaan Pusat serta perpaduan negara dan integrasi nasional di samping yang lain-lain akan terus dikendalikan dengan cemerlang olehnya.
RUKUN NEGARA
Untuk melahirkan rakyat yang bersatu sebagai komuniti nasional yang kuat solidaritinya, kerajaan baharu juga diyakini akan bukan sahaja meneruskan tetapi mempertingkat lagi usaha pemupukan identiti nasional yang sangat perlu ada pada setiap warganegara. Ini penting untuk mewujudkan rasa kebersamaan dan keterikatan rakyat kepada negara tercinta ini sebagai tanah air. Untuk ini, kerajaan baharu dipohon mengusahakannya menerusi beberapa tindakan. Antaranya melalui bukan sahaja pendukungan pasif tetapi perkongsian aktif bahasa yang sama, iaitu tidak lain dan tidak bukan bahasa Melayu selaku bahasa negara. Begitu juga tentang ideologi sivik menerusi Rukun Negara dan junjungan warisan pada Dasar Kebudayaan Negara.
Dengan ini melalui bahasa, budaya dan lain-lain, identiti nasional yang berkaitan rapat dengan perpaduan negara dan integrasi nasional dapat dipupuk. Untuk ini lebih berjaya hasilnya, kerajaan baharu dipohon mempertingkat proses sosialisasi untuk mendidik rakyat agar menerima dan menjiwai setiap tindakan yang diambilnya. Ini penting agar apa-apa tentang bahasa Melayu misalnya, bukan sahaja difahami dengan baik, tetapi dihayati sedalam-dalamnya.
Sebenarnya semua ini, iaitu bahasa Melayu, Rukun Negara dan beberapa peranti kenegaraan lain harus diakui belum berjaya diterapkan nilainya untuk mewujudkan perpaduan utuh, integrasi sasa bagi memupuk identiti kental dalam kalangan rakyat. Ini antaranya kerana kita tidak mempunyai perancangan rapi sama ada untuk menjayakan aspirasi nasional bagi menjadikan bahasa Melayu alat pemersatu dan Rukun Negara sebagai wadah perpaduan.
Oleh itu, kerajaan baharu dipohon memastikan kita tidak lagi terus-terusan gagal dalam penyatuan linguistik oleh bahasa negara. Sebenarnya bahasa memang mempunyai kuasa penyatuan. Malangnya ia gagal dimanfaatkan di Malaysia. Justeru, menjadi tanggungjawab kerajaan baharu memastikan ia tidak gagal lagi selepas ini.
Untuk pembangunan negara, ia didapati berada pada landasan betul. Walaupun begitu, masih terdapat sesetengah kawasan di wilayah tertentu dalam Persekutuan Malaysia yang memerlukan pembangunan lebih pesat. Ini pasti akan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan baharu.
Bagi pembentukan komuniti nasional yang bersatu pula, harus mengakui bahawa kita memerlukan proses pembentukan semula setelah yang dahulunya tidak berkesan. Sehubungan ini, kerajaan baharu dipohon mencari jalan berkesan untuk memastikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan tercapai seperti yang berlaku di merata tempat di seluruh dunia, antaranya Indonesia. Begitu juga halnya dengan Rukun Negara agar ia dihayati untuk diamalkan seperti pada Pancasila juga di Indonesia. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










