Pengalaman ‘otai’ memastikan Kabinet stabil

Pengalaman ‘otai’ memastikan Kabinet stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA mengatakan beliau tegas, ada pula mendakwa beliau keras kepala apabila enggan meletak jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun, personaliti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, 69, yang begitulah telah membawa barisan pemimpin BN kini bersama-sama mentadbir negara dalam kerajaan perpaduan.

Beliau adalah figura politik yang bagaimana teruk dihentam sekalipun, masih tetap berdiri teguh dan tidak goyah dengan pendiriannya. Kerana itu selepas gesaan rakyat atau ahli parti untuk melepaskan jawatan Pengerusi BN dan Presiden UMNO, beliau dilihat ‘tak makan’ desakan sebaliknya terus memperkukuhkan parti dengan merapatkan kembali hubungan antara ahli.

“Mohon jangan dikeruhkan lagi keadaan. Mohon doakan yang terbaik dalam keadaan sekarang ini,” kata Ahmad Zahid dalam hantaran Facebook beliau pada 22 November lalu.

Di sebalik desakan tersebut, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua mempunyai pandangan tersendiri terhadap Ahmad Zahid yang sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri itu. Baginya, Presiden UMNO itu perlu berada dalam Kabinet memandangkan beliau boleh memainkan peranan penting dalam menstabilkan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tian Chua berkata, walaupun terdapat tentangan kuat daripada BN terhadap kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi Ahmad Zahid kekal dengan pendiriannya serta memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang akhirnya menyaksikan BN bersetuju bekerjasama dengan PH.

“Pengalaman Ahmad Zahid dalam kerajaan adalah satu kelebihan dan beliau boleh melengkapi menteri PH yang tidak berpengalaman. Beliau juga boleh menjadi pengantara antara PH dan perkhidmatan awam dan segmen konservatif kerajaan.

“Ahmad Zahid juga boleh berperanan dalam menghubungkan parti komponen lain dalam gabungan besar itu, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Malah ramai berpendapat, pelantikan Ahmad Zahid itu relevan memandangkan ia dibuat dengan ‘kembali’ kepada hierarki dan keputusan parti.

NAJIB TUN RAZAK

Ahli Parlimen Bagan Datuk ini pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dari 29 Julai 2015 sehingga 9 Mei 2018 menggantikan tempat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan atas sebab menegur cara Datuk Seri Najib Tun Razak menangani isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jadi, apabila Anwar memberi lampu hijau untuk Ahmad Zahid kembali memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri buat kali kedua, ia bukan sesuatu yang janggal memandangkan pengalamannya selama tiga tahun menjawat jawatan itu ketika BN mentadbir negara adalah amat berharga yang boleh membantu memperkukuhkan pentadbiran kerajaan perpaduan hari ini.

Malah, kredibilitinya untuk mentadbir negara tidak boleh dipertikaikan terutama ketika menyokong perwujudan Suruhanjaya Pendidikan Malaysia dalam memastikan semua pihak mematuhi dasar pendidikan negara walaupun berlaku perubahan kepemimpinan di peringkat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Di awal kerjaya Ahmad Zahid yang merupakan anak didik Anwar, beliau ialah Senator dan Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 1995 dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 1999 sebelum menjadi ketua sayap belia UMNO.

Bagaimanapun, dalam tempoh singkat itu, beliau berjaya mengubah BSN daripada imej ‘bank pejabat pos’ kepada sebuah bank cukup disegani.

Selepas PRU11 pada 2004, Ahmad Zahid menjadi timbalan menteri di bawah kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Semasa menjadi timbalan menteri, Ahmad Zahid belajar dan dianugerahkan ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Putra Malaysian (UPM).

Selepas PRU12 pada 2008, beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada April 2009. Kemudiannya dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri pada 2013, menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Walaupun pada Ogos 2019, beliau merupakan bekas Menteri Pertahanan tetapi masih menunjukkan sifat prihatin dengan tidak rela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dicemuh apatah lagi dihina selepas adanya desakan untuk membubarkan ATM ketika itu.

Menurut Ahmad Zahid pada Ogos lalu, beliau dilantik menerajui Kementerian Dalam Negeri selama lima tahun mulai 2013 kerana dirinya seorang yang berintegriti memandangkan kementerian itu adalah komponen penting dalam pentadbiran kerajaan kerana ia menangani keselamatan negara.

BERJIWA BESAR

Jika dilihat pada situasi politik yang berlaku sejak kebelakangan ini terutama apabila tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, kita dapat melihat figura Ahmad Zahid sebagai seorang yang berjiwa besar apabila mendukung dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Memetik kenyataannya di Facebook, BN mula-mula membuat keputusan menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan YDPA untuk menentukannya.

Hal ini berlaku selepas YDPA menitahkan semua 30 ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti. BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama.

Beliau dalam masa sama mengajak semua pihak agar tidak mempertikaikan keputusan pelantikan oleh YDPA dan Istana Negara.

“Janganlah umpama rumah siap, pahat berbunyi. Kita perlu bergerak ke depan dan bersama-sama membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan,” katanya.

Jadi, sebagai rakyat, kita perlu lebih terbuka dan berlapang dada dengan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri demi memastikan negara kekal stabil dan setiap menteri atau timbalan menteri yang dilantik dapat menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN