Pemulihan Langkawi tersekat kerana feri

Pemulihan Langkawi tersekat kerana feri

PENGUNJUNG yang tidak terlalu padat di Pantai Chenang berbanding cuti-cuti sebelum ini disebabkan faktor pengangkutan feri yang terhad di Pulau Langkawi. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU Langkawi yang terkenal dengan jolokan Permata Kedah merupakan lokasi pelancongan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan sahaja dikenali seluruh rakyat Malaysia, bahkan pelancong dari seantero dunia. Covid-19 yang melanda sejak awal 2019, iaitu kira-kira tiga tahun lalu meninggalkan pengalaman berbeza kepada penduduk khususnya yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan yang menjadi antara nadi utama mereka.

Daripada sekecil-kecil peniaga tepi jalan yang tumpang tempias dengan kemasukan jutaan pelancong sejak dahulu, kepada sebesar-besar pengusaha hotel berbintang-bintang yang beroperasi di Langkawi, kesemuanya tidak terlepas daripada terjejas teruk. Mereka bagaikan tidak percaya dengan apa yang terjadi kerana tidak menyangka Pantai Chenang yang sering meriah setiap hujung minggu terutama musim cuti persekolahan akan sunyi sepi tanpa kelibat kanak-kanak bermain pasir atau orang dewasa melakukan aktiviti laut.

Bahkan gerai makan dan kedai menjual cenderamata di sepanjang jalan berdekatan pantai tersebut juga terpaksa katup akibat ketiadaan orang selain faktor sekatan pergerakan yang dikenakan pada awal-awal Covid-19 melanda dahulu.

Namun, kesemua situasi itu kini menjadi satu sejarah bukan sahaja kepada orang-orang Langkawi tetapi Kedah, Malaysia waima seluruh dunia sekalipun apabila kehidupan sudah perlahan-lahan kembali normal.

Tidak terkecuali pengusaha-pengusaha kereta sewa dan produk pelancongan di Langkawi yang kini sudah kembali ‘berlari’ berbanding terpaksa merangkak semula sejak tahun lalu apabila pandemik perlahan-lahan terkawal.

Walaupun belum lagi dapat berlari pantas seperti dahulu, rata-rata mereka tetap bersyukur kerana mampu meraih semula pendapatan hasil kemasukan pelancong. Bagaimanapun, larian mereka bagaikan tersekat sedikit ketika ini dek kekangan pengangkutan utama dari tanah besar ke pulau pelancongan tersebut termasuk fasiliti yang menghubungkan Langkawi dengan Kedah atau Perlis.

Perkhidmatan feri yang tidak sekerap dahulu secara tidak langsung merencatkan perjalanan pelancong ke Langkawi kerana faktor air pasang surut dan mendapan lumpur di Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis bagaikan tiada kesudahan. Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, rata-rata pengusaha pelancongan di Langkawi sering menaruh harapan agar masalah pengangkutan ke pulau yang mendapat pengiktirafan sebagai satu daripada Pulau Terbaik di Asia Tenggara, baru-baru ini diselesaikan segera.

IMPAK NEGARA JIRAN

‘Masalah’ bertambah ketara apabila Hatyai yang terletak berdekatan sempadan Malaysia-Thailand menjadi destinasi pelancongan pilihan ramai rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah di negara ini pada September lalu. Pilihan mereka ke sana rata-ratanya kerana berdepan situasi tidak dapat membeli tiket feri ke Pulau Langkawi disebabkan trip perjalanan yang terhad, lantas Hatyai dan bandar-bandar lain di Thailand menjadi lokasi alternatif percutian.

Walaupun ada pihak menyatakan pelancong tempatan tetap ke Langkawi pada masa itu, namun jumlahnya tidak sama seperti ketika feri disediakan setiap jam bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam setiap hari seperti sebelum ini. Namun, dengan perjalanan feri yang dikatakan ditambah sempena cuti sekolah penggal ketiga pada Disember ini, sedikit sebanyak merancakkan kembali aktiviti pelancongan di Pulau Langkawi.

Tambahan pula ada pelancong yang khuatir untuk ke Thailand selepas insiden pengeboman berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngea, Sadao kira-kira dua minggu lalu, maka Langkawi menjadi pilihan mereka semula.

Bagaimanapun, penawaran feri yang masih tidak mencukupi berbanding permintaan daripada pelancong yang mahu ke sana secara tidak langsung merencatkan sedikit pemulihan ekonomi pascapandemik.

Tahun depan pula akan berlangsung acara bertaraf antarabangsa di pulau itu, iaitu Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang akan menyaksikan ramai peserta dan pengunjung hadir.

Maka, sudah tentu di samping pengangkutan udara yang menjadi alternatif ke Langkawi, perkhidmatan feri akan tetap menjadi pilihan utama ramai pengunjung untuk masuk ke pulau peranginan itu.

JETI BAHARU

Kerja-kerja pengerukan lumpur di Jeti Kuala Perlis yang dijangka siap Februari nanti diharapkan akan memudahkan pelayaran feri ke Langkawi kerana Kuala Perlis menjadi pilihan utama pelancong berbanding Kuala Kedah berikutan faktor jarak dan masa di lautan. Bagaimanapun, ramai sudah mempersoalkan keberkesanan melakukan kerja-kerja pengerukan itu pada setiap tahun yang dikhabarkan menelan kos tinggi tetapi tidak menyelesaikan masalah untuk tempoh jangka panjang.

Baru-baru ini atau lebih tepat lagi pada 26 Disember lalu sempena cuti Hari Krismas, berlaku lagi masalah feri terkandas sehingga lebih enam jam. Walaupun kali ini faktor utamanya adalah kerosakan kipas enjin feri tetapi kesan selepas itu turut bersangkut paut dengan faktor air pasang surut.

Feri gantian dari Langkawi yang tiba untuk mengambil penumpang terkandas, tidak dapat berlabuh kerana air surut dan perlu menunggu sehingga pukul 10.30 malam walaupun sepatutnya mereka menaiki feri yang rosak pada pukul 3 petang. Maka dengan situasi yang berlaku, sewajarnya kerajaan dan pihak terlibat duduk semeja untuk menaik taraf secara total Jeti Kuala Perlis dan Jeti Kuala Kedah agar feri dapat berlabuh tanpa masalah seperti di Pulau Langkawi atau membina sebuah jeti baharu.

Pembinaan jeti baharu di kedua-dua negeri itu mungkin akan menelan kos lebih tinggi berbanding membina satu sahaja jeti yang terletak bersempadan antara Kedah dan Perlis kerana tujuan utamanya adalah untuk memudahkan pengunjung dan penduduk berulang-alik. Jika Terminal Feri Langkawi dapat dinaik taraf sehingga memberi keselesaan kepada orang ramai, mengapa tidak tanah besar juga memiliki fasiliti sama kerana setuju atau tidak, Kuala Kedah dan Kuala Perlis sebenarnya permulaan percutian di Langkawi yang sudah tentu akan memberi gambaran atau pandangan pertama sebagai pintu masuk ke Langkawi. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN