RAMAI dalam kalangan warga kita tidak begitu terbuka pemikiran, gagal memahami sesuatu perkara dengan baik dan tidak mampu menghidupkan suasana perbincangan tentang apa sahaja perkara terutama politik dalam keadaan lebih profesional dan tertib. Perkara ini berlaku disebabkan warga kita yang tidak suka atau kurang melancong.
Ya, melancong atau mengembara ke dunia luar merupakan salah satu kaedah terbaik untuk menjadikan anak bangsa kita melangkah lebih jauh dalam segala aspek.
Ada orang tertarik dengan pemikiran saya yang cukup bertentangan dengan norma dan naratif orang tempatan terutama orang-orang Melayu tetapi mereka tidak pernah bertanya tentang faktor-faktornya. Maka di sini ingin dijelaskan bahawa ia disebabkan saya pernah berkelana di luar negara hampir lapan tahun lamanya.
Kenapa melancong penting dan mampu mengubah cara kita berfikir? Kerana sebaik sahaja melangkah keluar dari tanah air sendiri, kita sebenarnya mencabar akal fikiran untuk berhadapan dengan situasi dan persekitaran baharu.
Bayangkan, selama bertahun-tahun kita hanya membesar dan hidup dengan warga sendiri dengan cara berfikir dan budaya kehidupan yang sama. Tiba-tiba, hari ini kita terpaksa pula hidup dengan bangsa asing yang cukup berbeza cara kehidupan dan pemikirannya. Kalau dahulu kita boleh ada pilihan makan dengan tangan, tapi sekarang kena makan pakai sudu dan garpu. Itu belum lagi cuaca yang berbeza. Oleh itu, kita kena menukar cara hidup yang selama ini diamalkan dengan cara hidup di bumi asing. Jika berjaya, maka kita telah membawa diri pergi ke peringkat seterusnya.
Komunikasi atau berinteraksi dengan masyarakat asing adalah peringkat paling sukar dan inilah faktor utama yang bakal mengubah cara kita berfikir. Bayangkan, selama ini kita kena bercakap dengan tempo dan nada berbeza tetapi kini harus mengikut kaedah bercakap mereka. Begitu juga kalau sebelum ini boleh bergurau senda dengan cara kita tapi kini kena pula ikut cara bergurau senda dengan orang tempatan di sana.
Kalau dahulu kita boleh bercakap tentang politik secara semberono, namun sekarang kena mampu analisis secara baik. Ya, inilah proses-proses yang saya alami sewaktu di Turkiye dan Bosnia-Herzegovina. Proses ini tidak diatur tetapi datang secara sendiri dan nak atau tidak, kita tetap akan melangkah dari satu proses ke proses lain.
Saya fikir, inilah saatnya untuk kerajaan, pendidik dan ahli akademik menyeru dan menggalakkan anak-anak muda untuk keluar melancong, paling tidak dalam tempoh beberapa bulan. Minta mereka melihat dunia luar seketika dan belajar sesuatu yang berguna.
LASAK
Oh, jangan salah faham. Bila saya katakan melancong dan berkelana di luar negara, saya tidak maksudkan hanya di negara mat saleh atau Eropah sahaja, ya. Pergilah ke Indonesia, Tanzania dan Cuba juga, pun termasuk dalam senarai tersebut.
Asalkan luar negara, tidak kira walau Thailand sekalipun, ia tetap luar negara dan cara mereka hidup dan berfikir tetap berbeza. Jadi, tidak perlulah nak habiskan duit pergi jauh-jauh sampai ke Eropah. Kalau tidak mampu, cukuplah melancong di negara berdekatan terlebih dahulu. Lihat Indonesia, sekalipun rupa paras dan bahasa pertuturan hampir sama, tetapi cara mereka berpolitik tetap berbeza daripada kita. Begitu juga Thailand.
Kepada ibu bapa, kalau ingin melihat anak mampu menjadi seorang yang berguna, lasak dan produktif, maka jangan takut dan jangan berfikir panjang untuk menyuruh mereka melancong dalam tempoh tertentu.
Biarkan mereka pergi ke sana seorang diri atau bersama rakan lain. Ajar mereka cara untuk berdikari.
Kalau takut, suruh sahaja mereka melancong ke negeri-negeri lain terlebih dahulu, kemudian baru beri keizinan untuk mereka ke luar negara. Percayalah, apa yang saya perkatakan ini adalah daripada pengalaman sendiri. Keberanian ibu bapa menghantar saya ke luar negara adalah satu keputusan yang mereka tidak akan menyesal buat selama-lamanya.
Lihat kebanyakan pelancong yang masuk ke negara kita dan ke negara-negara asing, rata-ratanya datang dari negara-negara yang hebat dan maju. Persoalannya, bagaimana mereka hebat dan maju? Ia disebabkan budaya mereka yang suka melancong.
Dahulu orang bolehlah kata sebab mereka berduit dan mampu tetapi sekarang tidak relevan lagi kerana konsep melancong ala backpacker atau melancong dengan kos rendah sudah pun dipraktikkan di seluruh dunia dan ia berjaya membawa ramai orang yang kurang berkemampuan untuk menerokai dunia luar.
Hari ini, cara saya berfikir, idea dan kerja-kerja saya ditagih banyak pihak kerana ia dilihat mampu mengubah anak bangsa sendiri. Lebih mengejutkan, mereka sama sekali tidak pernah melihat kelulusan universiti saya. Mereka hanya teruja dengan cara saya berfikir dan kematangan melihat sesuatu perkara atau isu.
PENULIS ialah pemerhati isu-isu tempatan & antarabangsa.










