SERANGKAIAN langkah masuk ke pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, Jumaat lalu, jelas memaparkan susuk tubuh seorang negarawan yang lengkap berbusana baju Melayu dan bercapal.
Itulah jati diri Melayu nusantara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjalan segak sambil menaruh harapan rakyat yang membayangkan Malaysia memerlukan kerajaan perpaduan bersifat negarawan.
Apa yang ada dalam sifat-sifat negarawan itu? Mengikut Kamus Dewan, negarawan adalah kelompok orang yang mahir benar dengan tampuk pemerintahan negara, seorang yang ulung, dihormati serta mempunyai kebijaksanaan dan kejujuran yang unggul.
Persoalan besar sekarang, sejauh mana Malaysia hendak dihala tuju dalam kepelbagaian dasar dan polisi bagi mengembalikan semula kegemilangan negara ini terutama menangani soal kesejahteraan rakyat, pemulihan kesihatan awam, perpaduan nasional dan kemakmuran ekonomi? Malah, ekonomi negara dilihat semakin terdesak akibat ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik, empat tahun lalu. Apatah lagi diratah dengan ujian tsunami Covid-19 global yang memberi kesan sangat mendalam kepada masyarakat.
Anwar sudah pastinya memikirkan barisan Kabinet baharu yang mempunyai ciri-ciri negarawan itu. Siddiq, amanah, tabligh dan fatanah adalah empat teras utama yang perlu ada dalam barisan Kabinet bersifat negarawan ini. Harus diterjemahkan!
Maka rakyat pastinya menganggap barisan Kabinet kerajaan perpaduan yang bakal dilantik akan dilihat hebat di mata mereka apabila setiap barisan menteri dan timbalan menteri perlu menunjukkan sifat-sifat sabar, lemah lembut, toleransi tetapi tegas yang berpaksikan aspek akidah, syariat dan akhlak.
MADANI
Pernah dahulu seketika, Anwar sinonim dengan laungan membangun negara madani dan diulangkan semula laungan itu pada awal November lalu sewaktu pelancaran buku Membangun Negara Madani di ibu kota. Pada waktu itu, Anwar menzahirkan soal membangun negara madani perlu dilihat juga soal dasar, isu kemapanan ekonomi dan ihsan.
Semua ini perlukan sifat penyayang dalam Malaysia dan mempertahan nilai akhlak yang menjadi teras dalam fahaman Islam dan didukung agama lain. Sifat-sifat awalan kerajaan perpaduan bersifat negarawan ini mula kenampakan menerusi janji Perdana Menteri, iaitu mempertahankan dan mengangkat bahasa Melayu, agama Islam, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan raja-raja Melayu.
Soal isu kos sara hidup khususnya berkaitan harga barangan yang semakin menekan kehidupan rakyat diletakkan sebagai agenda utama kerajaan perpaduan selain menjaga hak semua rakyat termasuk golongan terpinggir tidak mengira bangsa dan agama. Malahan, Perdana Menteri sendiri mengingatkan Kabinet baharu kelak supaya menghormati sistem perkhidmatan awam sebagai tonggak pentadbiran kerajaan.
Atas dasar itu, barisan Kabinet bersifat negarawan yang terpilih kelak perlu bersiap saga, bukan sekadar menonjolkan kerajaan perpaduan itu semata-mata tetapi perlu menitikberatkan hal ehwal kehidupan harian sebagai tunjang membina tamadun masyarakat madani Malaysia yang unggul.
Saya berpandangan, seorang negarawan di barisan Kabinet baharu harus dan akan lebih meletakkan profesionalisme dan moral sebagai syarat utama. Kebijaksanaannya hendaklah diangkat demi kepentingan rakyat secara holistik dan tidak didorongkan dengan soal-soal kepentingan diri sendiri dan kelompok tertentu.
Katakan tidak kepada janji bulan dan bintang tetapi hendaklah berjanji kepada rakyat itu sebagai satu amanah seorang pemimpin bersifat negarawan yang seharusnya membawa kepada kesejahteraan, keadilan dan kedamaian bagi rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah Penganalisis Kanan Sosioekonomi & Politik di Pusat Penyelidikan Strategik dan bekas Setiausaha Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.










