Langkah kanan Menteri Agama

Langkah kanan Menteri Agama

MOHD. Na’im Mokhtar dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 3 Disember lalu. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANTIKAN Senator Datuk Mohd. Na’im Mokhtar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 3 Disember lalu bukan hanya disambut hangat oleh seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), malah turut disenangi bekas menteri sebelumnya, Datuk Idris Ahmad.

Mohd. Na’im bukanlah politikus, namun pengalaman beliau selaku Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii JKSM, Profesor Adjung di Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sultan Zainal Abidin, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta pernah dilantik selaku chevening fellow di Universiti Harvard dan Universiti Oxford, bukan calang-calang tokoh dalam menerajui amanah tersebut.

Kepakarannya dalam perundangan sivil, syariah, sistem perbankan serta kemampuan berinteraksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa merupakan ramuan pelengkap bagi menerajui 14 agensi agama yang dilapisi pelbagai disiplin seperti kehakiman dan perundangan syariah, hal ehwal pentadbiran, kebajikan, fatwa, dakwah, pendidikan agama, institusi kewangan, pengurusan wakaf, haji dan penyiaran.

Menariknya lagi, pelantikan Mohd. Na’im selaku menteri penuh bagi urusan hal ehwal agama Islam buat julung kalinya mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Ketetapan ini adalah selaras Perkara 2(1)(c) Peraturan Baru Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) 2022 yang diisytiharkan pada awal tahun ini, susulan ketetapan keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-258 dari 9 hingga 10 Mac lalu.

Terdapat 39 agenda utama yang memperincikan 206 tawaran yang dikemukakan oleh kerajaan menerusi Buku Tawaran Harapan PRU-15, baru-baru ini. Tidak dinafikan sebahagiannya berkait rapat atau perlu digembleng secara kolektif bersama institusi di bawah tanggungjawab Menteri Agama.

Bermula daripada cadangan penubuhan jawatankuasa hak kanak-kanak di peringkat mahkamah sivil dan syariah, subsidi bagi ibu bekerjaya, pembinaan keluarga bahagia, kesiapsiagaan pentadbiran dan perkhidmatan menghadapi negara menua, pemerkasaan institusi tahfiz/madrasah, pembelaan ekonomi sehinggalah mempertingkatkan kewibawaan institusi kehakiman syariah, segalanya memerlukan komitmen tinggi dari segenap agensi yang bernaung di bawah pentadbiran hal ehwal agama.

Walaupun manifesto bukanlah kitab suci, namun tawaran tersebut memberikan manfaat besar kepada institusi dan masyarakat sekiranya dapat dilaksanakan.

Antara cabaran dalam pengendalian institusi agama Islam di negara ini adalah dari aspek kepelbagaian pusat pentadbirannya. Jadual Kesembilan, Senarai II, Perlembagaan Persekutuan menetapkan hal ehwal pentadbiran orang-orang Islam ditadbir menurut bidang kuasa negeri. Dari satu aspek, ia memberikan keistimewaan kepada pihak berkuasa negeri bagi menguruskan hal ehwal umat Islam berdasarkan keperluan dan situasi setempat.

Namun, dari sisi lain, ia turut menyumbang kepada ketidakseragaman pentadbiran. Sebagai contoh, pengkanunan undang-undang Islam di negeri-negeri seluruh negara. Sungguhpun pada 1990-an, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, Allahyarham Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim menyediakan model akta/enakmen untuk diadaptasi dan diselaras di peringkat negeri, namun ia tidak menghalang pihak berkuasa negeri sama ada untuk menerima, meminda atau menambah apa-apa peruntukan terhadap model akta/enakmen tersebut, sebelum dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Contoh epik lainnya kerumitan penyampaian saman. Ketika ini, penggubal undang-undang syariah masih lagi bergelut untuk membenarkan penyampaian saman secara teknologi jarak jauh menerusi Facebook, Twitter, e-mel, WhatsApp dan segala macam teknologi terkini kerana dibimbangi melangkaui sempadan kenegerian.

EROPAH

Ironinya, mahkamah sivil sama ada di Malaysia, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, Eropah malah di Arab Saudi, Indonesia, Singapura dan India sekalipun memanfaatkan teknologi jarak jauh bagi menongkat pencapaian sistem keadilan mereka. Bukan hanya melibatkan sempadan kenegerian, malah teknologi tersebut diaplikasikan walaupun merentasi sempadan negara dan benua.

Dalam keributan perdebatan ilmiah berhubung isu penyampaian saman, kita disajikan pula dengan statistik 26 peratus atau 1,028 daripada 4,026 penangguhan kes pembubaran perkahwinan disebabkan isu penyampaian saman. Kegagalan penyampaian ini boleh berlaku apabila defendan (majoritinya suami) menghilangkan diri, tidak diketahui alamat terakhir dan berada di negeri/negara berbeza.

Kesan kegagalan penyerahan saman tersebut menyumbang kepada ketidakhadiran defendan ke mahkamah. Menurut analisis dilakukan mendapati purata ketidakhadiran defendan bagi prosiding sebutan adalah tinggi iaitu mencecah 60 peratus. Akibatnya, ketidakhadiran tersebut menyumbang kepada kelewatan penyelesaian kes dan menjejaskan imej institusi kehakiman syariah.

Begitu juga ehwalnya dengan institusi fatwa. Sungguhpun sesuatu keputusan telah difatwakan di peringkat kebangsaan, namun ia bukanlah tiket tuntas untuk dikuatkuasakan di negeri-negeri.

Kita menginsafi contoh di atas merupakan sekelumit daripada tragedi ketidakselarasan dalam institusi pentadbiran agama. Justeru, kebersamaan dan langkah pengislahan untuk memperkasakan pentadbiran daripada agensi Persekutuan serta penerimaannya dari pihak negeri amat penting agar rakyat marhaen dapat menghormati serta menikmati roh ketertinggian Islam sepertimana termaktub menerusi Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

‘Abdullāh Ibn al-Muqaffa yang merupakan setiausaha kerajaan pada zaman pemerintahan Umayyah serta ‘Abbasiyyah dan dalam masa sama terdedah dengan kemajuan ketamadunan Rom, Yunani, Parsi dan Hindi pernah menukilkan menerusi Risālah al-aabah mengenai peri pentingnya penyeragaman dari aspek pentadbiran.

Menerusi risalah tersebut beliau menyatakan, pemakaian satu pandangan yang utama adalah penting bagi memastikan keputusan hukum dan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan seragam dan konsisten bagi memelihara kemaslahatan umum.

Mengimbau sensitiviti, integriti dan komitmen Mohd. Na’im, kami percaya isu penyelarasan pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri, peningkatan sistem penyampaian, pemerkasaan institusi kehakiman syariah, keprihatinan terhadap pendidikan agama, filantropi serta perhatian terhadap golongan rentan sememangnya tersemat dalam sanubari beliau.

Justeru, pelantikan Mohd. Na’im merupakan langkah kanan kepada beliau untuk melakukan pengislahan. Apatah lagi keanggotaan Majlis Raja-Raja yang menjadi tonggak tertinggi hal ehwal agama di negeri-negeri mengesahkan pelantikan itu.

Betapa signifikannya peranan raja sehinggakan 10 peratus atau 19 daripada 183 perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berhubungan dengan raja. Sehubungan itu, konsep raja berperlembagaan di negara ini bukan sekadar satu simbol, namun mempunyai peranan bermakna dalam urus tadbir negara. Daulat tuanku! – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN