“SAYA akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala daya upaya saya bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaannya.” – Jadual Keenam, Perlembagaan Persekutuan.
Menelusuri sumpah ahli Dewan Rakyat ini dapat memperingatkan bahawa ahli Parlimen memikul satu beban perundangan nan berat iaitu memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Janji ini penting kepada negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen bagi memastikan Parlimen dapat berfungsi dengan baik sebagai badan perundangan Persekutuan sebagaimana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Secara idealnya, ahli Parlimen diharap mampu membawa suara rakyat yang diwakili dalam membahaskan dasar dan rang undang-undang (RUU) yang akan dibawa oleh kerajaan. Pemahaman berkenaan peranan sebenar ahli-ahli Parlimen ini kemungkinan besar mampu menangani masalah ponteng sidang dewan dan berkeupayaan untuk memberi motivasi kepada ahli dewan agar berbahas dengan baik dan tertib.
Kini selepas berakhirnya pilihan raya umum, harapan rakyat tertumpu kepada dasar dan RUU yang akan dibawa oleh kerajaan. Oleh demikian, ahli-ahli Dewan Rakyat berkewajipan menjalankan peranan dan fungsi untuk menjadi penyemak dan pengimbang kepada keputusan, dasar dan RUU ingin diperkenalkan.
Lebih-lebih lagi apabila ia akan memberikan implikasi besar kepada dana awam, juga kehidupan sosial setiap rakyat.
Perbahasan bermutu baik daripada penyokong kerajaan ataupun pembangkang akan membawa kepada kejayaan proses semak dan imbang yang akhirnya membawa kepada persekitaran stabil dan harmoni.
Kestabilan yang menjadi mantera hanya akan tercapai sekiranya ahli-ahli Parlimen memahami kepentingan mereka dalam sistem demokrasi berparlimen.
Ahli Parlimen yang memilih untuk memekik dan melolong akan membazirkan masa yang ada terutama untuk memastikan jentera kerajaan bersedia mengemudi negara menghadapi tahun-tahun mendatang.
Sidang Dewan Rakyat hari pertama menyaksikan ‘persembahan’ hambar dan tidak memuaskan daripada ahli-ahli dewan terutama terdapat yang gagal menghormati aturan ataupun ketertiban dewan.
Kini, polemik terma kerajaan tidak lagi relevan. Apa pun gelaran kerajaan ini, usaha wajar ditumpu kepada perihal kebajikan rakyat. Ahli-ahli Parlimen dalam melaksanakan janji untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan perlu melihat ia benar-benar direalisasikan. Sebarang usaha untuk mengganggu gugat tiang rukun Perlembagaan Persekutuan baik secara langsung ataupun tidak langsung melalui dasar-dasar kerajaan ataupun undang-undang ingin diperkenalkan oleh kerajaan haruslah ditolak dengan tegas.
BAHASA MELAYU
Besar harapan masyarakat bahawa kerajaan yang baharu ini akan meneruskan pindaan-pindaan undang-undang digerakkan oleh kerajaan terdahulu. Misalnya pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang bertujuan memberikan kuasa kepada DBP untuk menguatkuasakan bahasa Melayu dalam sektor ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan terutama penggunaannya dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Pemerkasaan bahasa Melayu ini juga selaras dengan iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah penguasaan bahasa Melayu yang baik dan berkesan dalam masyarakat akan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang dilihat menjadi salah satu isu mendesak akhir-akhir ini. Perihal kestabilan dalam negara tidak boleh dipisahkan dengan perpaduan antara kaum, etnik serta wilayah.
Komitmen dizahirkan oleh Anwar untuk memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu disambut senada oleh ahli-ahli Parlimen. Apa sahaja dasar atau undang-undang yang bertujuan memartabatkan kedudukan Islam harus disokong atas asas agama Persekutuan.
Dalam hal ini, sebarang percubaan untuk menganggu gugat kedudukan institusi agama Islam termasuk mahkamah syariah tidak boleh dibiarkan. Ini juga berhubung penerimaan norma-norma dan triti antarabangsa mengenai hak asasi manusia. Mana-mana percubaan untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Islam tidak boleh diterima sama sekali.
Oleh demikian, penting bagi semua ahli Parlimen memastikan dasar, RUU dan polisi digubal dengan baik dan tidak tersasar daripada Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya ahli-ahli Parlimen lebih gemar ‘mengopi’ daripada menyertai perbahasan dalam dewan, dikhuatiri instrumen semak dan imbang tidak berfungsi dengan efektif. Reformasi institusi Parlimen juga merupakan satu keperluan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk berfungsi dengan lebih efektif bagi memberikan kesan baik yang optimum kepada rakyat.
Tuntasnya, sistem demokrasi berparlimen memberikan ruang dan peluang kepada rakyat untuk berpartisipasi dengan melantik wakil mereka di Parlimen. Ini menunjukkan penyertaan rakyat dari bawah ke atas secara idealnya mampu membawa perubahan kepada negara. Bagaimanapun, peranan aktif perlu dimainkan oleh ahli-ahli Parlimen supaya mereka menyedari bahawa keutuhan negara ini bermula daripada mereka. Tidak boleh dinafikan kestabilan akan membawa kepada kemakmuran. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS); Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).









