Harapan pada mereka yang sedia bekerja

Harapan pada mereka yang sedia bekerja

RAKYAT menaruh harapan tinggi agar kerajaan baharu ditubuhkan melaksanakan dasar dan pendekatan yang boleh memacukan ekonomi negara serta meringankan bebanan hidup. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FORMULA mudah mencari penyelesaian adalah sesuaikan dengan keadaan, bukan mengharap keadaan sesuai dengan kehendak dan selera kita. Ini terutama apabila bertembung suasana yang tiada banyak pilihan.

Lagipun, tiada siapa dapat meneka atau menjangka bila dan di mana ditakdirkan Tuhan, hidup ini dipertemukan dengan sesuatu yang terbaik dan melegakan semua.

Apa pun keadaan, hidup perlu diteruskan ke destinasi yang diidamkan. Justeru, di mana ada peluang dan ruang, urus dan laksanakanlah yang terbaik. Tentu tidak wajar jika ada pihak sengaja menabur kerikil atau ranting menutupi jalan sedangkan di atas permukaan jalan itulah tempat menelusuri perjalanan. Alangkah baiknya jika dapat dielak daripada sebarang gangguan dan halangan agar perjalanan menjadi lancar dan tidak menyulitkan.

Demikian diumpamakan dengan suasana politik tanah air. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah berlalu. Rakyat sudah membuat pemilihan berdasarkan pertimbangan dan perkiraan di sanubari masing-masing.

Tiada siapa boleh persoal dan salah-menyalahkan. Tidak ada lagi kesal dan keluhan. Masing-masing memiliki sebab dan alasan. Itu hak privasi individu pemilih. Dan hasil dan kesannya sudah berada di hadapan mata.

Yang penting sekarang, terimalah suasana yang seadanya. Sudah pun tertubuh sebuah kerajaan baharu dengan barisan jemaah Kabinet baharu. Nilailah dengan jujur tanpa bersalut sentimen atau prejudis. Apa kurang dan apa cacatnya dengan barisan kepimpinan kerajaan yang sudah disenaraikan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara?

Ketepikan soal isu peribadi setidak-tidaknya buat seketika. Yang perlu diutamakan adalah soal keberkesanan (efisiensi). Segala sistem dan peraturan kenegaraan sedia ada boleh disandarkan untuk menentukan sebarang kedudukan mana-mana persoalan sama ada bersabit perundangan atau tatacara tertentu.

Rakyat tetap menaruh harapan tinggi agar kerajaan baharu ditubuhkan melaksanakan dasar dan pendekatan yang boleh memacukan ekonomi negara serta meringankan bebanan hidup khususnya aspek kos sara hidup. Semua pihak patut bersyukur kerana barisan kepimpinan kerajaan yang baharu terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dan orang yang sedia bekerja. Kata-kata ini bukan pula bermaksud untuk membandingkan mereka dengan kalangan yang terdahulu.

Reaksi jemaah menteri yang baharu dilantik agak meyakinkan. Nampak semacam mereka sudah tahu rangka kerja dan pendekatan atau mengenal-pasti isu-isu utama di kementerian-kementerian yang diduduki.

Doakan agar mereka benar-benar berupaya menterjemahkan apa yang diungkap dan dihebahkan kepada umum. Agar mereka fokus dan tidak terganggu oleh apa-apa elemen yang tidak perlu.

PARUT

Suatu sudut menarik boleh diambil sebagai kelebihan (advantage) daripada sesetengah tokoh yang terpilih membarisi Kabinet kerajaan kali ini ialah mereka suka bercakap, berinteraksi dan mengeluarkan kenyataan. Kandungan kenyataan mereka biasanya menjurus kepada janji dan pandangan untuk membawa perubahan dan penyelesaian bagi kepentingan rakyat dan negara. Jadi, secara tidak langsung mereka seolah-olah meletakkan cabaran kepada diri mereka sendiri untuk melangsaikan apa dicakap dan dihebahkan.

Pendirian rakyat adalah mudah. Mereka berharap apa yang dikata, dikotakan. Rakyat tidak minat melihat sebarang perbezaan sehingga mengganggu kelicinan pentadbiran negara. Kalangan pemimpin dilantik diharap tidak melayani lagi karenah dari mana mereka tanpa mengira latar belakang parti yang berbeza.

Elok kalau disembuhkan luka. Walaupun parut dikatakan tetap ada, namun istilah ‘parut’ itu sendiri melambangkan sudah ada kesembuhan. Cuma elak luka lama berdarah kembali. Tumpukan usaha memajukan negara dan membawa kesejahteraan rakyat. Malaysia yang permai memiliki pelbagai sumber untuk dibangunkan. Terbuka potensi untuk dimajukan.

Setiap pemain yang berada dalam satu pasukan tidak perlu menyimpan curiga atau memasang cita-cita yang tidak seragam. Lahir dari sarang berbeza tidak semestinya kekok untuk terbang bersama. Lagipun, semua yang bergelar pemimpin bukan terlalu asing di antara satu sama lain. Sudah lama kenal-mengenal dan sudah memahami secara mendalam semangat atau aspirasi sebenar rakyat Malaysia berpandu apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baguslah, buang prejudis, hentikan provokasi. Menelusuri kerangka atau acuan sekian lama diterima dan dihormati memudahkan perjalanan kehidupan yang damai harmoni. Tidak janggal dan tidak ada ruginya memperakui hal-hal asas kenegaraan seperti kedudukan Islam dan kedaulatan institusi raja-raja Melayu, mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menghormati hak-hak keistimewaan orang Melayu.

Semuanya perlu menjurus kepada membina ikatan perpaduan, ukhuwah dan saling bekerjasama berpaksikan nilai-nilai sayangkan negara. Malaysia unik dan tersendiri dalam erti kata kehidupan rakyatnya bersifat majmuk dengan berlatar-belakangkan anutan agama, etnik dan budaya berbeza. Dalam masa sama, tiada sesiapa atau mana-mana pihak dinafikan hak untuk menjayakan kehidupan, menikmati kemakmuran.

Sama-sama meraikan persamaan dan sama-sama menghormati perbezaan.

Malaysia boleh kekal stabil, makmur dengan mengamalkan konsep urus tadbir negara secara konsensus, bersederhana, inklusif dan adil untuk semua. Masa tidak pernah terlewat untuk berubah, mencari dimensi baharu ke arah kebaikan. – UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN