ALOR SETAR: Seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemukan maut dibunuh di sebuah pondok di Taman Rekreasi Persisiran Sungai Raja di sini, semalam.
Mangsa, Wong Tek An, 55, ditemukan kira-kira pukul 9.20 pagi oleh pekerja pembersihan dengan kesan kecederaan pada muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di pondok tersebut.
Katanya, mangsa disahkan maut oleh pihak perubatan dengan tempoh kematian dipercayai kurang empat jam berdasarkan kesan darah yang masih baharu.
“Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa termasuk luka di bahagian bawah dagu, lebam pada kepala sebelah kiri serta pendarahan pada telinga kiri.
“Terdapat juga lebam pada kedua-dua mata, kesan luka pada bahagian leher dan luka kecil di sebelah kanan dagu,” katanya.
Syed Basri berkata, pemeriksaan turut menemukan dua batang kayu yang telah patah berhampiran mangsa, selain tiada kesan pergelutan atau seretan ditemukan di lokasi kejadian.
Menurutnya, pekerja pembersihan yang menemukan mangsa mengenali lelaki itu sebagai gelandangan yang berada di kawasan rekreasi tersebut sejak awal tahun ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian. – UTUSAN











