TANGGUNGJAWAB utama sesebuah kerajaan ialah menjaga kebajikan dan melindungi rakyat serta membangunkan negara. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi akan membuat keputusan-keputusan sangat kritikal dan signifikan demi memastikan setiap perancangan dan inisiatif yang dilaksanakan mencapai objektif dan sampai kepada kumpulan sasaran. Proses membuat keputusan dilihat fasa yang cukup penting dan ia mesti betul, tepat dan telus.
Walaupun pelbagai faktor akan diteliti sebelum sesuatu keputusan dibuat, keputusan berdasarkan data adalah yang paling penting dan akan memudahkan proses pembuatan keputusan. Justeru, pembuat dasar dan keputusan perlu memberi keutamaan kepada kepentingan data dalam sesuatu proses pembuatan keputusan agar semua keperluan diambil kira dengan tepat.
Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli turut menggesa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memperkasakan peranan sebagai peneraju perkhidmatan statistik negara bagi membolehkan jabatan itu membantu kerajaan membuat keputusan dengan tepat dan cepat kepada golongan sasar. Hal ini sememangnya dilihat signifikan kerana DOSM memiliki banyak data penting yang boleh digunapakai secara optimum untuk membantu rakyat dan membangunkan negara.
Ironinya, walaupun timbul polemik analisis data yang terkumpul boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak mengikut kepentingan, namun secara jujurnya kutipan data asas diperoleh tidak pernah menipu dan menggambarkan keadaan sebenar sesuatu perkara. Misalnya, data tenaga buruh Malaysia yang dikeluarkan oleh DOSM secara sukuan banyak membantu untuk kita menilai bagaimana boleh meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di negara ini. Kita juga mengalu-alukan langkah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang dilaporkan akan menggunakan data serta statistik lebih strategik bagi mengurangkan jumlah kematian dan kemalangan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan pada 2023.
Jadi, kita berharap setiap agensi kerajaan khususnya memberi perhatian serius kepada keperluan untuk membuat sesuatu keputusan berdasarkan data terutama dasar serta perancangan membabitkan kepentingan rakyat dan negara.
Hakikatnya, negara kita sedang berhadapan pelbagai masalah seperti ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi, kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga barangan, kekurangan peluang pekerjaan serta keperluan menyalurkan subsidi secara bersasar kepada kumpulan rentan yang berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40). Semua masalah ini memerlukan penyelesaian tuntas dan menyeluruh supaya dapat memulihkan kehidupan rakyat. Jalan penyelesaian yang diharapkan mestilah berputik daripada keputusan perancangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif secara cekap dan efisien di mana ini mesti dilakukan berpaksikan data betul dan tepat.
Membuat sesuatu keputusan bukanlah proses mudah apatah lagi jika ia boleh memberi implikasi besar kepada khalayak. Justeru, kita perlu memahami keseluruhan proses membuat keputusan berdasarkan data supaya tidak salah.
HOLISTIK
Proses membuat keputusan mesti bermula dengan fasa mengenal pasti masalah sedang berlaku termasuklah jangkaan masalah yang bakal dihadapi baik dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Bagi mengenal pasti masalah tersebut, kita perlu membuat proses kutipan data supaya dapat meneliti situasi sebenar sekarang merangkumi punca dan faktor mempengaruhi keadaan yang wujud selain kutipan data membabitkan ramalan kemungkinan boleh berlaku masalah lebih serius pada masa akan datang.
Misalnya, kita perlu mengambil kira pelbagai data yang meramalkan kemungkinan besar akan berlaku ketidaktentuan ekonomi lebih serius pada 2023. Hal ini penting kerana jika benar ramalan ini, maka kita akan menyaksikan berlakunya lagi kenaikan kos sara hidup sekali gus negara terpaksa berbelanja lebih untuk mengimport barangan makanan yang kini mencecah RM65 bilion setahun.
Ironinya, semakin banyak dan tepat maklumat atau data diperoleh, maka kebarangkalian kita mendapat keputusan tepat adalah lebih tinggi. Data secara lazimnya boleh dikutip melalui beberapa kaedah seperti pemerhatian, peninjauan, pemantauan, temu duga, soal selidik serta maklum balas kumpulan sasaran.
Selepas proses pengutipan data, kita perlu membuat analisis secara terperinci setiap maklumat diperoleh secara telus supaya memberikan gambaran sebenar berkaitan situasi semasa. Analisis data merupakan fasa utama yang memberikan hasil daripada suatu pengumpulan data dan boleh dijadikan asas dalam pembuatan keputusan.
Secara umumnya, data yang dikumpul dari pelbagai sumber akan dikaji dan kemudian dianalisis untuk membentuk semacam penemuan atau kesimpulan yang akan membawa kita kepada fasa penting berikutnya, iaitu menjana pelbagai pilihan alternatif atau cadangan penyelesaian kepada sesuatu masalah sedang kita hadapi. Dengan segala data yang ada, kita sewajarnya mampu mencerakin secara holistik masalah yang ada terutama dari segi punca dan kesan, seterusnya boleh mencerna senarai jalan penyelesaian bersesuaian.
Fasa berikutnya membabitkan proses meneliti dan menilai semula setiap alternatif atau jalan penyelesaian yang telah digariskan secara lebih terperinci terutama dari segi kebolehlaksanaan setiap alternatif serta sejauh mana ia praktikal serta realistik untuk diterjemahkan dalam bentuk dasar mahupun inisiatif. Senarai alternatif perlu diteliti dengan mengambil kira kekuatan dan kelemahan yang ada selain peluang dan ancaman yang wujud.
Akhirnya, kita akan sampai ke fasa memilih alternatif atau jalan penyelesaian difikirkan paling ideal untuk dilaksanakan setelah mengambil kira kemampuan sumber yang ada serta impak dan manfaat boleh dinikmati oleh kumpulan sasaran. Alternatif dipilih seharusnya menjanjikan hasil terbaik dan menguntungkan semua pihak yang terkesan dengan masalah yang wujud.
Secara prinsipnya, pada saat sangat genting seperti sekarang, kerajaan perlu membuat pelbagai keputusan sukar termasuk yang kurang popular demi kelangsungan hidup rakyat serta pembangunan negara. Dalam konteks ini, kita tidak memerlukan keputusan bersifat populis dan berkepentingan politik sebaliknya mesti bersandarkan fakta dan keperluan rakyat. Untuk membuat keputusan tersebut dengan cepat, cekap, efisien serta tepat, ia memerlukan data lengkap dan betul supaya dapat menangani segala permasalahan yang ada.
Tuntasnya, setiap agensi kerajaan wajar menitikberatkan proses pembuatan keputusan berdasarkan data supaya kita dapat mencari jalan penyelesaian yang betul dan tepat untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan memulihkan negara. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.










