SUSULAN Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada akhir November lalu, raja-raja antara lain bertitah menggesa kerajaan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat serta menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan seluruh Bangsa Malaysia.
Dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang, aspek perpaduan amat penting. Persefahaman, saling mengenali, memahami dan bertolak ansur adalah asas kepada perpaduan.
Sehubungan itu, hal-hal berkaitan budaya kaum India amat perlu ditulis dan diterbitkan dalam bahasa kebangsaan supaya orang ramai mengenali penduduk minoriti ini yang terdiri daripada keturunan Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi dan sebagainya.
Pandangan ini saya lontarkan dalam perbualan bersama beberapa rakan, baru-baru ini. Rata-rata bersetuju serta mengemukakan cadangan bagaimana ia boleh dilakukan.
“Perkara ini perlu diusahakan untuk mengenali penduduk pelbagai kaum dan keturunan,” kata Rizol Md. Ariff, seorang pesara dari Balik Pulau, Pulau Pinang.
Turut bersetuju ialah penulis veteran, M. Mahendran dari Bentong, Pahang. Pada penelitiannya sejak belakangan ini, adat resam dan budaya sesuatu kaum tidak diketahui kaum lain, malah kurang arif budaya sendiri.
“Saya sangat suka kalau ditulis pengenalan mengenai ciri-ciri Malayali, Telugu, Tamil dan Punjabi. Apakah persamaan dan perbezaan yang ada, selain bahasa pertuturan?” Rushida Abdul Wahid, seorang suri rumah dari Klang, Selangor melahirkan rasa ingin tahu.
Pada pandangan Sivapalan Selvadurai, seorang pensyarah sambilan dari Kajang, Selangor, penulisan dan dokumentasi penting untuk memastikan jati diri dan budaya kaum India terus terpelihara dan diraikan.
“Umpama memelihara biodiversiti alam semula jadi, ada juga keperluan memelihara sosio-superdiversiti India sebagai khazanah budaya dan peradaban Asia dalam kerangka nilai sejagat,” katanya.
Adat dan budaya merupakan nadi masyarakat. Bekas Pengarah di Jabatan Penerangan, Dr. Amerjit Singh dari Seremban, Negeri Sembilan menyifatkan adat dan budaya sebagai irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat.
“Hal-hal berkaitan budaya masyarakat Punjabi amat perlu ditulis dan diterbitkan dalam bahasa kebangsaan demi memupuk persefahaman dan mengeratkan perpaduan di Malaysia,” beliau menghuraikan.
Seorang guru dan penulis dari Cheras, Kuala Lumpur, Malini Lakshmi Bai menegaskan, usaha mendokumentasi aspek budaya kaum India dalam bahasa kebangsaan amat penting untuk generasi muda masa kini dan akan datang, termasuk bagi masyarakat India sendiri.
Bercakap tentang aspek budaya yang wajar ditonjolkan, Rizol mengingatkan bahawa aspek seperti kasih sayang bersifat universal dan amat sesuai diketengahkan untuk bacaan rakyat.
“Falsafah hidup individu dengan dunia seperti realiti material, realiti sosial dan realiti alam, kitaran hidup individu, cara menangani kehidupan bermasyarakat dan mencari kebahagiaan duniawi juga unsur universal yang boleh ditonjolkan dari sudut pengalaman kaum India,” tambah Sivapalan.
RENCAM
Budaya kaum India amat rencam. Majoriti kaum India di Malaysia beragama Hindu. Maka pada pandangan Mahendran, tidak salah jika upacara sembahyang di kuil dan rumah turut dipaparkan dalam penulisan.
“Kebanyakan kaum lain tidak faham tujuan penyembahan atau pemujaan berhala oleh orang Hindu. Jadi, penulisan dalam bahasa kebangsaan boleh membantu memberi penerangan secara objektif,” katanya.
Rushida bersetuju kerana dia sedar, tujuan penulisan supaya masyarakat dapat mengenali dengan lebih jelas budaya India-Hindu di Malaysia.
“Sesama kita rakyat Malaysia dapat saling mengenali dan saling menghormati ke arah membina negara yang lebih harmoni dan sejahtera,” ujarnya.
Bagi Amerjit, contoh budaya yang amat perlu dipaparkan adalah pemakaian serban bagi lelaki Sikh dan baju Punjabi labuh serta salwar oleh kaum wanita Sikh.
Nilai-nilai murni, seni, busana tradisional, bahasa, dialek, tulisan, permainan tradisional, makanan tradisional, aktiviti ekonomi dan kemahiran seni halus pula menjadi pilihan Malini yang juga pakar seni henna (inai).
Dalam perbualan kami, timbul juga persoalan tentang siapa yang wajar memikul tugas dan tanggungjawab menulis tentang budaya kaum India dalam bahasa kebangsaan. Tentulah Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melakukannya sejak diasaskan pada 1999 tetapi usaha itu belum mencukupi.
Pada pandangan Rizol dan Rushida, semua orang yang berkemampuan dari segi ilmu pengetahuan (budaya India) dan berkemahiran dalam penulisan perlu melakukannya. Maknanya, bukan hanya tugas penulis kaum India.
“Aspek budaya boleh diajar dan diterangkan sejak sekolah rendah menerusi semua mata pelajaran. Penulis kaum India pula perlu memainkan peranan menyebar dan menyedarkan masyarakat menerusi penulisan yang berwibawa dan penuh maklumat,” kata Mahendran, lalu disetujui Malini.
Bagi penulisan berkaitan budaya Sikh, Amerjit mencadangkan biarlah perkara itu dirujuk kepada jawatankuasa di gurdwara sahib (rumah ibadat) yang mempunyai pemikir dan penulis yang ada kredibiliti dan kemahiran menulis. Soalan seterusnya yang timbul, bagaimana untuk menyebarkan hasil tulisan ini kepada orang ramai?
Amerjit menegaskan, mekanisme paling berkesan pada masa kini ialah media sosial. Malini mencadangkan tulisan di blog, laman sesawang dan media sosial, selain rencana di akhbar bercetak.
Rizol juga hampir senada, lalu menambah cadangan penggunaan sesi forum dan dialog selain penerbitan buku secara fizikal. Malah, katanya, WhatsApp juga boleh dimanfaatkan.
“Sudah ada blog khusus untuk menyiarkan karya tentang budaya kaum India. Penulis perlu memanfaatkan ruang dan peluang yang ada,” kata Mahendran sambil merujuk portal Sastera Kavyan yang kurang dimanfaatkan.
Rushida menambah, ruang yang tersedia di akhbar dan majalah juga wajar dimanfaatkan. Sebenarnya, terbukti ruang dan peluang memang tersedia untuk menyiarkan tulisan berkaitan budaya kaum India dalam bahasa kebangsaan.
Jika mahu menerbitkan buku, Sivapalan mencadangkan syarikat milik kaum India, jawatankuasa kuil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India tampil membantu dari segi kewangan.
“Penulis, guru dan pensyarah boleh cuba meminta sumbangan bagi menjayakan usaha murni menerbitkan buku berkaitan budaya kaum India,” katanya penuh optimis. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










