PADA 24 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella. Dakwaan yang dibuat di nahkamah sesyen adalah berdasarkan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Penganiayaan kanak-kanak di negara ini bukanlah benda baharu dan sudah sekian lama berlaku. Pada 2022 (Januari-Jun), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan sebanyak 1,055 kanak-kanak yang dianiaya adalah disebabkan masalah kewangan keluarga. Kurang upaya kanak-kanak juga antara sebab kenapa sesetengah daripada mereka didera dan dianiaya.
Kes penganiayaan terhadap kanak-kanak istimewa seperti Bella juga tidak terkecuali dan ini lebih ketara sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan Covid-19 pada 2020 dan 2021, di mana kanak-kanak terpaksa duduk di rumah yang sentiasa berada di bawah kawalan ibu bapa.
PENGASUH
Ibu bapa memainkan peranan penting, iaitu sedikit sebanyak menyebabkan masalah penganiayaan terhadap kanak-kanak menular. Ibu bapa perlulah memastikan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka sentiasa dilindungi terutama sekali pasangan yang telah berpisah atau berkahwin semula. Kanak-kanak tersebut akan terkesan sekirannya ibu bapa tiri tidak memberi kasih sayang sewajarnya seperti ibu bapa kandung.
Disebabkan kesibukan kerja harian, ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka kepada pengasuh yang juga tidak terlepas daripada perbuatan aniaya dan cuai dalam mengasuh kanak-kanak tersebut. Ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Sekiranya kes seperti Bella tidak memberi impak kepada individu dewasa dalam memastikan kes-kes aniaya tidak berlaku lagi, dengan itu pihak tertentu perlulah mengambil langkah-langkah proaktif seperti meningkatkan amaun denda terhadap pesalah. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan pensyarah undang-undang di Advance Tertiary College, Kuala Lumpur.










