Beautiful Terengganu di musim banjir

Beautiful Terengganu di musim banjir

RUMAH bot beroperasi seperti biasa membawa pelancong mengelilingi Tasik Kenyir di Hulu Terengganu, Terengganu walaupun pada musim tengkujuh. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN pelancong di Terengganu pada musim tengkujuh tidak banyak terjejas apabila kerajaan negeri membuka pintu penuh kemesraan kepada pengunjung yang tidak mahu ketinggalan menikmati Beautiful Terengganu pada hujung tahun. Slogan Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Pun Baik-Baik cukup istimewa apabila berjaya menarik kunjungan ramai pelancong untuk menerokai keindahan alam, mengenali rakyatnya, merasai keunikan makanan serta kaya dengan budaya walaupun di musim banjir.

Tiada masalah besar dihadapi pelancong untuk mengunjungi Terengganu pada musim tengkujuh kerana diakui bukan setiap masa dibasahi hujan dan tidak semua kawasan ditenggelami banjir. Maklumat situasi banjir negeri juga boleh diperoleh di hujung jari dengan melayari atau menghubungi pihak berkuasa bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat.

Bagaimanapun, diakui kehadiran pelancong pada musim cuti persekolahan pada hujung tahun ini berkurangan berbanding awal dan pertengahan tahun. Namun, terdapat pelancong sanggup meredah hujan kerana tidak mahu melepaskan peluang bercuti bersama rakan dan keluarga di bumi Darul Iman ini walaupun musim tengkujuh.

Banjir bukan lagi satu alasan percutian tidak ‘rancak’ sebaliknya pelancong yang mempunyai waktu terhad bercuti masih boleh mengunjungi negeri ini yang cukup mengujakan. Antara kelebihan melancong di Terengganu pada musim tengkujuh adalah berpeluang ‘bermain banjir’ sambil mendalami kehidupan penduduk di negeri ini yang unik pada musim tengkujuh.

Pada masa sama, kebanyakan kawasan tumpuan pelancong di negeri ini juga tidak ditutup sepenuhnya dan beroperasi seperti biasa kecuali sekiranya cuaca terlalu buruk. Keluasan pantai sepanjang 13,000 kilometer persegi menghadap Laut China Selatan, pelancong yang berada di negeri ini dapat meninjau perkampungan kecil, deretan pulau yang cantik dan pantai cukup indah.

Pada masa sama, pelancong juga berpeluang mengunjungi deretan kedai makan dengan menu masakan laut yang cukup menyelerakan. Malah, premis makanan tradisional terkenal yang menjual nasi dagang, nasi kerabu, laksam dan keropok lekor tetap beroperasi seperti biasa kerana tidak terjejas dengan banjir.

Selain itu, salah satu lokasi menarik yang tetap beroperasi dan dikunjungi pencinta alam adalah Tasik Kenyir terletak di Hulu Terengganu. Tasik berkeluasan 38,000 hektar tersebut dikelilingi ratusan pulau kecil dengan tumbuhan subur hutan hujan tropika dan antara terapi terbaik bagi mereka yang mahu melarikan diri daripada kesibukan kota raya. Pada masa ini, sebanyak 80 buah rumah bot dan 42 bot laju beroperasi di Tasik Kenyir.

JAMBATAN ANGKAT

Dalam pada itu, terdapat banyak tempat pelancongan lain di sekitar Kuala Terengganu yang tidak terjejas dengan banjir seperti Pasar Kedai Payang, Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal, jambatan angkat dan pembuatan batik diusahakan beberapa syarikat di daerah ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga tidak mengeluarkan arahan penutupan pulau peranginan sepanjang musim tengkujuh pada tahun ini. Antara pulau-pulau menarik yang menjadi tumpuan pelancong adalah Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah, Pulau Tenggol dan Pulau Gemia.

Pengusaha pelancongan pula tetap diingatkan untuk sentiasa berwaspada serta mengutamakan aspek keselamatan susulan perubahan keadaan cuaca tidak menentu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman sebelum ini memberitahu, kerajaan tidak mengeluarkan arahan penutupan pulau walaupun mempunyai kuasa untuk mengarahkan pulau-pulau ditutup.

“Terpulang kepada pengusaha pelancongan terutama di pulau-pulau peranginan untuk memutuskan sama ada ingin menutup atau meneruskan operasi mereka pada musim tengkujuh ini.

“Apa yang pasti, mereka yang ingin beroperasi perlu mengutamakan keselamatan pelancong seperti mewajibkan pemakaian jaket keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun memaklumkan, kadar purata tempahan bilik penginapan kebanyakan hotel di Terengganu pada musim cuti sekolah hujung tahun melebihi 25 peratus. Perkembangan tersebut menunjukkan masih terdapat ramai dalam kalangan pelancong domestik yang masih berminat untuk berkunjung ke Terengganu pada musim banjir.

“MAH Chapter Terengganu menaruh keyakinan kehadiran pelancong ke Terengganu meningkat dan tempahan hotel bertambah sekiranya keadaan cuaca lebih baik pada musim cuti persekolahan sekarang,” ujarnya.

Kerajaan negeri Terengganu turut berbangga apabila mencapai sasaran seramai tiga juta pelancong berkunjung ke negeri ini sepanjang 2022. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×