MUKADIMAH
SEPERTI di Sarawak, Parti Warisan (Warisan) di Sabah mengimpikan satu blok Parlimen untuk menjadi kingmaker dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.
Siapa menduga, daripada 52 kerusi Parlimen ditandingi Warisan di seluruh negara termasuk 25 kerusi di Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), parti itu hanya menang tiga kerusi di Semporna, Lahad Datu dan Kota Belud.
Jumlah itu terlalu sedikit untuk Warisan meletakkan pelbagai permintaan dan syarat bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan.
Di Penampang, Timbalan Presiden Warisan, DATUK DARELL LEIKING gagal mempertahan kerusi itu apabila tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ewon Benedick dengan majoriti undi 14,410.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, Darell menjelaskan, ini bukan pengakhirannya kerana Warisan akan terus berjuang menuntut hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
UTUSAN: Komen selepas kalah di Parlimen Penampang?
DARELL: Saya berterima kasih kepada mereka yang telah mengundi baru-baru ini dan memberi saya peluang selama dua penggal menjadi wakil rakyat. Inilah proses demokrasi dalam negara, rakyat telah memilih siapa pemimpin mereka. Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Penampang yang baharu daripada PH, Datuk Ewon Benedick.
Daripada lapan kerusi Parlimen dimenangi pada PRU14, kini hanya tinggal tiga. Di mana silapnya?
Salah satunya ialah ketidaksefahaman rakyat Sabah sendiri terhadap perjuangan kami. Warisan mahu mencontohi wilayah Sarawak yang telah pun menubuhkan blok Parlimennya sendiri.
Akhirnya, persefahaman yang terjalin dalam kalangan mereka telah menjadi ‘aset’ yang boleh membangunkan dan memajukan Sarawak.
Apa yang kami tawarkan kepada rakyat Sabah juga sama. Kami hanya menawarkan rakyat Sabah supaya pemimpin kita juga membina satu blok di mana kita boleh bertegas dan memberi syarat-syarat tertentu sebelum Sabah bersetuju bekerjasama dengan gabungan parti politik lain di Semenanjung untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Apa berlaku?
Mungkin disebabkan gelombang yang sangat kuat dari Semenanjung sehingga merebak ke Sabah, maka matlamat kami untuk menukarkan kerajaan dan melantik seorang Perdana Menteri tidak dapat direalisasi.
Kita juga lihat selepas tamat PRU15, ada pula ‘gelombang merah dan gelombang hijau’ (Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pas) yang telah mendapat undi lebih banyak, menyebabkan politik negara semakin berpecah. Sepatutnya kita bersama-sama membina negara, bukannya semakin berpecah-belah.
Warisan tidak mengakui kesilapan sendiri walaupun sedikit?
Saya tidak tahu apa lagi silap yang kami lakukan. Hal ini terpulang kepada pendapat individu berdasarkan penelitiannya terhadap Warisan. Kami gagal atau tidak, terserah. Warisan selalu dituduh sebagai parti yang hilang fokus tetapi saya tegaskan, kami bukan seperti itu. Warisan tetap berjuang untuk hak-hak rakyat Sabah.
Sementara yang lain pun hanya fokus supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. Sedangkan kami pula fokus kepada Sabah dan berusaha menjadikan wilayah ini sebagai rakan kongsi sama rata dalam Kerajaan Persekutuan. Saya yakin, Warisan telah pun memberi tawaran yang terbaik kepada semua pengundi di setiap daerah di Sabah.
Adakah Datuk membenci parti politik dari Semenanjung?
Saya tidak bermaksud begitu sebab keahlian mereka juga terdiri daripada rakyat Sabah. Warisan hanya ingin ada satu parti politik di mana sebarang hal berkaitan Sabah hanya boleh ditentukan oleh parti tempatan dari Sabah sendiri, bukannya dari luar.
Sarawak sudah menunjukkan satu model atau formula yang baik, memandangkan Sabah juga mempunyai hak-hak sama yang termaktub dalam MA63. Jadi, ini yang kami mahu laksanakan.
Tetapi akhirnya, gelombang dari Semenanjung pula turun dan membuatkan ramai rakyat Sabah tidak faham agenda dan perjuangan kami.
Benarkah Warisan kalah disebabkan hilang sokongan pengundi Cina?
Beginilah, orang Sabah sepatutnya faham inti pati perjuangan kami. Malangnya, mereka hanya nampak ‘visi’ daripada parti politik di Semenanjung. Warisan sama seperti yang lain, mahu menukarkan Kerajaan Persekutuan melalui kerjasama blok Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin yang terlibat harus setuju dengan syarat-syarat yang akan dikemukakan oleh Sabah sendiri sebelum kerajaan terbentuk. Jawapannya, berbalik kepada MA63.
Adakah kehilangan sokongan masyarakat Cina berkait dengan ucapan Presiden Warisan yang didakwa menghina kaum itu sebelum ini?
Saya tidak fikir ia disebabkan itu (isu ‘seekor Cina’). Seperti saya jelaskan, ia hanyalah gelombang PH untuk menukarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
Bagaimana kerjaya politik Datuk selepas ini?
Saya masih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog dan saya tetap bekerja untuk rakyat di kawasan ini.
Adakah Datuk akan kembali lagi pada PRU16?
Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. – UTUSAN










