MUKADIMAH
NAMA PROFESOR DATUK DR. AHMAD MURAD MERICAN tidak asing lagi terutama dalam kalangan peminat sejarah tempatan kerana sering kali mencetuskan pelbagai isu kontroversi waima ketokohan dirinya dianggap sebaris dengan pakar akademik terkenal, mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.
Ironinya, penyertaan sarjana itu dalam kancah politik apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA) dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengakibatkannya dipandang janggal apatah lagi sepanjang terlibat dalam dunia ilmiah, dirinya tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana parti siasah.
Namun ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, AMREE AHMAD dan jurufoto, AFIQ RAZALI di Kuala Lumpur, baru-baru ini, ilmuwan berasal dari Pulau Pinang itu mendedahkan banyak perkara tersirat yang jarang disiarkan secara terbuka dan menghuraikan sumbangan dimainkan dalam arus politik perdana melalui wadah pilihan raya umum (PRU).
Ini termasuk blok itu sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) demi memenuhi agenda besar menumbangkan Barisan Nasional (BN) meskipun terpaksa menggunakan taktik matlamat menghalalkan cara atau disebut Machiavellianisme.
UTUSAN: Ramai orang termasuk pengamal politik masih skeptikal dengan GTA kerana blok ini macam celaru identiti, tiada jati diri, cacamarba hala tuju. Komen?
AHMAD MURAD: Saya antara yang bertanggungjawab mencetuskan idea GTA setelah dipanggil Dr. Mahathir sebelum blok ini ditubuhkan bagi membolehkan rakyat yang bukan ahli mana-mana parti dapat terlibat dalam mencorakkan politik negara menerusi platform formal.
Puncanya, parti politik dilihat melebihi segala-galanya, lebih atas daripada agama, saluran unggul kekal demokrasi walhal boleh ada wadah tanpa parti siasah. Di Eropah ada kesedaran bahaya parti politik sejak dekad 1920-an dengan pengikut dan pemimpin hilang rasional. Budaya ini kena ubah dan digerakkan oleh tokoh tidak terikat parti politik dan ini masih dalam ruang lingkup perlembagaan selain pemerintahan tentera semasa Majlis Gerakan Negara (Mageran) 1969-1971 serta pemerintahan awam penuh ketika krisis politik Kelantan dan Sarawak, akhir 1970-an dahulu.
Jadi, idea GTA bukan baharu kerana opsyen pemerintahan bukan parti politik pernah berlaku di Malaysia bagi menangani defisit kepercayaan teruk rakyat terhadap pemimpin siasah. Saya sendiri yang cadang perkataan Tanah Air sebagai platform gerakan rakyat dengan adunan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digelar Gagasan Bangsa dan individu prihatin khususnya pakar akademik untuk mengambil bahagian aktif dalam pentadbiran negara.
Dr. Mahathir mendakwa mahu memastikan Malaysia tidak akan jadi seperti Singapura apabila Melayu hilang kuasa diperintah kaum pendatang. Padahal ketika memimpin PH, orang Melayu melihat kepentingan mereka dihakis termasuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan menghapuskan hak istimewa Melayu, Islam dan raja-raja. Komen?
Ramai tak faham Dr. Mahathir dan menyalahkannya sebagai punca gejala di Malaysia. Dia keluar UMNO, tubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) bergabung dengan PH untuk tangkap ‘pencuri’ duit negara dan jika tidak ditangkap, negara hancur. Beliau bertegas, sifat UMNO lebih penting daripada kepentingan negara maka beliau buat sesuatu untuk sekat kemaraan UMNO dan dapat kuasa untuk dakwa pemimpin parti itu walaupun penyokong UMNO kata sebaliknya.
Beliau pun tak sangka menang dan pentadbiran jurus apa dirancang tetapi beliau ada 22 bulan sahaja. Dr. Mahathir sudah sedar lama penguasaan pendatang Cina sejak 1946 lagi menerusi komen di akhbar The Straits Times, Singapura. Bacalah buku Dilema Melayu tulisan Dr. Mahathir, ia tunjuk kesedaran beliau melalui surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj selepas negara merdeka. Dia berhenti mengejut pada 2020 lalu pun kerana kecewa dengan PH walhal mana ada diktator yang bodoh akan letak jawatan serah kuasa kepada orang lain.
GTA dilihat cuba berlagak menjuarai isu Islam yang konon gagal diperjuangkan BN melalui UMNO sedangkan ramai tidak lupa selama 22 bulan diperintah PH, Dr. Mahathir sendiri ironinya merestui pemansuhan mengejut Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) yang banyak berjasa sebagai benteng menangkis fahaman subversif anti-Islam di negara ini. Boleh ulas?
Pasal apa sebut contoh itu sahaja? Siapa isytihar Malaysia negara Islam? Bukan Pas tetapi Dr. Mahathir pada 1982. Siapa tubuh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), bagi ruang banyak kepada Islam? Ini semua pemikiran Melayu songsang, dangkal, malas, berfikir dan cuma lihat isu IKSIM yang seleweng dana.
Ramai melihat GTA tidak begitu kuat dan hanya pandai cakap malah ini dapat dilihat apabila Dr. Mahathir menawarkan mahu bekerjasama balik dengan PKR dan Bersatu sehingga digelar PH 2.0 untuk menewaskan BN. Komen?
Memang GTA baharu, belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Kerjasama sebegini ada pelbagai cara dan tidak salah, bukan ludah muka sendiri sebab tujuannya satu, iaitu untuk hapus Melayu ‘jahat.’ Maka GTA boleh kerjasama dengan PH dan PN.
Ini bukan sekadar strategi waima dikatakan sebagai Machiavellian (penuh tipu muslihat). Apakah langsung tiada pemimpin kita yang selama ini mengamalkan Machiavellianisme? Apakah ini berdosa besar dan salah? Saya tahu ramai gelak GTA tetapi dalam isu politik, strategi ini bukan tidak dibenarkan.
Rakyat masih tidak lupa apabila Dr. Mahathir pernah menyuruh rakyat ikat perut dan jangan diharap bantuan kerajaan kerana konon ia semua adalah rasuah. Komen?
Apabila Dr. Mahathir kata Melayu pemalas, memang betul dan beliau pun tidak pernah minta maaf sebab adakah jika beliau puji, Melayu akan bangkit jadi hebat, maju dan tidak pemalas?
Padahal kita tidak patut malu belajar daripada Cina, malah saya pernah tulis hal ini dalam pada 2008. Kenapa bangsa pendatang itu yang sedikit jumlahnya boleh mengatasi Melayu?
Tengok industri akhbar Melayu pun sudah boleh tahu. Dalam usaha kami memajukan GTA, semua NGO yang sealiran mestilah bertanding, itu perkara logik, bukan luar biasa pun. Kalau kata tagih undi, semua parti lain pun tagih undi dan terbuka bekerjasama untuk menang PRU. Apa yang penting, kita mahu betulkan perkara salah jika dapat balik kuasa. – UTUSAN










