SEJAK tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu 19 November ini, maka banyaklah kumpulan pengkaji politik muncul menjalankan survei untuk menduga keputusan PRU akan datang ini.
Sehari dua lalu, terdapat 18 kumpulan pengkaji politik mengumumkan hasil kajian masing-masing. Rumusan kesemua hasil kajian ini menyimpulkan bahawa daripada 222 kerusi Parlimen yang ditandingi dalam PRU15, Pakatan Harapan (PH) dikatakan akan memenangi 94 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 50, dan Barisan Nasional (BN) hanya 38.
Adakah penemuan ini boleh dipercayai? Atau ramalan tersebut hanya merupakan satu berita palsu yang digunakan untuk membina persepsi politik prapengundian?
Pada PRU13 (2013), ketika jawatan Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, BN memenangi 133 kerusi (UMNO menang 88 kerusi), berbanding 90 kerusi dimenangi oleh Pakatan Rakyat (gabungan PKR, DAP dan Pas). BN terus berjaya membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti selesa di dalam Dewan Rakyat.
Namun begitu, pada PRU14, BN hanya memenangi 79 kerusi (54 kerusi dimenangi UMNO), berbanding PH memenangi 113 dengan PKR (49), DAP (42), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 12 dan Parti Amanah Negara (Amanah) 10 dan Pas (18). Selebihnya dimenangi oleh parti-parti lain dan calon Bebas.
PH membentuk kerajaan dengan majoriti tipis dua kerusi. Kemenangan PH dalam PRU14 itu tentulah mempunyai kaitan sangat rapat dengan kemunculan semula Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam arena politik. Beliau (Dr. Mahathir) berjaya membangkitkan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menyemai sikap kebencian pengundi atas pagar (bukan pengundi tegar parti) terhadap UMNO/BN serta membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.
Barangkali kemunculan Dr. Mahathir bersama PH ketika itu telah membantu mengurangkan sokongan pengundi terhadap BN dan menambah sokongan pengundi terhadap PH.
Pendeknya dalam PRU14, UMNO/BN ditolak oleh para pengundi atas pagar yang memberikan undi mereka kepada PH. Tidak dapat dinafikan, UMNO/BN menerima hukuman politik paling teruk dalam sejarah PRU di negara ini. Hukuman teruk terhadap UMNO/BN ini tidak akan berulang lagi.
JANJI MANIS
Persoalan di sini, adakah UMNO/BN akan dihukum sekali lagi oleh para pengundi pada PRU15? Pada PRU15 kali ini, Dr. Mahathir tidak lagi menjadi faktor pemersatu dalam kalangan pelbagai parti yang memusuhi BN. Dalam PRU15 ini juga, faktor 1MDB tidak lagi berbangkit kerana isu ini telah dan sedang dibicarakan di mahkamah. Faktor jam tangan dan beg tangan mewah juga tidak berbangkit lagi kerana pemiliknya juga telah dibicarakan dan didapati bersalah oleh mahkamah (bukan kerana pemilikan barang mewah tersebut). Kes jutaan ringgit wang tunai yang dirampas dari rumah Najib juga tidak berbangkit lagi kerana mahkamah mendapati wang tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.
Oleh kerana kegagalan kerajaan PH memerintah negara dengan baik (selama 22 bulan) dan gagal melaksanakan janji manis mereka dalam manifesto pilihan rayanya, dan juga pertelagahan dalam kalangan pucuk kepimpinan PH yang menyebabkan kerajaan mereka tumbang, sebahagian besar pengundi atas pagar tidak lagi menaruh harapan kepada PH untuk memerintah sekali lagi. Harapan besar ditaruhkan kepada UMNO/BN.
Kerajaan PN (Mac 2020-Ogos 2021) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggantikan kerajaan PH juga tumbang kerana kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat. Kerajaan PN ini juga sering dianggap sebagai sebuah kerajaan gagal.
Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, gabungan UMNO/BN, Bersatu dan Pas menggantikan kerajaan PN dapat bertahan dengan stabil serta berjaya menjalin kerjasama dengan pembangkang dalam Dewan Rakyat. Kerjasama ini dapat bertahan hingga ke saat Parlimen (Dewan Rakyat) dibubarkan untuk PRU15.
Kerajaan pimpinan Ismail Sabri jelas bukan sebuah kerajaan gagal, malah boleh dianggap kerajaan yang berjaya membina kestabilan dalam Dewan Rakyat dan berupaya menggubal serta melaksanakan pelbagai dasar baharu yang disenangi rakyat di bawah slogan Keluarga Malaysia.
Oleh itu, sukar bagi rakyat untuk mempercayai UMNO/BN akan dihukum sekali lagi oleh para pengundi pada PRU15 ini. Sebaliknya, para pengundi akan terus menaruh harapan tinggi terhadap Ismail Sabri yang telah dicalonkan oleh UMNO/BN sebagai Perdana Menteri ke-10 kelak.
Kemungkinan besar UMNO/BN akan meraih sokongan dan memenangi bilangan kerusi Dewan Rakyat melebihi apa yang telah dicapai pada PRU13, sembilan tahun dahulu.
Hasil survei melibatkan 18 kumpulan pengkaji meremehkan kedudukan UMNO/BN yang tersebar baru-baru ini bukan sahaja merupakan satu berita palsu, tetapi juga percubaan untuk memanipulasi persepsi para pengundi menerusi hasil kajian palsu. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Kamaruddin M. Said ialah Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara.










