Sultan Nazrin bijaksana, cetus idea baharu

Sultan Nazrin bijaksana, cetus idea baharu

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (tiga dari kiri) dan Tuanku Zara Salim (dua dari kanan) mengibarkan bendera dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri di Ipoh, baru-baru ini. – UTUSAN/ MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dikenali sebagai sultan berpendidikan tinggi, disayangi rakyat dan amat dikagumi kerana sering melontarkan buah fikiran yang bernas sehingga mencetuskan idea-idea baharu dalam pelbagai aspek.

Baginda diputerakan pada 27 November 1956 dan dimasyhurkan sebagai Raja Kecil Besar Perak pada 16 Februari 1984 dan Raja Muda Perak pada 15 April 1987.

Setelah kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 28 Mei 2014, Dewan Negara Perak mencapai kata sepakat memilih baginda sebagai Sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Perak pada 29 Mei 2014.

Dari segi pendidikan, baginda memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah lima dan menyambung pendidikan darjah enam hingga tingkatan dua di Sekolah St. John, Kuala Lumpur.

Ketika berusia 13 tahun, baginda berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di The Leys School, Cambridge.

Baginda kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi dari Universiti Oxford, diikuti Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang politik, ekonomi dan kerajaan dari Universiti Harvard.

Baginda diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 dan dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah pada 14 Mac 2008 dan seorang puteri, Raja Nazira Safya pada 2 Ogos 2011.

Baginda amat disayangi seluruh rakyat jelata kerana kemesraan tanpa mengira kaum dan agama serta bersikap ambil peduli terhadap semua perkara.

Baginda sering melontarkan pandangan yang bernas merangkumi aspek agama, pendidikan, sosial, ekonomi dan politik, kemanusiaan sejagat malah institusi diraja itu sendiri.

Sultan Nazrin Shah juga sering memberi teguran-teguran membina terhadap ahli politik, agensi dan institusi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan bagi meningkatkan kualiti selain menegur pemimpin yang tidak amanah, menyeleweng dan cuai dalam tugas hingga menyusahkan rakyat jelata. Titah dan teguran yang dilontarkan oleh Sultan Nazrin sering mendapat tempat di muka hadapan akhbar, berita utama di televisyen malah dikongsi netizen di media sosial.

Baginda merupakan seorang sultan yang mempunyai daya intelektual dan budi pekerti tinggi, sentiasa menunjukkan keprihatinan mendalam terhadap nasib serta masa depan rakyat dan negara. Ketinggian daya intelektual baginda cukup terserlah apabila titahnya memberi pencerahan terhadap pelbagai kemelut yang dihadapi masyarakat dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik.

AMIRUL MUKMININ

Selain itu, memelihara keunggulan institusi raja sering mendapat perhatian Sultan Nazrin sebagaimana baginda mengingatkan mengenai pentingnya institusi diraja terus dipelihara. Antara titah baginda yang terkenal mengenai pentingnya institusi raja dipelihara, “Institusi raja bukan cermin lama untuk melihat wajah yang tua sebaliknya sudah termaktub secara perundangan dalam perlembagaan negara.”

Titah baginda, “Takhta perlu bertenaga agar berupaya memenuhi tuntutan dan takhta juga perlu bersifat dinamik untuk bersedia menghadapi cabaran.”

Ini bertepatan dengan konsep raja pemerintah merupakan payung kedaulatan negara dan wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum dan agama serta berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

Dalam pada itu, agama Islam dan istana mempunyai kaitan yang rapat dan dalam hal ini. Sultan Nazrin amat menitik beratkan dan menjaga kesucian agama termasuk mengiktiraf peranan masjid dan institusi Islam seperti Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar berusia 100 tahun.

Berangkat ke majlis sambutan 100 tahun madrasah itu baru-baru ini, Sultan Nazrin bertitah, madrasah tersebut melambangkan pentingnya rangkaian ilmu dan ibadah.

“Pentingnya rumah ibadah tidak hanya tegak sebagai bangunan ikonik yang sepi dalam isolasi, sebaliknya hendaklah dilengkapi dengan institusi keilmuan yang membangunkan modal insan, modal intelek dan modal budaya,” titahnya.

Baginda bertitah, penubuhan Madrasah Idrisiah itu juga mengabsahkan peranan raja Melayu melindungi, memelihara, membangunkan dan mengembangkan Islam.

Kebijaksanaan baginda sudah pastinya hasil didikan ayahandanya, Almahrum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan bonda, Raja Permaisuri Bainun. Malah, baginda menzahirkan rasa bersyukur berayahanda seorang hakim dan berbonda seorang guru yang amat mengutamakan ilmu, disiplin, amanah, jujur, ikhlas, peraturan serta kebenaran dan kepalsuan, lalu berjaya menyemaikan nilai-nilai tersebut ke dalam hati sanubari lima orang didik (anakanda) baginda berdua.

“Nilai-nilai yang disemai oleh ayahanda dan bonda, diperlengkap asuhan guru, telah membina keyakinan dalaman, mengukuhkan diri beta untuk berdiri atas kalam kebenaran, bersuara atas hakikat kenyataan,” titah baginda.

Adalah jelas dengan karisma baginda, Sultan Nazrin amat disenangi pelbagai lapisan masyarakat. Baginda menepati peranan amirul mukminin atau pemimpin untuk menyempurnakan amanah dan memenuhi harapan rakyat keseluruhannya.

Daulat Tuanku! – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×