BETAPA pentingnya institusi beraja di negara kita, sekali lagi terbukti dengan peranan dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam menangani krisis politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15 lalu, sebanyak 82 kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), 73 kerusi oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan (Warisan) tiga kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) satu kerusi dan Bebas dua kerusi.
Kegagalan blok atau gabungan parti politik untuk mendapat majoriti mudah, iaitu 112 kerusi menyebabkan berlakunya Parlimen tergantung. Boleh dikatakan terma Parlimen tergantung pertama kali digunakan di Malaysia dan sekali gus mengubah landskap politik.
Ketiadaan satu keputusan kukuh antara pemain-pemain politik menyebabkan institusi Yang di-Pertuan Agong dilihat sebagai jalan terakhir untuk menamatkan kebuntuan politik yang timbul. Dalam menangani isu ini dengan cermat dan teliti, keterampilan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Ketua Negara terserlah dengan begitu nyata.
Kita sedia maklum, pemerintahan negara ini adalah berlandaskan sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan. Sebagai undang-undang tertinggi, Perlembagaan Persekutuan menggariskan dengan begitu jelas akan peranan dan kuasa raja-raja Melayu terutama institusi Yang di-Pertuan Agong.
Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan perkara tersebut, beberapa fungsi dan peranan penting turut digariskan bagi institusi Yang di-Pertuan Agong yang diwujudkan pada 1957 itu.
Antaranya, Perkara 39 memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan adalah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong.
Maka, dalam melaksanakan fungsinya, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kearifan dan kebijaksanaan Seri Paduka untuk membantu melahirkan sebuah kerajaan baharu yang stabil dan kukuh, sepertimana dimahukan oleh rakyat jelata yang terkesan akibat Covid-19 dan krisis ekonomi global berpanjangan.
Ini bukanlah kali pertama Seri Paduka berbuat sedemikian. Bahkan sewaktu kemelut politik tercetus pada Februari 2020, Seri Paduka sudah pun menunjukkan kewibawaan dalam menangani masalah negara. Ekoran peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh, Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai pengantara dan menemu bual 222 ahli Parlimen secara individu untuk membolehkan Perdana Menteri kelapan dipilih dan dilantik berlandaskan lunas Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Kita harus tahu, bukan satu perkara mudah untuk menemu bual jumlah orang yang begitu besar dalam tempoh dua hari. Cara menangani isu ini juga menggambarkan Seri Paduka adalah seorang yang telus, jujur dan amanah yang kita semua harus contohi.
BELUKAR
Berbalik kepada senario yang tercetus pasca PRU15, tergambar dengan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong turut berpegang kepada Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, yang mana Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. Khuatir dengan kebuntuan politik yang boleh mengancam keamanan, kesejahteraan dan kestabilan politik, Seri Paduka memanggil pemimpin gabungan parti politik untuk duduk berbincang bagi menyelesaikan isu tersebut. Namun, sikap segelintir pihak yang seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan ketidaktentuan terus berlarutan.
Maka, Yang di-Pertuan Agong sebagai seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan praktikal mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat raja-raja Melayu dalam usaha meleraikan simpul politik tersebut.
Dalam pada itu, sebagai sosok berjiwa rakyat, acap kali Seri Paduka meluahkan kata-kata menenangkan hati dan pemikiran masyarakat yang agak tertekan akibat ketiadaan satu keputusan yang tetap selepas PRU15. Atas usaha Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu beserta kerjasama pemimpin politik, sebuah kerajaan baharu berjaya dibentuk selepas hampir lima hari berakhirnya PRU15.
Maka amat jelaslah bahawa sistem beraja, warisan negara ini masih penting dan memainkan peranan utama dalam geopolitik negara ini. Walaupun tertakluk dengan perlembagaan, sistem beraja mampu menjadi semak dan imbang terhadap pemerintahan negara ini.
Pandangan segelintir pihak yang mempersoalkan peranan sistem beraja, khususnya keterlibatan institusi Yang di-Pertuan Agong dalam soal pemerintahan negara sewajarnya ditepis bulat-bulat. Jangan diberi sebarang ruang langsung kepada mana-mana pihak untuk mengungkit atau menidakkan peranan sistem beraja yang sudah berakar umbi dalam negara kita berabad lamanya.
Jangan dilupa juga, sekiranya tiada panduan dan sokongan daripada Yang di-Pertuan Agong, kebarangkalian bagi konflik PRU15 untuk terus berpanjangan adalah tinggi dengan pemain-pemain politik bertegang leher tanpa sebarang kesudahan.
Pendek kata, peranan institusi Yang di-Pertuan Agong amat penting dalam pemerintahan di negara kita. Sebagai rakyat, kita seharusnya menjunjung dan menghormati institusi beraja dan Yang di-Pertuan Agong seperti digariskan dalam prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Dengan bertunjangan demokrasi, perlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong, marilah kita bersama-sama membawa Malaysia ke sebuah era yang lebih dinamik, mapan dan berdaya saing. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.










