KEKALAHAN teruk UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah seruan parti itu untuk mereformasikan diri dengan meninggalkan bukan sahaja pimpinan yang terlibat dalam korupsi tetapi juga amalan politik naungan. Akan tetapi, soalan lebih besar ialah bagaimana UMNO memposisikan dirinya dalam arena persaingan pelbagai parti, kini menjadi parti keempat besar dengan hanya 26 kerusi dalam kalangan parti majoriti Melayu selepas Pas (44), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 32 termasuk empat di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PKR (31).
Tidak kira apa yang berlaku di Istana Negara minggu ini, isu pemposisian akan dan perlu didebatkan dalam pemilihan parti UMNO yang mesti berlaku sebelum 19 April ini. Sudah pun muncul suara yang menuntut UMNO untuk balik ke bangku pembangkang dalam Parlimen bagi kali kedua. Kemunculan suara sebegini menunjukkan tekad sebilangan pemimpin dan akar umbi UMNO yang sudi hidup tanpa kelebihan sebagai parti kerajaan.
Ini perkembangan yang baik kerana UMNO sebagai parti besar tertua di tanah air tetap diperlukan untuk memberikan pilihan kepada pengundi terutamanya Melayu-Muslim. Politik tanah air tetap perlukan parti nasionalis/konservatif yang bersifat nasional dan dapat mendampingi semua komuniti dan lapisan masyarakat.
Berita berkaitan:
Pilihan UMNO pasca PRU15 terbahagi kepada dua peringkat. Pertama, menyertai kerajaan campuran sebagai rakan kongsi muda atau kekal sebagai pembangkang atas perjanjian kepercayaan dan pembekalan (CSA). Kedua, sama ada menyertai kerajaan campuran atau sebagai pembangkang dengan CSA, patutkah ia berkerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) 82 kerusi atau Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi?
MENYERTAI KERAJAAN?
Kebaikan utama untuk menyertai kerajaan ialah menikmati segala kelebihan parti kerajaan, daripada pengaruh dalam dasar kerajaan sampai ke peruntukan khas untuk wakil rakyat parti kerajaan. Keburukan utama ialah rakan kongsi muda dalam kerajaan campuran akan kehilangan identiti dan kredibiliti dalam pilihan raya akan datang.
Untuk segala kejayaan kerajaan campuran, selalu rakan kongsi kanan sahaja akan dikenang jasanya. Sebaliknya, rakan kongsi muda tumpang kemarahan rakyat apabila kerajaan gagal.
Ini yang berlaku kepada Parti Liberal Demokrat (Lib-Dem) di United Kingdom kerana menjadi rakan kongsi muda kepada Parti Konservatif dalam kerajaan campuran 2010-2015. Lib-Dem memenangi 57 kerusi pada 2010 dan merosot kepada lapan kerusi (2015) berbanding 46-62 kerusi dalam tiga PRU sebelum 2010. ‘Kecederaan’ Lib-Dem masih belum pulih sehingga hari ini dengan hanya memenangi 12 dan 11 kerusi pada PRU 2017 dan 2019 selepas kembali sebagai pembangkang.
Kembali kepada tanah air, apabila kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dikecam sebagai ‘kerajaan gagal’ oleh rakyat dan UMNO pada pertengahan 2021, UMNO rasa terperangkap kerana satu perempat menteri dalam ‘kerajaan gagal’ adalah ahli UMNO.
PEMBANGKANG BERSTATUS CSA?
Kelebihan sebagai pembangkang ialah ia dapat menawarkan alternatif jelas kepada parti kerajaan dan meraih undi daripada rakyat yang tidak puas hati dengan kerajaan. Kekurangan sebagai pembangkang, sehingga 2020-2021, ketiadaan kedua-dua peruntukan kawasan yang senilai dengan wakil rakyat parti kerajaan serta peluang mempengaruhi polisi dan undang-undang dibuat.
Ini berubah dengan munculnya CSA yang cuma mengkehendaki pembangkang yang terlibat mengekalkan kerajaan dalam undi kepercayaan dan belanjawan. Mereka bebas mengkritik dan menolak undi kerajaan dalam semua perkara lain yang tidak menjatuhkan kerajaan.
CSA ditandatangani antara UMNO dan PH di Perak pada Disember 2020 selepas kedua-dua bergabung tenaga dan menjatuhkan Menteri Besar dari Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang diberi peruntukan yang sama dan penyertaan dalam jawatankuasa dasar peringkat daerah.
Dengan perjanjian persefahaman (CSA pada intinya) antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH pada September 2021, bukan sahaja 90 ahli Parlimen PH menerima peruntukan kawasan senilai, malah semua ahli Parlimen bukan menteri dapat lebih pengaruh dalam penggubalan undang-undang, belanjawan dan dasar dengan reformasi Parlimen.
Apa yang UMNO akan dapat sebagai pembangkang CSA terpulanglah apa yang diminta dan apa yang sanggup diberi oleh PN atau PH. CSA ini boleh merangkumi pemencaran kuasa supaya negeri-negeri pimpinan UMNO di Johor, Melaka dan kalau bekerjasama dengan PH, Pahang boleh mendapat lebih kuasa untuk membenarkan kerajaan negeri lebih berjaya dan terserlah dalam pentadbiran.
PN ATAU PH?
Sama ada sebagai rakan kongsi muda dalam kerajaan campuran atau pembangkang dengan CSA, UMNO akhirnya mesti memilih antara PN atau PH. Ini berpulang kepada perhitungan UMNO tentang persaingan dengan parti-parti pimpinan Melayu yang lain dalam PRU masa depan.
Sekiranya UMNO bersedia membahagi-bahagikan kawasan Melayu dengan Pas dan Bersatu, terutama berundur dari negeri-negeri Utara sepertimana perjanjian antara UMNO Sabah dan GRS, maka ia akan menjadikan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) di kawasan campuran sebagai pesaing utama.
Jika ini rancangannya, menyertai PN sebagai rakan kongsi muda adalah pilihan paling rasional. Ini bermakna UMNO terpaksa menerima kekuatan maksimumnya 44 kerusi, iaitu 26 kawasan yang dimenanginya ditambah dengan 18 kerusi yang UMNO kalah di tangan PKR dan Amanah sekarang.
Sebaliknya, jika UMNO ingin bersaing dengan PN, sekurang-kurangnya merebut balik 17 dan 10 kerusi yang dirampas Bersatu dan Pas kali ini, maka lebih selamat untuk UMNO menjadi pembangkang dengan CSA kepada PH, disusuli pilihan rakan kongsi muda dalam kerajaan campuran pimpinan PH.
Dalam sejarah tanah air, Pas dikekang sebagai rakan kongsi muda dalam BN pada 1974 hingga 1977 sehingga akhirnya hilang kerajaan negeri di Kelantan. Nasib sama juga mungkin menimpa UMNO sebagai rakan kongsi muda dalam kerajaan campuran PN.
Apapun keputusan UMNO sekarang atau selepas pemilihan parti, diharap ia akan kembali berdaya memperjuangkan kemajuan Malaysia dengan imej baharu yang bersih dan reformis. – UTUSAN
PROFESOR Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDSN) di Universiti Sunway.











