SEHARI lagi sebelum proses pengundian berlangsung, persoalan timbul berkaitan peranggu minda para pengundi. Adakah pengalaman pahit pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) boleh dikalahkan oleh pujukan baharu yang dijadikan umpan oleh parti-parti politik yang bertanding pada PRU15 ini?
Apakah pengalaman pahit yang dicetuskan oleh ‘kerajaan gagal’ diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) lalu dengan mudah dilupakan oleh pengundi kali ini?
Jawapannya cukup mudah. Kegagalan menguruskan ekonomi negara, kegagalan menarik kemasukan pelaburan asing, kegagalan menyediakan peluang pekerjaan, kegagalan membela nasib rakyat berpendapatan rendah, kegagalan menangani bencana Covid-19, kegagalan menangani masalah pembelajaran anak-anak secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP), kegagalan membantu golongan peniaga dan usahawan kecil dan sederhana, dan sebagainya tidak mudah dilupakan.
Hampir kesemua kegagalan tersebut secara beransur-ansur selama 14 bulan diatasi oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ekonomi negara semakin pulih dan bangkit semula, keyakinan pelabur tempatan dan asing juga semakin meningkat, peluang pekerjaan meningkat, rakyat berpendapatan rendah terbela, pandemik Covid-19 menjadi reda, mahasiswa dan anak-anak sekolah mendapat bantuan alat peranti untuk pembelajaran dan sebagainya. Ini membuktikan kerajaan pimpinan Ismail Sabri berjaya memulihkan masalah besar dihadapi negara dan rakyat. Ismail Sabri juga berjaya mendapat sokongan pembangkang dalam Dewan Rakyat. Sungguh luar biasa.
TAUKE CINA
Bajet 2023 dibentangkan beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan boleh dianggap sebagai manifesto pilihan raya paling strategik dan bijaksana dijanjikan oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri. Bajet ini perlu dibentangkan semula dan diluluskan oleh Dewan Rakyat jika Ismail Sabri dan UMNO/Barisan Nasional (BN) diberikan kepercayaan untuk membentuk kerajaan baharu kelak. Bajet 2023 ini bukanlah janji atau manifesto kosong tetapi pelan tindakan konkrit berdasarkan agihan bajet yang sah dan berwibawa, dan boleh dilaksanakan dengan jayanya kelak.
Tidak dapat dinafikan pengalaman pahit pasca PRU14 dan janji baharu dibuat PH, PN dan Gerakan Tanah Air (GTA) tidak mungkin dapat mengatasi prestasi dan pelan tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri kelak. Hal ini bukan hanya melibatkan pengundi Melayu, bahkan pengundi bukan Melayu yang turut menderita sepanjang era pasca PRU14.
Golongan tauke Cina juga nampaknya mulai bertukar arah dan menyokong BN. Kesemua pengundi turut mengharapkan terbentuknya sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti besar dalam Dewan Rakyat, stabil dan benar-benar berupaya melaksanakan pelan tindakan yang memberikan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.
Inilah peranggu minda yang akan dibawa oleh para pengundi terutama pengundi atas pagar, pengundi muda dan pengundi baharu ketika mereka pergi ke pusat mengundi, esok. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Kamaruddin M. Said ialah Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara.










