TIADA lagi istilah ‘kubu kuat’ Barisan Nasional (BN) di Pahang setelah parti itu gagal memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu. Kegagalan itu tentunya merupakan kejutan buat pimpinan BN yang menyasarkan menang sekurang-kurangnya 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sasaran itu nyata meleset apabila BN hanya menang 16 kerusi DUN, kurang satu kerusi berbanding Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 17 kerusi dan lapan oleh Pakatan Harapan (PH). Jika dibandingkan pada PRU14 ketika tsunami politik berlaku, BN masih mampu mempertahankan kerajaan negeri kecuali Perlis waktu itu tumbang kepada PKR.
Kali ini, tsunami Melayu lebih dahsyat sehingga pertama kali dalam sejarah, kerajaan negeri tergantung ekoran tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak kerana bertanding dua kawasan berbeza menang dengan majoriti 1,223 undi mengalahkan calon BN, Ho Fong Mee bagi kerusi DUN Cheka. Kejutan turut berlaku apabila BN gagal mempertahankan kerusi DUN Sungai Lembing dan Lepar yang tidak pernah tewas sebelum ini.
Calon BN, Datuk Umor Arbain Dollah (Sungai Lembing) dan Datuk Abd. Rahim Muda (Lepar) terpaksa akur menerima kenyataan gagal mempertahankan kerusi terbabit.
KEJUTAN
Dua calon PN, Mohd. Yazid Mohd. Yunus menang dengan majoriti 419 undi di Lepar manakala Ayub Asri memperoleh 6,962 undi di Sungai Lembing. Kerusi DUN Pulau Manis dalam kawasan Parlimen Pekan juga gagal dipertahankan BN apabila penyandangnya, Datuk Khairuddin Mahmud hanya memperoleh 9,133 undi manakala calon PN, Rafiq Khan mendapat 13,064 undi.
Nasib sama turut menimpa BN di DUN Kuala Sentul apabila calon PN, Datuk Jasri Jamaludin memperoleh 6,016 undi sekali gus mengalahkan calon BN, Khairuddin Ali, 5,775 undi.
Menteri Besar yang juga penyandang kerusi DUN Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (BN) pula menang dengan majoriti 6,983 undi mengalahkan calon PN, Dr. Abdul Rashid (3,108) undi manakala calon PH, Ismail Mohd. Hussin (1,465 undi).
Pada PRU14, BN bertanding di semua 42 kerusi DUN di Pahang, menang 25 (UMNO 24, MCA 1) manakala PH (9) dan Pas (8).
Kejutan juga berlaku membabitkan kerusi Parlimen apabila PN menang tujuh kerusi termasuk di kubu kuat BN sebelum ini iaitu Kuantan, Kuala Krau, Maran, Jerantut, Rompin, Indera Mahkota dan Temerloh. BN hanya menang lima kerusi iaitu Pekan, Lipis, Bera, Paya Besar dan Cameron Highlands, manakala PH, Raub serta Bentong.
Difahamkan, gelombang perubahan besar-besaran mungkin berpunca daripada tsunami Melayu bersama anak muda memilih tidak menyokong BN.
Di Kuantan misalnya, pengundi baharu dan kali pertama memilih PN apabila calon kurang dikenali, Wan Razali Wan Nor menewaskan penyandang Fuziah Salleh (PH) dan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ab. Hamid Mohd. Nazahar yang cukup dikenali di kawasan terbabit.
Situasi politik ketika ini dilihat seimbang kerana tiada parti yang memperoleh majoriti mudah sekali gus perlu bergabung bagi membentuk kerajaan negeri. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pahang.










