PANDEMIK Covid-19 yang kini berada pada fasa endemik meninggalkan kesan dalam kehidupan kita. Virus bukan setakat meragut ribuan nyawa, malah mengubah landskap hidup rakyat.
Kehidupan semakin mencabar, termasuk penduduk di negara-negara maju berhadapan situasi sama.
The Borgen Project dalam of Covid-19 on Poverty in the UK melaporkan sehingga Jun 2021, seorang daripada lima rakyat United Kingdom (UK) perlukan bantuan. Laporan sama sehingga April 2022 mencatatkan 91 peratus daripada golongan dewasa mengeluh kesan kenaikan kos sara hidup.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporannya menyatakan, keluarga miskin B40 sudah mengembang kepada B60. Ini bermakna enam daripada 10 rakyat Malaysia sudah jatuh miskin.
Jumlah ketua isi rumah yang susah bertambah kepada 145,000 tahun ini berbanding 45,000 pada 2019, iaitu satu angka yang perlu diberi perhatian serius. Golongan rentan mengharapkan sumbangan makanan asas untuk meneruskan kehidupan harian. Rakyat yang terkesan hingga hilang punca pendapatan perlukan bantuan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium pasca Covid-19.
Program Bantuan Bakul Makanan yang dilaksanakan pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar diteruskan kerana masih ramai rakyat memerlukan. Seorang penghuni Perumahan Rakyat Termiskin (PRT) di ibu negara, Ameenah Bibi Ali Mahmuud mengakui sumbangan makanan ketika PKP sangat bermakna. Agihannya cukup menyentuh perasaan dan dapat dirasakan bahawa pemimpin begitu peka dengan masalah rakyat.
Kini rakyat mengeluh kerana barang makanan naik harga. Kehidupan lebih tertekan apabila bayaran balik pinjaman meningkat kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
BELANJAWAN
Menangani masalah itu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) sering kali menyarankan kepada kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi menangani kesusahan rakyat menerusi pakej bantuan bersasar.
Keluarga yang terkesan tidak boleh menunggu peruntukan daripada belanjawan yang mengambil masa lama. Keperluan mereka untuk meneruskan hidup perlu tindakan segera.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium pasca Covid-19. Ini bagi membolehkan rakyat yang terkesan membabitkan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberi kelonggaran dengan tidak perlu membayar pinjaman pada tempoh tertentu. Pengecualian itu kata beliau, memberi nafas semula kepada mereka untuk memulakan hidup selepas berhadapan situasi mencabar sepanjang Covid-19, dua tahun lalu.
Bagi membantu kerajaan menangani masalah rakyat, sekumpulan penyelidik MPN terdiri daripada ahli akademik, pakar sosial dan ekonomi turun padang meninjau penderitaan rakyat.
Semua laporan hasil kajian mereka dikemukakan pada mesyuarat bulanan MPN sebelum dihantar kepada kerajaan untuk tindakan segera. Maklum balas daripada akar umbi ini membuktikan rakyat masih terkesan dan perlu ada tindakan serta-merta. – UTUSAN
PENULIS ialah Perunding Media dan Pensyarah Komunikasi di Universiti Malaya.










