KETIKA di awal usaha mencapai kemerdekaan hingga kepada pembentukan negara kita, polarisasi kaum merupakan cabaran utama untuk mewujudkan sebuah kesatuan bagi menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia.
Dasar pecah dan perintah Inggeris dipersalahkan kerana mengasingkan kaum mengikut geografi, demografi dan ekonomi hingga sukar untuk mewujudkan persefahaman antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.
Bagi meyakinkan Inggeris untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan meyakinkan mereka bahawa penduduknya boleh bekerjasama adalah dengan mewujudkan pemuafakatan sesama kaum itu terlebih dahulu.
Persatuan Cina Malaysia (MCA) bertanggungjawab menyatukan masyarakat Cina yang berpecah-pecah disebabkan keturunan, puak dan asal usul mereka. Sementara Kongres India Malaysia (MIC) memastikan kebersamaan kaum India.
Dua pertubuhan ini kemudiannya bergabung dengan UMNO bagi membentuk Perikatan dan seterusnya dapat meyakinkan pihak Inggeris untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
Untuk membentuk sebuah negara ia memerlukan kebersamaan dan kesepakatan. Dari situ, kestabilan diperoleh dan seterusnya memberi keyakinan untuk membentuk sebuah gabungan bagi mentadbir negara.
Sejak merdeka dan sekitar enam dekad negara kita ditadbir oleh pakatan yang sama iaitu gabungan UMNO, MCA dan MIC. Dari Perikatan ia bertukar kepada Barisan Nasional (BN) dengan perkongsiannya diperluaskan membabitkan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Namun prinsipnya sama – mentadbir negara melalui perkongsian kuasa.
Formula perkongsian kuasa mengikut parti berasaskan kaum ini nyata berjaya memberi kestabilan politik kepada Malaysia untuk tempoh lebih enam dekad.
Namun ada yang melihat dominasi BN dalam pemerintahan negara sebagai dominasi Melayu ke atas kaum lain. Hingga membawa kepada kemunculan parti-parti baharu yang lebih multietnik atau mewakili semua kaum.
Parti multietnik bukannya tidak pernah dicuba di Tanah Melayu. Pada tahun 1952, Allahyarham Datuk Onn Jaafar telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang keanggotaannya terbuka kepada semua kaum, tetapi tidak berjaya. Parti itu tewas dalam pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur 1952.
Parti yang menang dalam pilihan raya pertama di Malaysia itu adalah Perikatan yang mengamalkan konsep perkongsian kuasa atau pakatan politik. UMNO dan MCA berpakat menentang IMP pada Pilihan Raya 1952 itu. Hasilnya, mereka menang sembilan daripada 12 kerusi dipertandingkan.
Sejak itu, Perikatan dan kemudiannya BN terus mendominasi politik Malaysia sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan ia tumbang kepada Pakatan Harapan (PH)- gabungan PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.
Kemenangan PH pada PRU14 juga berpaksikan kepada perkongsian kuasa. Jelas kita dapat melihat undi pelbagai kaum memberi kemenangan kepada mereka untuk menumpaskan BN.
Namun, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyediakan data yang agak membimbangkan untuk sebuah negara multietnik seperti Malaysia.
Walaupun kerajaan akhirnya berjaya dibentuk melalui kerjasama PH dan BN dengan sokongan parti-parti dari Sarawak dan Sabah, namun analisis keputusan PRU15 menunjukkan pengundian berasaskan kaum semakin meningkat.
Di sebalik alasan untuk membentuk sebuah kerajaan berintegriti, bebas rasuah dan sebagainya, rakyat Malaysia sebenarnya masih berpegang kepada asas kaum dan agama dalam memilih wakil rakyat mereka.
Mungkin mereka terpengaruh dengan corak kempen yang dilakukan oleh parti-parti yang menggunakan rangka kaum dan agama sebagai modal masing-masing.
Berdasarkan kepada analisis keputusan PRU15, Perikatan Nasional (PN) mendapat majoriti undi daripada pengundi Melayu Islam iaitu sekitar 54 peratus. Kebanyakan sokongannya adalah kepada calon-calon Pas yang mana buat pertama kali mereka menang dengan majoriti lima angka di kebanyakan kawasan. Pada 2018 sokongan kepada mereka hanya 32 peratus.
Tetapi PN gagal mendapat sokongan pengundi bukan Melayu (Cina dan India) iaitu sekitar 0.05 peratus sahaja. Maknanya, kejayaan PN menguasai lebih 70 kerusi Parlimen hanya atas sokongan orang Melayu.
Bagi PH, sokongan undi Melayu terhadap mereka rendah iaitu sekitar 11 peratus berbanding 25 peratus pada 2018.
Dominasi PH hanya di bandar dan mereka gagal mendapat sokongan di luar bandar yang majoriti pengundinya adalah Melayu.Sokongan pengundi bukan Melayu terhadap 94 peratus undi Cina dan 83 India.
Bagi BN, walaupun sokongan yang diterima nampak seimbang antara kaum, namun ia hilang kira-kira 10 peratus undi Melayu dan mendapat sokongan 33 peratus dari bukan Melayu berbanding 43 peratus pada PRU14.
Dapatan ini adalah hasil kajian Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (Unari) Universiti Nottingham, Ridget Welsh.
Menurut Welsh, analisis ini menunjukkan dua corak penting – polarisasi kaum dalam pengundian oleh rakyat Malaysia pada PRU15.
Ia cukup ketara di mana majoriti pengundi bukan Melayu (boleh diterjemahkan sebagai pengundi bandar) cenderung memilih PH, manakala pengundi Melayu (majoriti di luar bandar) memilih PN atau lebih tepat lagi Pas.
Walaupun sokongan kepada BN dilihat lebih merentasi kaum atau mewakili kemajmukan di Malaysia namun ia semakin mengecil dan kemungkinan paten pengundian ini akan lenyap pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lima tahun lagi.
Seperti kata Welsh, corak-corak pengundian ini menimbulkan persoalan apakah faktor yang melebarkan lagi polarisasi ini? Adakah situasi sosioekonomi memberi kesan kepada pengundian atau faktor kaum dan agama yang dijaja dalam setiap kempen seperti undi parti tertentu akan masuk syurga.
Perkara ini tentunya tidak elok untuk masa depan negara kita kerana jika dibiarkan ia boleh mencetuskan ketidakstabilan.
Ia menjadi tanggungjawab semua pemimpin sama ada yang menang, mahu pun yang kalah bagi mencari formula untuk merapatkan jurang perkauman dan agama yang kelihatan melebar pada PRU15.
Aznan Bakar adalah Pangarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










