Khemah besar untuk siapa? - Utusan Malaysia

Khemah besar untuk siapa?

Kemenangan dalam dua Pilihan Raya Negeri iaitu di Melaka dan Johor memberi keyakinan kepada pasukan Barisan Nasional yang dipimpin Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendesak diadakan pilihan raya umum lebih awal. – mingguan/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECELARUAN politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) jelas di mana-mana. Daripada kerajaan yang dipilih oleh rakyat ditumbangkan melalui pintu belakang kepada perpecahan – sama ada dalam pakatan mahupun dalam parti politik itu sendiri.
Sebelum PRU Pakatan Harapan (PH) diwujudkan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN). Pakatan itu berjaya meyakinkan rakyat hingga pemimpin BN terduduk tidak percaya mereka tewas begitu teruk.
Majoriti nama-nama besar dalam BN tewas ketika itu. Ada antaranya terus tenggelam sampai ke hari ini. Ramai tidak percaya, tetapi itulah realiti yang perlu diterima. Tetapi kita ingatkan panas sampai ke petang, tidak sangka pula ada hujan di tengah hari. Rupanya pakatan dalam PH tidak sekuat mana. Ia bukan bertunjang kepada perjuangan untuk menunaikan mandat rakyat, tetapi lebih kepada kepentingan peribadi.
Apabila masing-masing melihat peluang untuk mendapat kuasa terbuka maka berlakulah Langkah Sheraton. PH yang ketika itu berura-ura mahu menyambut ulang tahun kedua pemerintahan tumbang. Hanya mampu memerintah selama 22 bulan.
Sebelum PH tumbang bermacam-macam drama dan pelbagai kisah tikam kawan dan tikam belakang kita lihat.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang naik menggantikan PH memang dari awal lagi kita tahu ia sebuah yang lemah. Pakatan mereka bukannya berdasarkan mandat rakyat. Tetapi lebih kepada pakatan untuk mendapatkan kuasa. Disebabkan PN berdiri atas pakatan demi kuasa semata-mata, maka hayatnya juga tidak tahan lama.
Selain itu, ada pula kecelaruan antara PN dan Muafakat Nasional (MN) yang membabitkan UMNO dan Pas. Apabila Pas lebih memilih untuk bersama Bersatu dalam PN, sebahagian pemimpin UMNO tidak berpuas hati. Kerana ketidakpuasan pemimpin UMNO inilah dikatakan membawa kepada tumbangnya PN. Cuma kerajaan sekarang tidak tahu hendak diklasifikasikan sebagai apa. Hendak dikatakan kerajaan UMNO/BN, mereka terpaksa bergantung kepada sokongan Pas dan Bersatu. Jika mahu dikatakan kerajaan PN atau MN rasanya UMNO sudah berpatah arang dengan Pas dan ia juga tidak pernah menyertai PN.
Malah Pas dan Bersatu dikatakan telah kena main dengan UMNO hingga tumbangnya kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri.
Pengalaman diperintah 22 bulan oleh PH dan 18 bulan di bawah PN menyebabkan sebahagian pengundi mula membuka mata dan ramai yang kembali kepada UMNO/BN. Buktinya BN menang dengan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.
Malah BN nampak lebih solid berbanding parti-parti lain dalam menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan.
Melihat UMNO/BN kembali berkokok dan mula menunjukkan taring maka mereka yang duduk di blok pembangkang termasuk Bersatu dan Pas yang berada dalam kerajaan mula memikirkan idea khemah besar.
Jika mahu mematahkan kebangkitan UMNO/BN ini, parti-parti utama lain terutama PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan Pas perlu bergabung dalam satu pakatan yang diberi jolokan khemah besar.
PKR, DAP dan Amanah mungkin tidak ada masalah untuk berkongsi satu bumbung khemah itu. Tetapi lain dengan kedudukan Bersatu kerana sebelum ini ia pernah tikam rakan-rakannya itu ketika di dalam PH. Pas pula seperti kekal dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pakatan yang ada DAP atas alasan kononnya sudah serik ketika bersama dalam Pakatan Rakyat dahulu.
Persoalannya sekarang siapa yang mahu masuk ke dalam khemah besar yang idea asalnya dibawa oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tanpa khemah besar itu katanya, mustahil BN dapat dikalahkan dalam PRU15.
Satu lagi masalah dalam khemah besar itu ialah semua ketua parti menyimpan hasrat mahu menjadi perdana menteri.
Seperti kata bekas Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil, hasrat menyatukan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Anwar dalam satu khemah besar tidak akan berjaya disebabkan semua bercita-cita menjadi perdana menteri.
Ini ibaratnya akan jadi seperti satu kapal dengan tiga nakhoda. Walaupun Dr. Mahathir meletakkan syarat tidak mahu Muhyiddin dan Anwar di dalamnya, tetapi tanpa kedua-dua pemimpin ini khemah yang mahu didirikan itu tidak akan cukup kuat.
Tetapi adakah ini akan memberikan kelebihan kepada UMNO/BN untuk menguasai PRU15? Menurut beberapa penganalisis, ketidaksefahaman dalam kalangan pendukung khemah besar itu bukan bermakna akan memberi kelebihan kepada UMNO BN.
UMNO sendiri bergolak. Walaupun dinafikan, tetapi ia adalah rahsia yang terbuka. Satu pasukan dinamakan UMNO PWTC yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan satu pagi UMNO Putrajaya di bawah Perdana Menteri.
UMNO PWTC mahukan PRU15 diadakan segera. Bagaimanapun pandangan itu berbeza dengan pandangan para pemimpin UMNO yang berada dalam Kabinet. Walaupun dinafikan, namun perbezaan antara dua entiti dalam parti Melayu ini ketara. Perdebatan-perdebatan di media sosial memperlihatkannya.
Yang pasti UMNO sudah tentu tidak akan menyertai idea khemah besar itu kerana yakin pengundi kembali memihak kepada mereka berdasarkan kepada dua PRN sebelum ini. Sebab itu, kem UMNO PWTC mendesak supaya diadakan segera pilihan raya kerana mahukan momentum PRN di dua negeri itu berterusan.
Tetapi perubahan barisan kepimpinan yang berlaku dalam DAP dan PKR baru-baru ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia turut berupaya mengembali sokongan kepada PH.
DAP menyaksikan perubahan pucuk pimpinan apabila Anthony Loke menggantikan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, sementara dalam PKR, Rafizi Ramli yang menang jawatan Timbalan Presiden dikatakan akan menyuntik semangat baharu dalam parti itu.
Cuma penerimaan untuk idea khemah besar itu belum solid kerana masing-masing masih berbekas dengan kesan ‘tikam’ belakang pasca PRU14 lalu. Siapakah yang akan masuk ke dalam khemah besar itu? Dan siapa pula yang akan memimpinnya? Khemah besar ini untuk siapa sebenarnya?

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya