“KENAPA erk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) macam lemau je kat Johor?” tanya seorang sahabat baru-baru ini.
Bila diamati, ada benar juga kata-katanya itu. Poster, bendera dan kain rentang kurang. Ceramah oleh para pemimpin besar parti juga kurang. Hanya beberapa pemimpin masih menggunakan kaedah itu.
Barisan Nasional (BN) memang lebih gemar untuk terus berjumpa rakyat, malah walkabout dan ziarah rumah ke rumah lebih digunakan.
Jika dibandingkan dengan PRU14, jauh bezanya suasana berkempen pada PRU15. Malah, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu jauh lebih meriah.
Mungkin ada beberapa faktor puncanya. Pertama, mood pilihan raya di Johor sudah ‘sampai kemuncak’ pada PRN lalu. Mungkin benar kata seorang sahabat, PRN Johor ‘membunuh’ kemeriahan PRU15 di negeri ini.
Ini kerana jentera semua parti bertanding pada PRN bertumpu di Johor, menjadikan suasana kempen lebih meriah. Aktiviti kempen PRN Johor jauh lebih ‘panas’ tetapi tetap tenang kerana setiap parti berusaha gigih berebut 56 kerusi dipertandingkan. Juaranya, semua sudah tahu, BN menang 40 kerusi.
Situasi kempen agak ‘lemau’ pada PRU15 juga mungkin disebabkan pemimpin dan rakyat sudah penat mengharungi PRN Johor. Ini ekoran jurang masa antara PRN dan PRU agak singkat, iaitu kira-kira enam bulan sahaja.
Rakyat juga seakan-akan kurang memberi tumpuan kerana PRU15 di Johor hanya melibatkan 26 kerusi Parlimen berbanding PRN yang mempertandingkan 56 kerusi.
Trend kempen menerusi pelbagai platform media sosial juga menjadikan suasana lebih ‘panas’ di dalam talian berbanding kaedah konvensional. Justeru, calon-calon memanfaatkan sepenuhnya pendekatan berkempen menggunakan pelbagai aplikasi seperti TikTok, Facebook, Instagram, WhatsApp dan Telegram.
KERING
Cara baharu ini turut ‘membunuh’ suasana PRU15 kerana calon mula selesa berkempen menerusi alam maya untuk menarik sokongan. Tidak hairan, semua parti dan calon bertanding ingin menjadi juara dalam pelbagai platform media sosial. Andai dapat menjuarai sesuatu isu yang dibangkitkan dalam media sosial, tidak mustahil calon-calon berkenaan mendapat sokongan dan undi daripada orang muda.
Kekurangan pemasangan bahan-bahan kempen seperti bendera, poster, kain rentang serta risalah juga menjadikan suasana dan mood pilihan raya kurang dirasai. Mungkin parti-parti dan calon-calon bertanding sudah ‘kering’ bajet kerana baru beberapa bulan lalu mengharungi PRN. Justeru, mereka tidak mempunyai dana besar untuk berkempen secara besar-besaran.
Sekadar cukup mempamerkan lambang parti dan wajah calon bertanding di sesuatu kawasan supaya dikenali pengundi.
Namun, suasana kempen dijangka lebih ‘panas’ dan meriah kerana semua parti dan calon pasti meningkatkan usaha meraih sokongan sebelum hari pengundian, esok. Walaupun kian panas, semua parti, calon dan penyokong diminta tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dan pergaduhan antara satu sama lain.
Rakyat dambakan PRU15 yang aman dan adil! – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.










