PH mula ‘goyang’ di Pulau Pinang?

PH mula ‘goyang’ di Pulau Pinang?

SPRM mengesyaki baki duit RM260 juta dana daripada Pakej Rangsangan Ekonomi digunakan dalam PRN dan PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHATt kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang baru sahaja selesai, Pakatan Harapan (PH) di negeri ini wajar berasa gusar dan goyah untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan sebelum Jun tahun depan. Sesuatu yang pasti, PH Pulau Pinang hampir mustahil dapat mencatat kemenangan besar seperti dilakukan mereka pada PRU14 apabila menang 37 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Baki tiga lagi kerusi masing-masing dua dimenangi Barisan Nasional (BN) manakala satu kerusi oleh Pas. Bagaimanapun, ekoran perubahan politik selepas PRU14, baki kerusi PH di DUN Pulau Pinang ketika ini berkurang kepada 33 selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti menyertai Perikatan Nasional (PN).

Begitupun dengan ‘tsunami Melayu’ pada PRU15 yang menyaksikan PN buat pertama kali berjaya bertapak di kerusi Parlimen Pulau Pinang, senario politik di peringkat DUN juga hampir pasti akan berubah. Keengganan PH Pusat membubarkan DUN di negeri-negeri dikuasai mereka termasuk di Pulau Pinang supaya PRN dapat diadakan serentak dengan PRU15 nampaknya dilihat sebagai strategi memakan diri ketika ini.

Ini kerana keputusan itu ibarat memberi ‘idea’ dan ruang waktu yang panjang untuk pengundi khususnya orang Melayu mempertimbangkan sokongan mereka pada PRN kelak. Orang Melayu hampir pasti mengikut kecenderungan seperti yang ditunjukkan majoriti pengundi kaum itu pada PRU15 termasuk di kerusi Parlimen Pulau Pinang yang begitu kuat kepada PN.

Malah, tidak pernah berlaku dalam sejarah PRU, kubu-kubu kuat BN di Pulau Pinang seperti di Kepala Batas dan Tasek Gelugor, serta kerusi tradisi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir 40 tahun di Permatang Pauh, berjaya ditumbangkan calon PN. Penguasaan PN itu dijangka berterusan apabila PRN diadakan kelak bukan hanya di Pulau Pinang, malah di negeri-negeri lain yang dikuasai PH ketika ini iaitu Selangor dan Negeri Sembilan.

Di Pulau Pinang, daripada 40 kerusi DUN yang ada, sekurang-kurangnya 13 DUN pengundinya merupakan majoriti Melayu manakala 22 DUN majoritinya pengundi Cina. Selebihnya, iaitu lima DUN lagi merupakan kerusi bercampur dengan komposisi kaum yang seimbang.

Mengambil kira tsunami sokongan kepada PN pada PRU15, 13 kerusi DUN majoriti Melayu itu termasuk lima kerusi yang ketika ini milik calon Melayu PH menerusi ADUN PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mustahil mampu dirampas PN.

Perkiraan sebegini sebenarnya pernah dicongak ketika terbentuknya Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas sebelum ini yang dilihat sebagai platform politik terbaik untuk orang Melayu di Pulau Pinang.

Namun, disebabkan MN telah berkubur, maka orang Melayu yang merupakan minoriti di negeri ini kini mempunyai alternatif baharu menerusi PN.

ANGKA 13

Angka 13 mungkin masih jauh untuk mencapai majoriti mudah DUN Pulau Pinang yang memerlukan sekurang-kurangnya 21 kerusi. Namun, PN masih mempunyai peluang menang di lima kerusi DUN bercampur dengan strategi yang betul seperti meletakkan calon heavyweight dan sebagainya.

Peranan dan kemampuan parti bukan Melayu dalam PN khususnya Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi di Pulau Pinang yang mana parti itu pernah berkuasa dan mentadbir kerajaan negeri hampir 40 tahun ketika bersama BN. Sementelah pada PRU15 juga, beberapa calon Gerakan termasuk di kerusi Parlimen bahagian pulau mendapat jumlah undi yang lebih tinggi berbanding calon BN.

Perlu diketahui, PH Pulau Pinang juga hanya mempunyai kelebihan satu kerusi DUN majoriti Cina yang mana bukanlah situasi selesa atau selamat untuk parti itu yakin dapat membentuk kerajaan negeri semula pada PRN kelak. Jika parti komponen bukan Melayu PN khususnya Gerakan mampu mencipta kejutan di kerusi-kerusi majoriti Cina itu, tidak mustahil pengaruh DAP di Pulau Pinang boleh ditumbangkan.

Namun, situasi ini hanya mengambil kira pertandingan dua penjuru antara PH dan PN pada PRN Pulau Pinang tanpa kehadiran blok parti politik ketiga khususnya BN yang boleh menyebabkan persaingan tiga penjuru dan memecah undi. Tetapi jika melihat kepada penolakan besar pengundi terhadap BN pada PRU15 termasuk di Pulau Pinang yang mana tiada satu kerusi Parlimen pun berjaya dimenangi parti itu, tidak keterlaluan untuk dicadangkan supaya BN tidak bertanding pada PRN Pulau Pinang kelak.

Pemimpin BN perlu berjiwa besar dan bermuhasabah dengan kekalahan teruk mereka pada PRU15 dan dengan senario politik semasa yang mana sudah terbentuknya kerjasama PH dan BN di Perak dan Pahang, maka boleh dianggap orang Melayu Pulau Pinang tidak akan memberi peluang kepada BN.

Sementelah, bukankah selama ini pemimpin BN juga sering mengulangi pendirian untuk melihat DAP tumbang di Pulau Pinang? Adalah jelas BN tidak mampu melakukannya sejak kalah pada 2008 dan prestasi mereka juga bertambah buruk pada dua PRU terakhir. Maka adalah lebih baik BN menyerahkan usaha merampas Pulau Pinang itu kepada PN yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk melakukannya.

Untuk lebih dilihat berjiwa besar dan ikhlas dalam melihat robohnya kubu kuat PH khususnya DAP di Pulau Pinang itu juga, pemimpin BN boleh mencadangkan ahli-ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon-calon PN pada PRN kelak. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×