Pastikan tunai manifesto parti-parti

Pastikan tunai manifesto parti-parti

SEBAGAI seorang figura politik yang sedang popular saat ini, Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) haruslah bekerja bersungguh-sungguh dalam menunaikan keseluruhan janji manifesto sebelum tarikh PRU16 tiba. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELESAI sudah isu kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dibentuk kira-kira lima hari selepas keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini merupakan suatu sejarah baharu dalam proses pelantikan seorang Perdana Menteri dan pembentukan sebuah kerajaan pasca PRU di negara kita.

Tanpa diduga, ketua pembangkang yang telah berjuang selama 24 tahun untuk bergelar seorang Perdana Menteri, akhirnya diperkenan oleh Yang-di Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri ke-10, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suka ataupun tidak, pemilihan Anwar turut diperkenan oleh Majlis Raja- Raja yang bersidang pada 24 November lalu, iaitu hari yang sama Perdana Menteri ke-10 diumumkan oleh pihak Istana Negara.

Memetik ucapan pertama Anwar semasa sidang akhbar di Kajang, Selangor pada malam berkenaan, kerajaan yang terbentuk merupakan sebuah kerajaan perpaduan dan bukanlah kerajaan Pakatan Harapan (PH), iaitu parti yang diketuai beliau.

Walau apa pun istilah atau bentuk kesepaduan dieratkan sehingga membentuk kerajaan ini, kita harus memberi fokus kepada kerja-kerja yang perlu dilaksanakan oleh Kabinet ini. Tanpa mengira berapa besar saiz Kabinet yang dibentuk, sewajarnya kerajaan ini menunjukkan kesungguhan mereka dalam bekerja untuk rakyat.

Perkara terpenting yang kerajaan perpaduan ini harus laksanakan adalah dengan membuktikan kemampuan mereka menunaikan janji yang termaktub dalam setiap manifesto bagi parti-parti politik kerajaan, iaitu PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain. Cabaran besar buat kerajaan perpaduan ini adalah mereka terpaksa menyatukan semua manifesto yang telah dijanjikan semasa PRU15 melalui ideologi berbeza ke sebuah gerak kerja pelaksanaan di atas sebuah meja dan ‘kapten’ yang satu. Persoalan sama ada kerajaan ini mampu lakukan ataupun tidak, itu menjadi satu tanda tanya yang cukup menarik dan sensitif.

Bagaimanapun, sebagai seorang figura politik yang sedang popular saat ini, Anwar haruslah bekerja bersungguh-sungguh dalam menunaikan keseluruhan janji manifesto ini sebelum tarikh PRU16 tiba. Keduanya, tugas berat buat Anwar adalah untuk menyatukan sekurang-kurangnya tiga parti politik terbesar dalam kerajaan beliau sekarang. Ini bukanlah suatu kerja mudah kerana telah terbukti sebelum ini bagaimana kerajaan PH yang disepakati oleh PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mampu bertahan selama 22 bulan.

Begitu juga kerajaan Perikatan Nasional (PN) melibatkan Bersatu, BN, Pas dan parti dari Sabah serta Sarawak juga mampu bertahan selama kira-kira 18 bulan sahaja.

STRATEGI

Terbaharu, kerajaan Keluarga Malaysia yang tidak lagi dapat membentuk kerajaan selepas PRU15 kerana parti tonggak di dalam kerajaan tersebut yakni BN telah kalah dan wakilnya tiada majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Justeru, kepakaran dan strategi Anwar akan teruji mulai sekarang tentang bagaimana beliau mampu membentuk sebuah keabsahan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan ini. Adakah beliau mampu bergelar Perdana Menteri ke-10 sehingga tibanya tarikh PRU16, atau nasibnya sama seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

Hakikatnya, rakyat memerlukan dua perkara utama dalam kehidupan ini iaitu kestabilan dan kemakmuran. Ia sama seperti moto yang di bawa oleh BN semasa siri kempen PRU15 lalu – rakyat memerlukan sebuah kerajaan dan senario politik yang stabil agar ekonomi kita dapat berkembang dengan sihat serta positif.

Dengan adanya kerancakan ekonomi yang baik di negara ini, maka kemakmuran hidup bermasyarakat akan dapat digarab dengan disulami keharmonian hubungan antara kaum-kaum utama.

Pokok pangkalnya adalah kestabilan dari segi politik, pentadbiran kerajaan, ekonomi, sosiobudaya dan keselamatan dalam negeri. Tanpa adanya kestabilan ini, maka kemakmuran dalam kalangan masyarakat kita amat sukar untuk dibentuk.

Justeru, bagi Perdana Menteri dan seluruh barisan Kabinet, buatlah yang terbaik untuk agama, bangsa dan tanah air ini. Sayangilah rakyat dan negara melebihi segala-galanya. Jadikan perut rakyat sebagai keutamaan dan masa depan negara sebagai cita-cita sebenar agar kita semua mampu mencapai kestabilan dan kemakmuran yang diharapkan. – UTUSAN

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (Abata) dan pengamal media strategik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×