Nak pilih parti, calon atau manifesto?

Nak pilih parti, calon atau manifesto?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA agaknya kriteria utama yang menjadi pilihan kira-kira 21 juta pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok? Inilah persoalan utama sedang diperdebatkan oleh semua pakar mahupun pemerhati politik. Sudah semestinya ini juga yang sedang bermain dalam fikiran semua parti dan calon bertanding. Ironinya, persoalan ini berkisar tentang pilihan pengundi berdasarkan sejarah perjuangan dan sumbangan politik serta kekuatan parti bertanding, latar belakang serta kewibawaan peribadi calon serta tawaran aku janji melalui manifesto dikemukakan.

Pada ketika ini, para pengundi sedang menilai tiga kriteria utama tersebut sebelum membuat keputusan. Dalam konteks ini, mungkin kita boleh tolak tepi penyokong tegar parti yang hampir pasti sudah membuat pilihan walau dalam apa keadaan sekalipun. Maka tumpuan utama sekarang ialah 7.8 juta pengundi baharu terutama golongan muda dalam lingkungan umur 18 hingga 20 tahun serta kelompok pengundi atas pagar.

Jujurnya, pada ketika ini tiada siapa yang berani meramal apa akan dijadikan sebagai asas pemilihan kelompok pengundi ini. Namun, kita yakin penilaian asas kelompok ini tetap berpaksikan tiga perkara utama tersebut.

Secara lazimnya kekuatan, kestabilan serta sejarah perjuangan dan sumbangan sesebuah parti akan diambil kira dan dinilai oleh pengundi bagi melihat sejauh mana kemampuannya untuk membentuk kerajaan dan melaksanakan amanah serta tanggungjawab jika diberi peluang atau mandat. Dalam hal ini, peranan dan ideologi parti komponen yang menganggotai sesuatu gabungan juga sering menarik perhatian dan menjadi tumpuan para pengundi.

Kriteria kekuatan dan kestabilan parti ini dilihat sangat signifikan khususnya selepas PRU14 yang menyaksikan berlaku krisis politik sehingga negara dipimpin oleh tiga orang perdana menteri. Sudah tentu rakyat ambil iktibar dan tidak mahu krisis seperti itu berulang lantas mahukan sebuah parti yang tiada pergolakan dalaman serta mampu berdiri dengan kukuh untuk mengemudi kerajaan yang bakal dibentuk. Ironinya, kita tidak berdaya lagi untuk berhadapan dengan krisis politik seperti itu kerana menjejaskan proses pemulihan ekonomi negara serta kehidupan rakyat.

Jadi, dalam konteks ini parti yang dapat membuktikan mereka mampu membentuk sebuah kerajaan stabil dengan perancangan jelas dan teliti pasti menjadi pilihan pengundi terutama golongan muda yang semakin muak dengan pelbagai sandiwara politik yang tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Latar belakang serta kewibawaan calon dilihat satu lagi faktor penting akan mempengaruhi pilihan pengundi khususnya kelompok anak muda yang mengundi untuk kali pertama. Hal ini kerana sejak kebelakangan ini kita dapat lihat trend perubahan corak dan pola pengundian sangat ketara di mana pengundi tidak lagi mengundi berdasarkan parti semata-mata sebaliknya calon yang mereka sukai dan yakin boleh melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

POPULIS

Tambahan pula pengundi muda dan baharu tidak terikat dengan budaya kesetiaan kepada sesuatu parti politik yang bertanding. Bagi mereka, apa yang penting ialah calon pilihan boleh bekerja untuk rakyat dan negara serta memenuhi keperluan dan tuntutan mereka. Ringkasnya, budaya mengundi secara membuta tuli berpaksikan sokongan dan kesetiaan kepada parti semata-mata semakin terhakis dan tidak lagi boleh dijadikan senjata ampuh parti bertanding.

Calon-calon yang sedang berkempen perlu menggunakan tempoh masa kempen yang ada untuk membuktikan kepada pengundi bahawa anda memiliki kualiti kepimpinan yang mereka perlukan seperti integriti tinggi serta tidak terlibat dalam sebarang kontroversi. Buktikan juga anda menolak budaya politik kebencian dan mampu berkhidmat untuk semua dengan adil, profesional, jujur dan ikhlas.

Di samping itu, kehebatan calon ketika berkempen merangkumi aspek komunikasi yang berkesan iaitu kemampuan untuk menyampaikan tawaran manifesto dengan jelas serta kebijaksanaan menawan hati pengundi melalui penampilan dan perwatakan matang juga boleh menjadi kriteria penting yang menentukan kemenangan.

Manifesto pula adalah aku janji yang ditawarkan oleh semua parti dengan hasrat untuk melaksanakannya jika diberi mandat oleh rakyat. Pada ketika ini, pengundi dapat menilai secara objektif semua tawaran manifesto bagi menentukan yang mana praktikal serta realistik untuk dilaksanakan serta memenuhi kehendak rakyat dan negara.

Dalam hal ini pengundi perlu bijak menilai sejauh mana tawaran yang dibuat itu mampu dilaksanakan serta adakah ia dapat menangani pelbagai masalah ekonomi dan sosial yang sedang membelenggu rakyat. Hal ini penting kerana kita tidak mahu pengundi terpedaya dengan janji manis bersifat populis yang dikemukakan hanya untuk mengaburi mata demi meraih sokongan bagi membentuk kerajaan tetapi tidak dapat dilaksanakan jika diberi peluang kelak.

Parti dan calon yang bertanding perlu sedar, pengundi semakin celik tentang senario politik di negara kita dan mula menuntut transformasi yang lebih menyeluruh daripada parti bertanding. Justeru, jangan memandang rendah kemampuan penilaian pengundi khususnya golongan muda dan kelompok atas pagar yang akan mengundi mengikut cita rasa dan kepentingan mereka. Ironinya, undi kelompok inilah bakal menentukan jumlah undi majoriti untuk calon pemenang kelak.

Tuntasnya, saya sangat yakin setelah mengambil kira krisis politik yang melanda negara sejak PRU14, pengundi akan memilih parti yang ada gabungan tiga pakej lengkap iaitu tiada masalah dalaman, calonnya memiliki tahap integriti tinggi serta tiada sebarang kontroversi selain menawarkan manifesto yang praktikal dan realistik untuk dilaksanakan. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×