UNDI18, pengundi baharu dan atas pagar orang Melayu beralih banyak kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk Perikatan Nasional (PN).
Jika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dilihat satu tsunami politik terhadap isu-isu penyelewengan, PRU15 pula menyaksikan tsunami yang menyebabkan ‘Malaysia terbelah dua’.
Kecenderungan memilih parti-parti politik mengikut kaum ‘sudah terang lagi bersuluh’ kelmarin.
Realitinya majoriti pengundi Melayu melihat PN serasi dengan mereka sebagai pilihan terbaik. Bahkan, Putrajaya pun bertukar ke Bersatu. Penjawat awam majoritinya Melayu. Apa isyaratnya?
Cara PKR-DAP dikatakan berpolitik kiri. Agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menjadi kritikan orang mereka. ‘Superman DAP’ turut mengeluar kenyataan yang ‘melampau’ sebelum pilihan raya.
Dikatakan sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selepas PRU14, hati jiwa Melayu Islam terguris. Ke mana mereka salurkan undi mereka akhirnya kelmarin?
Kebetulannya, semangat nasionalisme disuntik pula menerusi filem Mat Kilau beberapa bulan lalu.
Swing vote kepada Melayu berhaluan kanan telah berlaku. Ini menunjukkan kesedaran orang Melayu dan Islam. Kebangkitan neo-nasionalisme bentuk baharu ini bukan suatu yang janggal.
Di negara-negara Eropah sudah banyak terjadi. Cuma jarang berlaku selepas satu-satu pandemik melanda.
Barangkali kerana pengundi muda dan atas pagar agak lama duduk di rumah semasa pandemik Covid-19 membadai tempoh hari, 17 bulan semasa kerajaan PN berkuasa. Apa yang disaksikan di skrin telefon bimbit, YouTube dan televisyen kian ‘terbiasa’ dengan wajah dan gelagat Perdana Menteri (PM) kelapan yang juga Presiden Bersatu tersebut. Yang kelihatan doa-doa diungkapkan dan nasihat just stay at home daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu setara selepas 14 bulan berikutnya dihidangkan dengan ungkapan manifesto Bersih (rasuah), Stabil.
GUSAR
Dan realiti politik kebanyakan negara hari ini menyaksikan tidak ada satu pun kerajaan yang dibentuk didirikan tanpa gabungan. Dengan PN meraih 51 kerusi bersama 22 kerusi menggunakan logo Pas berserta Barisan Nasional (BN) 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mewakili 22 kerusi dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, itu sudah mencukupkan 131 kerusi untuk membentuk kerajaan Pusat – jauh melepasi majoriti mudah 112.
Hakikatnya juga kemenangan PN ‘menggusarkan’ pihak tertentu. Sekitar 3.30 pagi semalam, penulis menyaksikan perdebatan kalangan ahli panel dalam satu program televisyen yang menghidangkan hujah agak provokatif. Antaranya, mengumpamakan ‘kerajaan Melayu-Islam sebagai elit politik, tetapi kalau PH menang, dilabelkan kerajaan dambaan rakyat.’
Dan apa yang dibangkitkan PN dalam pecutan terakhir kempen PRU berkisar peringatan umat Islam terhadap ancaman daripada anasir-anasir luar, selain ‘mencanangkan’ liabiliti seorang pemimpin parti, sedikit sebanyak menyedarkan pengundi Melayu. Dan isu-isu ini hairannya tidak kelihatan dibangkitkan oleh BN dalam kempen dua minggu itu. Sebaliknya lebih banyak ‘berlawan’ membangkitkan soal kedudukan jawatan PM ke-10 selain membantai sesama sendiri. Peliknya, isu-isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan kesukaran hidup 22 bulan itulah yang menyuntik kemenangan BN dalam sekurang-kurangnya tujuh pilihan raya kecil pasca PRU14 dan tempoh hari pula dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor.
MANIFESTO
PH kelmarin mengekalkan undi bukan Melayunya tetapi kehilangan undi Melayu. Yang tewas adalah UMNO-BN. Hanya menang 26 daripada 120 kerusi menyaksikan kekalahan paling teruk dalam sejarah. Dan bukan luar biasa untuk presiden mana-mana parti mengambil tindakan terhormat mengundur diri mengambil tanggungjawab. MIC pula menang satu kerusi manakala MCA cuma dua.
Dalam pada itu, PKR hanya meraih 31 daripada 102 kerusi. Bahkan, dalam PH yang memenangi 82 kerusi, DAP menjadi blok terbesar dengan 40 kerusi. PKR yang meraih 49 kerusi berbanding 42 oleh DAP semasa PRU14 kini di kedudukan nombor dua.
Dan parti pemenang terbesar pula adalah Pas. Pas muncul blok utama dalam Dewan Rakyat dengan 49 kerusi, di sisi tonggak PN, Bersatu yang memperoleh 24 kerusi.
Yang harus dijadikan iktibar kepada mana-mana parti apabila berkuasa adalah melaksanakan manifesto yang dijanjikan.
Jangan apabila meraih kuasa sahaja membentuk kerajaan, kerja selepas itu bukan lagi tunaikan manifesto. Tapi lain pula jadinya yang dikerjakan, sibuk cari salah kerajaan terdahulu.
Dendam kesumat menggila dengan kenyataan menggemparkan yang bukan-bukan.
Moga PRU15 yang menutup tirainya malam kelmarin menutup kisah janji-janji palsu, ‘kerajaan pintu belakang, kerajaan tebuk atap’ – sekali gus memacu kestabilan dan kemakmuran Malaysia. – UTUSAN










