Manifesto cantik, harap boleh tunaikan - Utusan Malaysia

Manifesto cantik, harap boleh tunaikan

Pelajar-pelajar menggunakan ruang kelas hibrid pada Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT di SMK Putrajaya Presint 18, pada Ogos lalu. – Mingguan/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU ini, tiga parti utama yang bertanding di dalam PRU15 mengemukakan manifesto masing-masing kepada umum. Manifesto yang baik tentunya yang tidak sekadar menjanjikan bulan dan bintang tetapi menawarkan agenda yang boleh ditunaikan oleh parti dan menjadi keperluan rakyat.
Bagaimana dengan tawaran pendidikan? Selepas melalui pandemik Covid-19 yang menyebabkan sistem pendidikan negara lumpuh apabila sekolah terpaksa ditutup hampir dua tahun, beberapa perkara asas sepatutnya menjadi teras utama dalam manifesto semua parti.
Antara paling utama diperlukan adalah usaha untuk memulihkan kembali pembelajaran murid-murid tercicir sehingga berhadapan dengan kemerosotan penguasaan 3M, meningkatkan semangat dan fokus murid yang semakin hilang motivasi belajar, mengurangkan beban tugas guru serta menambah baik kemudahan sekolah daif.
Mari kita lihat apakah ditawarkan oleh tiga gabungan parti utama berkaitan pendidikan? Umumnya, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menunjukkan kesediaan meletakkan tawaran pendidikan sebagai agenda utama di dalam manifesto masing-masing.
Ini membuktikan pemimpin politik negara ini menerima hakikat agenda pendidikan mestilah menjadi keutamaan jika mahu mendapat perhatian khususnya dalam kalangan ibu bapa dan guru. Jelas ini menandakan kemenangan besar kepada rakyat seluruhnya kerana tanpa mengira parti mana pun, agenda pendidikan tetap menjadi agenda utama kerajaan yang ditubuhkan pasca PRU15.
Bila kita meneliti kandungan manifesto PH, PN dan BN berkaitan pendidikan secara mendalam, terdapat beberapa perkara menarik untuk difahami dan diambil perhatian khususnya para pengundi yang akan turun mengundi pada Sabtu depan.
Pertama, ketiga-tiga parti menawarkan dua agenda besar iaitu penyelenggaraan sekolah dan pendigitalan pendidikan sebagai perkara pokok dalam manifesto masing-masing.Sebagai contoh, PH menekankan soal penyelenggaraan isu sekolah daif. Begitu juga PN yang menetapkan peruntukan RM2.5 bilion setiap tahun selama lima tahun akan datang kepada penyelesaian isu penyelenggaraan sekolah seluruh negara manakala BN pula menjanjikan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan di seluruh negara.
Dari aspek pendigitalan pendidikan, ketiga-tiga parti menyediakan tawaran hampir sama. PN menjanjikan peranti digital percuma kepada murid-murid B40. Begitu juga BN yang menjanjikan komputer riba percuma kepada murid-murid miskin dan B40 seluruh negara.
PH tidak menjanjikan pemberian peranti percuma tetapi lebih memokuskan dahulu usaha pemulihan keciciran pembelajaran murid-murid. Tetapi seperti juga PN dan BN, PH juga menawarkan penyediaan internet 5G di semua sekolah. Selain itu, tawaran secara langsung kepada kebajikan murid juga diberikan oleh ketiga-tiga parti. Misalnya, PH menjanjikan sarapan percuma kepada semua murid untuk memastikan sebelum sesi pembelajaran bermula murid-murid bersarapan.
Selain itu, dijanjikan juga biasiswa pendidikan untuk murid-murid B40. PN pula menawarkan perkhidmatan bas percuma kepada murid-murid miskin dan B40 untuk berulang alik ke sekolah setiap hari. Seterusnya, BN memberikan tawaran menarik iaitu menyediakan pendidikan awal atau pra sekolah secara percuma kepada semua kanak-kanak yang berumur bawah enam tahun.
Ketiga-tiga gabungan parti ini menawarkan struktur agihan kewangan kepada semua jenis sekolah. Secara khusus, PH menjanjikan kaedah peruntukan adil kepada semua sekolah manakala PN pula menjanjikan bantuan pendidikan secara strategik kepada sekolah agama, sekolah Cina dan sekolah Tamil di negara ini.
Cuma BN yang tidak menyatakan secara khusus bagaimanakah bentuk bantuan kepada sekolah negara ini akan diberikan apabila mendapat mandat rakyat. Tentu sahaja rakyat boleh membuat andaian awal bahawa amalan agihan kewangan sedia ada akan diteruskan oleh BN nanti.
Selain itu, satu perkara yang menarik juga adalah tawaran untuk para guru. Sebagai contoh, PH mahu mengurangkan beban kerja guru dengan menyediakan elaun menyokong guru-guru yang melaksanakan pelan pemulihan pembelajaran dan juga penyediaan guru-guru pembantu. Sementara itu, PN pula menawarkan penyediaan Internet berkelajuan laju di dalam bilik guru untuk setiap sekolah dan menyediakan komputer riba percuma kepada semua guru, malah PN turut menawarkan pertambahan kakitangan untuk membantu menguruskan murid-murid khususnya di sekolah padat.
Dalam pada itu, BN menawarkan usaha mengangkat profesion perguruan sebagai pilihan graduan universiti dan berusaha menjadikan kerjaya perguruan berprestasi tinggi dengan memperkenalkan skim khas kepada bakat-bakat terbaik dan menambahkan kuota 10 peratus untuk tambahan perjawatan guru-guru pakar.
Di dalam manifesto tiga parti ini juga ada menawarkan tawaran menarik untuk Pendidikan Khas. Misalnya, PH berjanji menyediakan latihan guru dan infrastruktur yang lebih baik untuk kelas pemulihan khas, menambahkan bilangan kelas serta peruntukan untuk pendidikan khas. PN pula menjanjikan peningkatan kapasiti dan kepakaran di pusat perkhidmatan pendidikan yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan, intervensi dan perundingan kepada kanak-kanak OKU seluruh negara. Bagaimanapun, BN tidak menyatakan secara jelas apakah perancangan yang akan dilakukan berkaitan Pendidikan Khas di dalam manifesto mereka.
Perkara terakhir yang ditekankan oleh parti-parti ini adalah berkaitan pendidikan dan etnik minoriti. PH berjanji meningkatkan latihan dan keupayaan guru di dalam mendidik anak-anak berkaitan bahasa minoriti etnik di Malaysia. Sementara itu, BN pula bersetuju memulakan pengajaran bahasa etnik di semua di peringkat sekolah kebangsaan. Bagaimanapun, PN tidak pula menyatakan apakah agenda khusus yang akan ditawarkan berkaitan bahasa etnik di dalam pendidikan.
Tawaran parti dalam manifesto semuanya dilihat cantik dan menarik kerana ia selari dengan keperluan masa kini. Cuma kepemimpinan PH telah membayangkan, Dr. Maslee Malik akan menjadi Menteri Pendidikan nanti, beliau juga sebenarnya telah bersiap sedia mempunyai Model Baru Pendidikan Negara yang diwujudkan sejak akhir 2019. Tetapi seperti yang kita semua tahu, kepemimpinan BN dan PN juga mempunyai pengalaman begitu luas dalam mentadbir pendidikan negara.
Semoga tawaran pendidikan yang dijanjikan oleh semua parti ini dapat ditunaikan apabila membentuk kerajaan nanti.

Dr. Anuar Ahmad ialah Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN