TEMPOH berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mulai 5 hingga 18 November ini bakal menjadi medan menguji kreativiti calon dan parti yang bertanding untuk menarik sokongan pengundi. Kempen yang bakal dilaksanakan sangat kritikal dan signifikan kerana akan mempengaruhi pilihan pengundi sekali gus menentukan nasib dan kedudukan calon.
Secara umumnya semua calon dan parti perlu mengambil peduli statistik pengundi kali ini, kira-kira 21 juta orang dengan 7.8 juta pengundi baharu termasuk 3.8 juta golongan muda berusia 18 hingga 20 tahun. Hal ini penting bagi memudahkan perancangan kaedah kempen yang hendak diguna pakai mengikut komposisi pengundi.
Selain kaedah berkempen secara konvensional atau tradisional seperti perjumpaan secara bersemuka baik dalam majlis khas atau keramaian mahupun melalui aktiviti ziarah dari rumah ke rumah, kempen secara dalam talian khususnya melalui media sosial dilihat bakal menjadi trend sangat signifikan dalam PRU kali ini. Calon perlu mengkaji dan memahami latar belakang pengundi di kawasan masing-masing supaya boleh melaksanakan kaedah kempen bersesuaian agar semua tawaran manifesto yang dijanjikan sampai ke pengetahuan segenap lapisan pengundi dengan jelas.
Misalnya, untuk golongan warga emas, orang lama dan dewasa, mungkin kaedah kempen bersemuka masih sangat relevan dan menjadi platform terbaik untuk calon memperincikan manifesto. Namun, memandangkan jumlah pengundi khususnya yang kali pertama bertambah secara mendadak, maka calon dan parti bertanding perlu mengambil peluang ini untuk menawan hati mereka melalui taktik kempen yang kena dengan cara kelompok ini.
Dalam hal ini, kita perlu sedar pengundi muda banyak bergantung harap dengan maklumat daripada internet khususnya media sosial seperti Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram.
Justeru, calon dan pasukan kempen perlu memasang strategi yang betul dan tepat untuk mendekati mereka dan menyampaikan aku janji masing-masing secara santai, mudah dan jelas.
Hakikatnya. kita berada dalam era ledakan teknologi maklumat di mana aspek pendigitalan bukan lagi satu opsyen untuk diabaikan. Bahkan hampir semua lapisan masyarakat sudah mula terdedah serta semakin mesra dan selesa dengan pelbagai platform digital dan media sosial baik sebagai medium komunikasi dan perhubungan mahupun perniagaan.
Oleh itu, calon dan parti tidak boleh memberikan sebarang alasan jika gagal mendekati semua lapisan pengundi. Mereka sepatutnya memanfaatkan semua platform digital yang ada untuk berkempen dan menerangkan manifesto masing-masing.
Platform media sosial boleh menjadi alat kempen cukup berkesan untuk memancing undi melalui kaedah yang kreatif. Banyak kelebihan, antaranya dapat menjimatkan kos kempen. Calon juga tidak perlu mencetak terlalu banyak poster dan risalah untuk ditampal dan diedarkan, sebaliknya hanya secara dalam talian.
SABOTAJ
Malah calon dan parti juga boleh menyediakan pelbagai reka bentuk dan corak poster berbentuk infografik yang lebih menarik serta mengikut kesesuaian kumpulan sasaran. Misalnya, boleh menghasilkan poster dengan kandungan berbeza dan bersesuaian mengikut peringkat umur agar mudah untuk difahami oleh segenap lapisan pengundi.
Di samping itu, penggunaan video khususnya aplikasi TikTok yang semakin popular dalam kalangan generasi muda wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh calon untuk mempromosikan diri secara lebih kreatif. Pengundi boleh menilai kehebatan calon dari aspek kemampuan untuk berkomunikasi dan menyampaikan hujah serta strategi dalam menerangkan manifesto yang bakal dilaksanakan. Calon wajar menggunakan aplikasi video untuk berkempen secara langsung di samping menyediakan beberapa siri rakaman bagi dimuat naik dalam platform media sosial.
Kandungan poster, risalah serta video juga cukup mudah untuk disebarkan dalam sekelip mata. Dengan hanya tekan butang share, semua maklumat tersebut boleh dihebahkan sepantas kilat tanpa sebarang kos tambahan dan hanya memerlukan kadar liputan internet yang baik.
Penggunaan media sosial sebagai alat kempen perlu dilihat sebagai amalan norma baharu yang lebih efisien, pantas, mudah serta menjimatkan. Justeru, apa yang diperlukan ialah semua calon merangka perancangan bagaimana boleh mengoptimumkan penggunaan pelbagai platform digital.
Setiap calon sewajarnya ada pasukan media yang efektif bagi menjayakan kempen secara maya ini. Hal ini sangat penting kerana bahan kempen akan dimuat naik dalam media sosial memerlukan sentuhan kreativiti individu yang pakar dalam bidang komunikasi media digital serta reka bentuk dan grafik. Pasukan ini perlu merangka konsep dan kandungan kempen supaya dapat menembusi semua lapisan masyarakat terutama golongan pengundi tradisional berumur 60 tahun ke atas.
Calon dan pasukan kempennya perlu menggunakan peluang yang ada untuk lebih mendekatkan diri dengan pengundi melalui sentuhan peribadi. Ini dapat dilakukan dengan cara membalas komen pengundi dan terus aktif bersosial tanpa terlalu formal. Setiap calon misalnya perlu ada page atau laman Facebook serta akaun TikTok mereka sendiri untuk berhubung dengan pengundi.
Apa pun, tatkala kita cuba bertindak kreatif dalam memancing undi, jangan sesekali terbabit dalam unsur fitnah dan sabotaj terhadap calon lain. Pastikan apa yang keluar dari mulut kita adalah ucapan yang baik, berhemah, beradab dengan maklumat tepat serta betul. Elak juga amalan budaya politik perkauman dan kebencian yang boleh memecahbelahkan rakyat.
Gunakan tempoh berkempen yang ada sebaik mungkin untuk menawan hati pengundi secara jujur dan ikhlas.
Kita berharap semua calon dan parti akan berkempen secara matang dan profesional. Biar pengundi menilai secara objektif tawaran aku janji dalam membuat keputusan pada 19 November nanti. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.










