Jangan main telefon masa khutbah

Jangan main telefon masa khutbah

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada hari Jumaat, kita sering diingatkan sepotong hadis tentang jemaah diminta diam dan memberi tumpuan kepada khutbah yang disampaikan oleh khatib. Jika tidak, sesungguhnya orang itu telah lagha atau sia-sialah pahala solat Jumaatnya.

Ia berlandaskan kepada sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ramai yang menyedari hal ini tetapi mengambilnya secara lateral sahaja. Bagi mereka, yang dilarang hanya bercakap. Lalu ada yang membuat helah dengan tidak bercakap tetapi bermain telefon bimbit baik untuk berbalas mesej WhatsApp atau Telegram atau pun bermain game.

Sering kelihatan terutama anak-anak muda dan golongan remaja yang dengan selamba tanpa rasa gerun bermain telefon semasa khatib membaca khutbah. Tidak terdetik di hati mereka yang perbuatan sedemikian juga termasuk dalam lagha sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas.

Syaitan ‘memperelokkan’ lagi perbuatan itu sehingga ada yang ketagih nak main telefon setiap kali khatib naik mimbar. Inilah yang menjadi kebimbangan kerana hal ini jika berterusan pastinya fungsi dan matlamat khutbah itu tidak akan tercapai.

Ada satu lagi hadis yang berkaitan dengan perbuatan yang lagha dan tidak ada kaitannya sehingga dikategori sebagai boleh menjejaskan tumpuan jemaah kepada khutbah yang disampaikan.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang memegang (bermain) batu maka sesungguhnya dia telah lagha. (Riwayat Muslim)

Perkataan lagha bermaksud perbuatan atau percakapan yang sia-sia atau tidak ada faedah. Imam Ibn Rejab al-Hanbali menjelaskan, di dalam hadis ini, Nabi SAW memerintahkan kepada seseorang agar diam ketika khutbah adalah perkara yang lagha (sia-sia) walaupun hal itu termasuk di dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Irsyad al-Hadith Siri ke-162: Hukum berkata-kata ketika khutbah)

Dengan kata lain, hadis ini menunjukkan bahawa setiap perkataan yang menyibukkan seseorang itu daripada mendengar atau diam ketika khutbah termasuk dalam hukum yang sia-sia.

Adapun diminta orang yang bercakap ketika khutbah untuk diam adalah menggunakan isyarat sahaja.

Ulama tidak khilaf dalam hukum dibolehkan memberi isyarat. Sebabnya di dalam solat ia dibolehkan. Maka ketika khutbah juga dibolehkan dan ia adalah lebih utama untuk dibolehkan (kerana solat adalah perkara lebih besar berbanding khutbah).

Hari Jumaat adalah hari yang amat istimewa bagi umat Islam dan hari yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Pada hari ini, umat Islam satu dunia tanpa mengira pangkat, bangsa dan warna kulit menunaikan solat Jumaat yang diwajibkan ke atas lelaki yang mukallaf.

Solat Jumaat bukan sahaja berbentuk ibadah seseorang mukmin kepada Tuhannya, ia juga perhimpunan mingguan yang memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya sembahyang Jumaat mempunyai berbagai keistimewaan yang menyebabkannya wajib untuk dilaksanakan secara berjemaah oleh setiap umat Islam yang mencukupi syarat-syaratnya.

MELEPAK

Oleh yang demikian, Nabi SAW amat mengambil berat terhadapnya sehingga baginda memberi amaran keras kepada mereka yang mengabaikan dan mencuaikan sembahyang Jumaat. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa secara mudah meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah SWT akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.” (Riwayat Ibnu Majah)

Selaras dengan itu, khutbah Jumaat adalah cara terbaik menyampaikan maklumat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam. Khutbah juga adalah salah satu daripada lima syarat sah solat Jumaat.

Memang solat kita sah jika terlepas khutbah Jumaat tetapi ia mengurangkan kesempurnaan solat tersebut. Lebih malang lagi, ada orang yang tidak begitu mengendahkan khutbah sehingga ada dalam kalangan mereka masih bercakap-cakap, bermain telefon bimbit dan tidak kurang juga melepak di luar masjid sambil merokok ketika khutbah Jumaat disampaikan.

Untuk itu, para jemaah dikehendaki memberi tumpuan sepenuhnya terhadap khutbah yang disampaikan. Sebab itu, isi kandungan khutbah mengupas isu-isu semasa dan terkini yang berlaku dalam masyarakat dan negara waima isu politik sekalipun. Itulah antara keindahan Islam yang sentiasa memastikan umatnya mendapat maklumat terkini dan tidak hanya sibuk mencari hal berkaitan akhirat sehingga lupakan nasib mereka di dunia.

Jika ibadat seperti membaca al-Quran, berzikir dan seumpamanya pun dimakruhkan bagi orang yang mendengar khutbah, apatah lagi berbual-bual atau bermain-main telefon bimbit.

Bahkan sekecil-kecil perbuatan yang boleh mengganggu tumpuan terhadap khutbah itu pun sudah dikira melakukan perbuatan yang sia-sia dan mengakibatkan kerugian pahala serta kelebihan-kelebihan solat Jumaat.

Para ulama juga sepakat yang afdal (sebaik-baiknya) untuk mereka yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa. (Fath al-Bari)

Bagaimanapun, ada juga keadaan dibolehkan kita beralih tempat sekiranya ia dapat menghilangkan rasa mengantuk atau meningkatkan tumpuan kepada khutbah yang disampaikan.
Ini dijelaskan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: Jika salah seorang dari kalian berasa mengantuk di masjid di hari Jumaat (dalam riwayat al-Tabrani: Ketika imam sedang berkhutbah), maka tukarlah posisi tempat duduknya.(Riwayat Ahmad & Tirmidzi)

Adapun lain-lain perbuatan yang dibenarkan adalah demi maslahat khutbah seperti menutup pintu kerana mengelak gangguan bunyi dari luar yang mengganggu suara khatib, mematikan bunyi deringan telefon bimbit, membetulkan pembesar suara agar khutbah dapat didengar dengan lebih jelas dan yang seumpamanya.

Jabatan Mufti Negeri Johor melalui surat arahan pada 1 Januari 2017 telah menegah dan melarang (makruh) menggerakkan tabung ketika khatib berkhutbah. Ini kerana perbuatan tersebut adalah suatu yang berlawanan dengan apa yang dituntut ke atas jemaah iaitu mendengar khutbah dengan diam.

Datang solat Jumaat tetapi melakukan perkara yang lagha adalah amat merugikan. Ibarat kita bekerja tetapi sampai cukup bulan, kita tidak dapat gaji.
Saidina Ali r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW memberi peringatan yang bermaksud: Bahawa sesiapa yang Jumaatnya sia-sia, dia tidak dapat apa-apa kelebihan dan pahala yang diharapkan daripada Jumaatnya itu. (Riwayat Abu Daud) – UTUSAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×