Jadikan pengangkutan awam lebih mesra rakyat

Jadikan pengangkutan awam lebih mesra rakyat

ISMAIL Sabri Yaakob (empat dari kiri) meninjau keadaan bas pengantara RapidKL selepas merasmikan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, Jun lalu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENANJUNG Tanah Melayu atau juga disebut Semenanjung Emas ibarat jantung yang menjadi teras kepada aliran saraf perhubungan wilayah yang lainnya. ‘Jantung’ yang sihat ini telah membawa kemakmuran kepada rantau ini menerusi kemakmuran jaringan diplomatik dan ekonomi. Pulau Langkawi contohnya, muncul sebagai pelabuhan penting semasa era kerajaan Kedah Tua dalam abad kelapan Masihi (Nabil Nadri, 2020).

Tidak hanya di Kedah, ada lebih banyak lagi tamadun masa lampau yang dihubungkan dengan sejarah yang amat bersistematik dalam menentukan trafik dan perhubungan perdagangan.

Contohnya, Kesultanan Melayu Melaka sehingga wujudnya Undang-Undang Laut Melaka. Berdasarkan penelitian Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (2021), Undang-Undang Laut Melaka telah menjadi asas perlembagaan Malaysia hari ini.

Jaringan pengangkutan maritim Melaka menyaksikan pelabuhan Melaka era itu menerima 2,000 kapal dan sampan setiap hari. Kepesatan perdagangan menghadirkan kira-kira 100,000 rakyat Melaka dan terdapat lebih 84 bahasa dituturkan dan bahasa Melayu menjadi lingua-franca. Undang-Undang Laut Melaka menjadikan Melaka sebagai bandar pelabuhan terkenal di serata dunia.

Semenanjung Tanah Melayu serta di Malaysia Timur terus sahaja berdepan cabaran atau konflik trafik antarabangsa. Contohnya, persempadanan Malaysia-Singapura-Indonesia-Thailand sehingga Filipina dan China. Asia Tenggara sentiasa sahaja memastikan segala isu berkaitan sistem perhubungan dan logistik terus ditangani dengan diplomasi dan bijak.

Menelusuri sistem perhubungan yang kompleks ini, sudah tentu kita ingin melihat Malaysia dapat menyediakan kemudahan sistem pengangkutan terbaik kepada rakyatnya. Kini kita sedang meniti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, apa yang diharapkan rakyat dapat menjalani kehidupan dengan sistem pengangkutan terbaik dan pintar.

Sistem pengangkutan awam sudah tentu menjadi pilihan golongan marhaen khususnya masyarakat pertengahan dan kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita yang disediakan oleh kerajaan termasuklah bas awam, teksi, sistem Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan sebagainya serta terkini menerusi perkhidmatan e-hailing kenderaan swasta berbayar. Sinergi ini menjadikan sistem pengangkutan di bandar-bandar pesat menjadi lebih efisien.

KRITIKAL

Di sesetengah kawasan petempatan, sistem pengangkutan awam terutama bas awam adakalanya amat kritikal apabila berdepan isu ketepatan waktu operasi serta tidak diselenggara. Pasti tidak dapat mengiringi sistem hidup masyarakat yang pantas dan tepat ketika ini.

Aduan berkaitan kelewatan bas juga kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangkakan tempoh perjalanan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan, tambang perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang disifatkannya sebagai ‘mesra rakyat’ adalah mahal.

Keputusan kerajaan menawarkan perkhidmatan percuma selama sebulan bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL pada tahun ini adalah satu percubaan bagi memberikan ruang menang-menang antara pengendali trafik awam dengan pengguna. Pengguna yang hilang percaya lantaran sistem pengangkutan tidak bermutu, mula terarik dengan tawaran tambang percuma ini dan dalam masa sama dapat mengembalikan keyakinan kepada sistem pengangkutan awam negara.

Walaupun dapat memberikan kelegaan sementara kepada penumpang sekitar Lembah Klang, cabaran berdepan kesesakan trafik akibat jumlah kenderaan yang tinggi tidak kira masa khususnya pada waktu puncak menjadikan isu berkaitan kelancaran trafik dan sistem pengangkutan masih lagi menemukan jalan buntu.

Namun begitu, promosi menaiki pengangkutan awam ini tetap sahaja dilanjutkan bersempena pembukaan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu membabitkan perkhidmatan MRT, LRT, sistem transit aliran bas (BRT), monorel serta bas RapidKL.

Selain membantu mengurangkan kos hidup rakyat, Perdana Menteri berkata, pemberian tambang percuma itu juga bertujuan mengurangkan kesesakan jalan awam. Susulan itu, timbul pula perdebatan beberapa pihak yang beranggapan pemberian tambang percuma tidak berupaya menyelesaikan masalah dihadapi pengguna pengangkutan awam dan aspek kualiti perkhidmatan perlu diperkasakan oleh pengendali.

Forum pengangkutan, logistik dan jaringan perhubungan antarabangsa menjadi polemik sejagat tidak sahaja di dalam negara. Baru-baru ini, The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia mewakili negara dalam Persidangan Antarabangsa CILT 2022 bertajuk Logistik atas Permintaan untuk Dunia Esok di Perth, Australia dari 23 hingga 26 Oktober lalu.

Lebih 300 profesional pengangkutan dan logistik dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam program tiga hari merangkumi kira-kira 20 penceramah kebangsaan dan antarabangsa.

Pameran perdagangan berskala kecil turut diadakan. Topik bertemakan BIG Australia daripada pengendali operasi logistik, infrastruktur dan teknologi sokongan kepada e-dagang dan operasi runcit bandar yang canggih kepada inisiatif nasional dan antarabangsa dalam pengangkutan dunia turut diperbincangkan dalam persidangan ini. Jangkaan berkaitan semua mod pengangkutan utama dan berkaitan dengannya turut akan ditangani dan pakar-pakar ini bersedia membantu menasihati serta memberikan perundingan bagi menambah baik sistem pengangkutan sedia ada khususnya di negara-negara anggota. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Majlis Profesor Negara. RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang di Bahasa Dewan Bahasa & Pustaka. (DBP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×