Idea luar kotak selesai kemelut politik negara

Idea luar kotak selesai kemelut politik negara

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terpaksa berhadapan situasi perubahan kerajaan dan kepimpinan yang sangat kerap dalam tempoh 2019 hingga 2022 dan dengan penuh berhemat dan bijaksana dapat menangani serta meredakan semua kemelut politik yang berlaku. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASCA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dikejutkan dengan situasi di mana tiada satu parti politik memperoleh jumlah kerusi Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan sekali gus melakar sejarah baharu dalam sistem pentadbiran negara dengan kewujudan status kerajaan tergantung. Kegagalan pemimpin parti gabungan mendapat majoriti mudah serta mewujudkan satu kerjasama sebulat suara untuk membentuk kerajaan menyebabkan sekali lagi rakyat dan negara bergantung harap kepada kebijaksanaan dan peranan signifikan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam menangani isu ini.

Sekali lagi peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sangat terserlah dalam menangani kemelut pemilihan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10 yang berjaya dimuktamadkan pada 24 November lalu. Strategi yang digunapakai oleh Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perjumpaan dengan ketua parti gabungan untuk mendapatkan cadangan nama serta idea menubuhkan kerajaan perpaduan dilihat cukup berkesan dan sangat bersesuaian selaras dengan kuasa Seri Paduka yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu melantik seorang ahli Dewan Rakyat pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan bagi memudahkan pembentukan kerajaan baharu dikemukakan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah idea luar kotak yang wajar diangkat sebagai detik terpenting membantu meleraikan kemelut yang timbul. Sebagai raja yang sangat prihatin dan mengutamakan kesejahteraan dan perpaduan rakyat, Seri Paduka bijak membaca keperluan untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang stabil dan kukuh sekali gus menjadi formula terbaik menemukan titik persamaan dalam perbezaan ideologi dalam kalangan ahli politik.

Kebijaksanaan dan kewibawaan Seri Paduka berserta nasihat Majlis Raja-Raja akhirnya berjaya meredakan kembimbangan dan keresahan rakyat sekali gus menstabilkan politik dan sistem pentadbiran negara pada ketika ini. Harus diingat, Seri Paduka terpaksa berhadapan situasi perubahan kerajaan dan kepimpinan yang sangat kerap dalam tempoh 2019 hingga 2022 dan dengan penuh berhemat dan bijaksana dapat menangani serta meredakan semua kemelut politik yang berlaku. Kebijaksanaan Seri Paduka dalam membuat pertimbangan dan keputusan yang sentiasa berpaksikan kebaikan rakyat dan negara serta berlandaskan Perlembagaan Persekutuan sangat dikagumi rakyat.

Semua yang berlaku juga menunjukkan Yang di-Pertuan Agong begitu teliti, sangat terbuka dan cukup bijak dalam membuat sesuatu keputusan sekali gus membuktikan Seri Paduka sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang yang ada dan menjadi pelengkap dalam sistem pemerintahan demokrasi di negara kita. Kebijaksanaan Seri Paduka juga terbukti apabila secara berterusan memberi nasihat kepada semua rakyat dan ahli politik, misalnya baru-baru ini mengingatkan semua pihak bahawa “yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua” serta menitahkan agar ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih rakyat sentiasa mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Di samping itu, sebelum ini kita juga dapat melihat kebijaksanaan raja-raja yang lain dalam menstabilkan situasi politik di negeri masing-masing seperti pernah berlaku di Perak, Selangor dan Johor. Kebijaksanaan raja-raja tersebut berjaya mengawal keadaan dan memudahkan pembentukan kerajaan negeri.

Jadi, inilah masa terbaik untuk rakyat terutama golongan muda memahami dengan jelas peranan dan fungsi institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Selama ini kebanyakan kita mungkin hanya membaca dalam buku sejarah di sekolah tentang peranan dan fungsi institusi penting ini, namun kemelut politik yang melanda negara telah menyediakan ruang dan platform terbaik untuk melihat dan memahami dengan jelas. Ringkasnya, dalam senario politik negara yang semakin mencabar ini, peranan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja terbukti semakin terserlah, relevan dan amat signifikan.

Sebagai rakyat, inilah juga masanya untuk kita menzahirkan penghormatan, ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang bertindak sebagai payung negara. Bayangkan apa akan terjadi ketika ahli politik terus bercakaran dan buntu mencari jalan penyelesaian sehingga wujud situasi kerajaan tergantung andai negara ini tidak ada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Dalam konteks ini, besarlah juga harapan kita agar ahli politik tidak secara berterusan membebankan rakyat dan institusi diraja dengan kemelut politik tidak berkesudahan. Sedarlah, ekonomi negara dan kehidupan rakyat perlu dipulihkan segera dengan langkah-langkah lebih berstrategik dan efisien melalui pembentukan sebuah pentadbiran yang stabil, kukuh dan meyakinkan rakyat dan pelabur luar. Henti berpolitik dan mulakan kerja dengan segera.

Marilah kita ambil iktibar dengan apa yang telah terjadi. Biarlah apa yang berlaku itu terpateri kemas dalam lipatan sejarah sebagai panduan kepada generasi akan datang agar tidak mengulangi kesilapan sama. Semoga institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja akan terus memainkan peranan penting dalam menstabilkan politik dan sistem pentadbiran negara sekali gus melindungi kesejahteraan rakyat.

Daulat Tuanku!-UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN