MUKADIMAH
SEGELAS air kosong berisi ais di meja bersebelahan TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD menarik perhatian kami.
Pilihan minuman itu mengundang minat kami tentang bagaimana bekas Perdana Menteri itu menjaga kesihatan pada usianya 97 tahun.
“Ya, kadang-kadang saya minum ais. Kadang-kadang air suam. Depend. Saya nasihat orang jangan minum ais tapi saya minum ais, nak hilangkan sakit tekak,” selorohnya ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MASZUREEN HADZMAN bersama jurufoto, FAISOL MUSTAFA dan juruvideo, MOHD. FIKRI PADIL, di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, kelmarin.
Dalam wawancara bersama negarawan itu, Dr. Mahathir berkongsi aspirasi beliau menerajui Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai satu blok baharu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Beliau turut mengulas isu-isu yang berlegar dalam politik tanah air.
UTUSAN: Bagaimana tercetus kewujudan GTA?
DR. MAHATHIR: Kita dapati orang Melayu masih memikirkan masalah orang Melayu. Mereka tidak percaya orang lain selain Melayu dapat tolong mereka. Mereka banyak masalah seperti kemiskinan. Satu lagi ialah mereka tidak percaya kepada orang lain dan hanya pilih parti Melayu.
Jadi, parti Melayu yang 60 tahun ini adalah UMNO tetapi UMNO menyeleweng. Kalau nak lawan dengan UMNO, parti berbilang kaum tak mungkin menang. Orang Melayu tidak akan sokong parti berbilang kaum. Sebaliknya kalau parti itu parti Melayu, mereka akan sokong.
Sebab itu kita terpaksa tubuh satu parti Melayu lain. Tetapi parti Melayu dalam Malaysia ini bukanlah anti-orang bukan Melayu di negara ini. Selama 60 tahun merdeka, kerajaan dikuasai oleh orang Melayu tetapi orang bukan Melayu tidak ditekan, tidak ditinggal bahkan mereka lebih maju daripada orang Melayu. Jadi, kerajaan Melayu bukan anti-Melayu.
Tinggal lagi orang Melayu yang sebagai pengundi tidak sokong parti lain selain Melayu. Mengambil kira ini, kita menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), pada mulanya sebagai parti Melayu. Kemudian bekerjasama dengan parti-parti Melayu lain. Ada lagi tiga parti lain, ada juga orang-orang yang bergerak dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang khuatir berkenaan masa depan orang Melayu.
Jadi, mereka digabungkan dalam satu gerakan bukan parti tetapi gerakan dikenali sebagai GTA.
GTA pecah belah undi Melayu?
Tidak memecah-belah sebaliknya kita menyatukan orang Melayu. Tetapi bergantung dengan siapa kita pilih. Kita hendak satukan dengan parti-parti pembangkang tetapi mereka yang tak mahu.
Jadi, dalam pilihan raya ini yang betul-betul ada perpaduan ialah GTA. Tetapi yang lain semua okey, cuma kita tidak boleh ada perpaduan dengan UMNO, kerana dia sudah menyeleweng dan terlibat dengan jenayah. Kita nak lawan dengan dia.
Parti-parti lain semua campur-campur, bukan parti Melayu. Mereka multiracial dan mereka tak nak kerjasama dengan GTA, entah tidak pasti sebab apa.
Jangkaan kerusi GTA menang?
Kalau hendak menang kita kena dapatkan lebih daripada 111. GTA tanding 121. Kalau kita menang lebih 111 bermakna kita boleh tubuh kerajaan. Tetapi itu semua terpulang kepada pengundi terutama pengundi Melayu. Ada pengundi Cina yang menyokong kita kerana mereka mahu lihat kerajaan yang baik. Kerajaan yang dapat bangunkan Malaysia dan dalam gerakan ini sudah ada ramai orang yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.
Pejuang kali pertama tampil di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun keputusan tidak memberangsangkan. Kenapa?
Pertama, sebab kerajaan tidak daftar Pejuang sehingga lima bulan sebelum PRN Johor. Jadi, kita ada tempoh lima bulan sahaja. Ketika itu tidak tubuh lagi GTA. Kita lawan menggunakan Pejuang.Tetapi tidak begitu kuat, sebab itu kalah.
Tetapi kali ini bukan Pejuang yang bertanding, yang bertanding GTA tetapi menggunakan (logo) Pejuang kerana GTA tidak didaftar oleh kerajaan.
Kriteria pemilihan calon GTA yang bagaimana?
Sehingga kini politik dikuasai ahli politik dan parti politik. Majoriti daripada rakyat secara langsung tidak terlibat dengan politik walaupun mereka mempunyai pandangan tertentu. Suara mereka tidak didengar. Kita hanya dengar suara orang politik.
Jadi, bila ada GTA, kita memberi suara kepada orang yang memberi pandangan terhadap pentadbiran negara tetapi tidak menjadi ahli politik dan parti politik. Suara mereka tidak berkesan kerana tiada wakil rakyat mereka di dalam Dewan.
GTA jika kita menang, bukan saja orang politik yang mendirikan kerajaan tetapi orang yang tidak ada suara ini seperti NGO, orang perseorangan, ahli akademik, ahli profesional mereka juga ada dalam kerajaan. Dan suara serta pendapat mereka akan diutarakan oleh kerajaan GTA.
‘Sampai tepuk-tepuk meja’
Apa yang berlaku pada Februari 2020?
Pada masa itu, saya ada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi Pengerusi. Tetapi Bersatu tolak saya. Tolak pendapat saya. Saya kata, “Jangan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) lagi, kita tunggu.” Tetapi semua hendak keluar dari PH dan mereka sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi, mereka tidak sokong saya lagi. Bagi saya, kalau kita sudah hilang kepercayaan daripada parti, kita terpaksa letak jawatan.
Satu lagi faktor ialah rancangan Muhyiddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk keluar daripada PH dan bekerjasama dengan UMNO untuk tubuh kerajaan baharu. Itu rancangan mereka, bukan rancangan saya. Muhyiddin kata kononnya rancangan saya. Tetapi saya tengok siapa yang untung. Saya sampai terpelanting keluar sampai tidak jadi perdana menteri (PM).
Takkan itu rancangan saya nak bagi saya jatuh, tidak munasabah.
Yang dapat nikmat jadi PM adalah Muhyiddin dan Mohamed Azmin dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin. Mereka rancang untuk keluar daripada PH dan join UMNO. Bila saya dijemput menyertai mereka, saya tidak boleh kerjasama dengan UMNO. Mereka musuh kita, mereka terlibat dengan jenayah macam-macam. Jadi saya tidak boleh nak join.
Muhyiddin kata dia boleh, saya tanya, “You berani? Sanggup kerjasama dengan UMNO?” Dia kata sanggup kerjasama dengan UMNO. Saya bagi amaran kepada dia, UMNO akan buat sesuatu kepada dia dan seperti mana yang kita tahu, selepas 17 bulan sahaja jadi PM, UMNO tarik 15 orang daripada menyokong Muhyiddin dan Muhyiddin jatuh dan diganti dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mereka berharap kalau saya bersetuju join dengan mereka, seluruh Bersatu akan lompat (keluar PH) tetapi saya kata saya tidak bersetuju. Saya minta bagi masa tetapi mereka kata hendak sekarang ini juga sampai tepuk-tepuk meja. Hendak sekarang ini juga keluar. Saya tidak bersetujulah, tetapi kalau saya bersetuju, sayalah jadi PM. Tetapi saya tidak bersetuju, jadi saya tidak dapat jadi PM, Muhyiddin-lah yang jadi PM.
Rancangan ini memang diusahakan oleh Muhyiddin, disokong oleh Mohamed Azmin dan Hamzah.
‘SANGGUP…WALAUPUN MUHYIDDIN TIKAM BELAKANG’
Tetapi mengapa masih hendak kerjasama dengan Muhyiddin?
Dalam perjuangan kalau kita kenal pasti musuh kita, kita boleh buat penilaian yang mana lebih besar tetapi tidak keras sangat. Dalam PRU14 kita sanggup bekerjasama dengan DAP.
Walaupun DAP adalah musuh saya kerana bagi saya yang merosakkan negara, UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita macam mana pun kena bagi jatuh Najib. Kita tidak bersama dengan parti lawan termasuk DAP untuk jatuhkan Najib, itu adalah strategi.
Saya selalu cakap dengan orang, dalam perjuangan, tambah kawan kurangkan lawan. Jadi, kita nak cari kawan untuk cukupkan bilangan jatuhkan Najib. Kita waktu itu kerjasama, bukan masuk DAP. Kali ini pun antara Muhyiddin dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO. Saya anggap Muhyiddin kurang musuh berbanding Ahmad Zahid. Jadi, nak bagi jatuh
Ahmad Zahid, nak bagi jatuh UMNO, kita kena kerjasama antara parti lawan termasuk yang bermusuh dengan kita pun. Kerana permusuhan mereka itu di peringkat rendah.
Saya sanggup bekerjasama dengan Muhyiddin walaupun latar belakang dia tidak begitu menyenangkan kerana dia tikam belakang saya. Dia yang jatuhkan saya kerana dia mahu jadi PM.
‘DIA PUN ULAR JUGA‘
Salah satu sebab PH enggan kerjasama dengan Tun kerana takut dipatuk ular dua kali dalam lubang sama?
Dia pun ular juga. Dalam mesyuarat PH, saya belum letak jawatan. PH bagi pengakuan saya bebas berhenti bila-bila masa. PH cuma sokong saya. Tetapi bila saya letak jawatan, sepatutnya PH sokong saya. Apabila Yang di-Pertuan Agong (YDPA) minta namakan siapa yang mereka hendak sebagai PM, PH yang dulu sokong saya patut sokong sayalah. Tetapi bagi undi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya Anwar ada cukup bilangan untuk buat kerajaan.
Akhirnya, kita dapati tidak dapat cukup. Dia cuma dapat 92 undi sahaja daripada separuh PH dan saya dapat 62. 62 yang saya dapat itu bukan daripada PH sokong saya.Kalau PH bagi 92 undi kepada saya, saya dapat 154 undi. Dan saya akan jadi PM tetapi yang tikam belakang saya ialah PH. Sepatutnya PH sokong saya tetapi mereka sokong Anwar.
Lepas itu bila kalah, mereka datang dengan Anwar minta saya jadi calon sekali lagi dan mereka akan sokong. Tetapi pada masa itu, walaupun saya dapat sokongan yang cukup tetapi YDPA pilih Muhyiddin jadi PM.
‘DIA GOPOH BILA TENGOK SAYA LAMA SIKIT’
Isu hubungan Tun dengan Anwar lebih berkisar soal jawatan PM. Mengapa Tun tidak mahu serahkan jawatan PM kepada beliau?
Anwar dibawa masuk dalam UMNO (1982), walaupun orang tahu dia tidak memihak kepada UMNO. Tetapi saya bagi dia masuk. Banyak pemimpin UMNO tidak senang waktu itu pasal mereka tahu, kalau Anwar masuk, dialah yang akan jadi PM. Dan sebenarnya apabila dia masuk, saya angkat dia daripada timbalan menteri, jadi menteri, jadi timbalan PM (TPM). Bila jadi TPM, bila saya letak jawatan, dialah jadi PM. Tetapi dia nampak gopoh sikit, dia nampak saya lama sikit (saya tak nampak macam nak berhenti) dia usaha dengan Ahmad Zahid nak bagi saya jatuh. Dia kata saya jadi diktator, kroni macam-macam tuduhan. Jadi, saya bersedia bertanding dengan dia kalau dia hendak jadi Presiden UMNO. Tengku Razaleigh Hamzah pun nak lawan saya, saya tak halang. Dia boleh lawan (nasib baik saya menanglah).
Kalau Anwar nak lawan saya dalam pemilihan pemimpin, saya bersedia. Tetapi belum sampai pada pemilihan itu, polis memberitahu Anwar terlibat dalam kes liwat. Apabila polis beritahu, saya panggil semua pemimpin UMNO untuk dengar taklimat polis.
Dan mereka berpendapat, Anwar tidak sesuai untuk jadi PM dan selepas itu saya adakan mesyuarat tertinggi UMNO sampai 4 pagi kita bagi kepada Anwar pertahankan diri. Dia pertahankan dirinya pada mulanya tetapi kali kedua saya bagi peluang, dia keluar dah tidak sertai (mesyuarat MKT).
Dalam mesyuarat itu, boleh kata ada satu dua orang ahli majlis tertinggi (tidak setuju). Yang lain semua hendak Anwar bukan sahaja dikeluarkan jadi TPM tetapi dipecat daripada UMNO. Itulah sebabnya.
Jadi, dia fikir untuk dapat sokongan orang bukan Melayu dengan itu dia perkenalkan dakwaan kononnya orang Melayu ini rasis dan bekerja untuk orang Melayu sahaja.
Sejak itu, bila kita bercakap pasal orang Melayu, kita dituduh rasis. Itu kerana Anwarlah.
Dalam PRU14, kalau saya tidak ada, orang Melayu tak sokong PH. Jadi, saya tanya dia, dia kena terima saya. Saya boleh jadi PM, selepas itu you ambil alihlah.
Apa manifesto GTA?
Kita nak diri kerajaan yang bersih, cekap dan beramanah. Kita bersetuju dengan pandangan ramai nak lihat sebuah kerajaan baik kepada negara. Bukan kerajaan yang mencuri duit, kerajaan yang menekan, bila ada pegawai yang tak buat ikut arahan kerajaan, mereka dipindah, masuk dalam cold storage. Itu bukan cara kita.
‘BAHANA AMBIL RM200, RM300 SEKARANG’
Apa mesej Tun kepada pengundi?
Undi kerana sayang kepada negara, jangan undi kerana duit. Kalau kita undi kerana duit bermakna kita jual tanah negara kita. Negara kita akan hancur kerana orang yang hulur duit ialah orang yang tidak baik. Orang yang baik tak perlu hulur duit. Saya jadi PM selama 22 tahun kali pertama saya tak keluar duit, saya cuma jumpa dengan orang, bersalam. Saya biasa beritahu kepada Najib, tak payah bagi duit. You jumpa orang, bersalam dengan orang tanya apa khabar. Mereka akan sokong. Itu pengalaman saya.
Parti kita GTA tidak ada duit pun. Kita takkan sogok siapa-siapa. Kalau ambil duit sekarang dapat RM200, RM300 atau RM1,000, kita sebenarnya menjual negara kerana kita beri negara ini kepada penjenayah. Dan penjenayah, dia nak dapat balik duit dia, dia curilah. – UTUSAN










