Derma kerusi roda: Membantu atau membantut?

Derma kerusi roda: Membantu atau membantut?

SEORANG OKU bercerita kepada penulis yang dia menyimpan lima kerusi roda yang didermakan pelbagai pihak tetapi kesemuanya tidak lagi digunakannya kerana rosak. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA hujung minggu, sekiranya ingin ke pusat bandar, saya sering menaiki sistem pengangkutan transit aliran ringan (LRT) dari tempat kediaman. Memandu kenderaan sendiri ke stesyen LRT berdekatan untuk mendapatkan tempat meletak kereta dengan bayaran RM4.30 sekali masuk, bukan sahaja penjimatan munasabah tetapi meringankan tekanan mencari tempat meletak kereta di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan bayaran berlipat ganda. Itu pun kalau ada.

Hal ini sahaja sudah cukup menarik untuk menjadikan LRT pilihan utama. Apatah lagi sebagai warga emas, layak pula mendapat tambang setengah harga untuk LRT ke mana sahaja. Selain mendapat layanan yang baik, pantas lagi ramah, kesesakan lalu lintas serentak dielakkan, hatta mententeramkan perjalanan serta pengalaman seharian.

Sungguhpun begitu, kadangkala terdapat juga pengalaman baharu melihatkan gelagat mereka yang masuk keluar LRT. Ada yang melucukan, ada juga memalukan kerana tabiat yang kurang sopan terutama apabila berebut tempat duduk semasa bersesak-sesak.

Namun pada minggu lalu, buat julung-julung kalinya berasa bimbang bercampur malu.

Bimbang selepas mendengar cerita serta keluhan seorang ibu orang kurang upaya (OKU) yang dibantu kerusi roda elektrik. Malu kerana tidak dapat membantu sebenarnya. Walaupun cukup cekap mengawal pergerakan melalui mesin yang didudukinya, ada sesuatu yang masih tidak kena apabila LRT mula bergerak.

Rupa-rupa mesin tersebut tidak sesempurna serta selamat seperti kelihatan dari luaran. Breknya tidak berfungsi dengan baik, tidak mampu berhenti setempat dan dikawal selamat.

Sungguhpun kelihatan agak baharu pada luaran, namun tidak begitu mengikut yang empunya. Kerusi roda itu sebenarnya sudah berumur.

Mengikut ceritanya, kerusi itu adalah derma daripada sebuah badan amal tidak lama dahulu. Andaian yang lazim bagi hal sedemikian adalah ia suatu pemberian yang terbaik sekali, jika tidak pun yang terkini. Adat memberi biarlah sedemikian, tambahan pula sebagai wakaf atau sedekah jariah menggunakan wang kumpulan awam atau zakat. Agama menggalakkan yang paling baik dalam menyempurnakan amanah.

KUSUT MASAI

Jika tidak elok, jangan memberi kerana tidak akan mendapat apa-apa ganjaran. Mungkin sebaliknya, boleh memudaratkan akibat hati yang telah menebal dan sudah pun mati pada hakikatnya. OKU di bahagian dalaman ini boleh menerbitkan pelbagai sumber gangguan perasaan sedangkan bahagian luaran serba cantik belaka.

Maka terjadilah gangguan kusut masai, terumbang ambing serta tekanan emosi. Semasa pandemik ini diterjemahkan sebagai bencana kesihatan mental tidak kira siapa, di mana atau apa sekali pun, semua terbabit.

Ini juga halnya untuk kes OKU tersebut apabila si pemberi berbohong akan usia kerusi roda berkenaan. Alatan terpakai yang kononnya diakui baharu dan dijual dengan harga serba baharu lagi mahal sebenarnya pembohongan besar-besaran tanpa berasa salah sedikit pun.

Lebih daripada itu, perbezaan harga antara yang baharu dengan barangan terpakai merupakan sumber haram kepada sesiapa yang ‘memakannya’ secara terancang. Ia nampaknya bukan sesuatu yang terasing, tetapi lazim. Misalnya, OKU kenalan di LRT tadi mengakui ada menyimpan lima buah kerusi roda hadiah daripada pelbagai pihak sejak begitu lama. Maksud setiap satu tidak kekal penggunaannya untuk jangka masa panjang kerana setiapnya adalah kerusi terpakai yang dijadikan bahan derma am. Adakah kezaliman kepada kelompok OKU suatu kelaziman berleluasa?

Tiada siapa yang tahu melainkan Yang Maha Esa jua. Kepada yang terlibat, asalkan makhluk lain tidak tahu, boleh sahaja bagi mereka. Maka terus menerus yang menderita adalah golongan OKU yang terpaksa mengeluarkan belanja sia-sia memperbaiki mana-mana bahagian kerusi roda yang tidak berfungsi dengan menggunakan sumber sendiri. Mereka tertipu dan tiada pilihan. Kalau tidak akan lebih merana untuk menjalani hidup tanpa apa-apa bantuan sama sekali.

Hal-hal ini sekali gus membuat kebimbangan terus melambung tanpa henti. Di mana salahnya apabila kumpulan OKU teraniaya bak sudah jatuh ditimpa tangga? Di mana pembelaan dan keadilan? Anehnya, apabila hal ini diberitakan kepada rakan baik yang OKU sekalipun, jarang yang terperanjat.

Seolah-olah telah dijangkakan. Jika demikian, mengapa masih berlarutan seperti hilang kawalan? Atau tidak peduli sama sekali? Ini tanda tanya yang wajar dijawab dan diselesaikan dengan segera. Peristiwa ini boleh tercetus secara spontan dalam LRT sembarang dengan seorang makhluk yang tidak dikenali sama sekali menyatakan yang ini tidak terasing. Malah, lumrah.

Kalau betul, mengapa terpendam? Maka masanya sudah tiba untuk semua bentuk tindakan tidak beretika, apa lagi rasuah ditamatkan untuk menyelamatkan nasib serta maruah OKU. Kerusi roda yang amat membantu tidak sewajarnya membantut akibat sikap tidak bertanggungjawab lagi tidak beretika. Semuanya mampu diperbetulkan melalui iltizam yang kuat. Bersediakah kita? – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×