Calon muda permulaan lebih hebat negara

Calon muda permulaan lebih hebat negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal berlangsung tidak lama lagi. Pada hemat saya, PRU kali ini merupakan paling sengit dan menarik dalam sejarah negara. Bayangkan, lebih 21 juta pengundi baharu dan paling utama, Undi18 bakal menentukan masa depan negara kelak.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 pengundi (5.4 peratus) adalah dalam kalangan berusia 18 hingga 20 tahun.

Antara sebab lain mengapa PRU kali ini bakal terpahat dalam sejarah terhebat negara kita adalah pertembungan empat blok politik berbeza iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA). Ini merupakan pertembungan terbesar dengan kewujudan banyak parti baharu yang berbeza gerak kerja dan hala tuju politik.

Saya ingin berkongsi tiga calon utama yang difikirkan patut diberi peluang dan ruang dalam mengemudi negara. Calon-calon yang saya kemukakan ini datangnya dari pelbagai latar belakang dan parti berbeza.

Calon pertama, Timbalan Menteri Perpaduan Negara merangkap Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.Beliau adalah calon PN di Parlimen Machang, Kelantan. Saya mengenali Wan Ahmad Fayhsal sejak setahun lalu. Orangnya ramah, berpendidikan tinggi dan saya cukup tertarik dengan sikap sopan santun beliau dalam melayani orang ramai tidak kira muda ataupun tua.

Sejujurnya pada peringkat awal, saya antara kalangan mereka yang melihat beliau secara negatif akibat termakan dakyah media sosial dan serangan bertali arus daripada musuh-musuhnya.

Tetapi setelah menonton video-video akademik dan membaca penulisannya, barulah saya tahu bahawa apa yang diperkatakannya sangat relevan dan progresif. Perjuangannya dalam membantu golongan muda terpinggir seperti memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta sekolah vokasional perlu diteruskan oleh sesiapa yang mengemudi negara.

Setelah disahkan sebagai calon PN di Machang di bawah bendera Pas, saya terus mencari ‘peluru-peluru’ musuh dalam menyerangnya. Apa yang saya perhatikan, terdapat tiga peluru (isu) utama mereka untuk dikatkan dengan Wan Ahmad Fayhsal iaitu cetak duit, pempengaruh Haqiem Stopa dan surat sokongan bagi memudahkan berurusan terus dengan kerajaan.

Saya tertanya-tanya, takkanlah ini sahaja peluru-peluru mereka? Tentang cetak duit memang ada dasarnya dalam bidang ekonomi, malah bukan sesuatu yang aneh dan melucukan. Tetapi isu Haqiem Stopa dan surat sokongan? Adakah ini cukup membuktikan beliau perlu ditolak?

Boleh tunjukkan pada saya kes-kes rasuah dan salah laku Wan Ahmad Fayhsal selama berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta Timbalan Perpaduan Negara? Saya masih belum jumpa.

PERBANKAN

Calon kedua, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Saya mengikuti perkembangannya sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 2015 hingga 2018. Anak jati Kelantan lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini ternyata seorang yang begitu arif dalam bidang perbankan dan kewangan Islam. Penulisannya tentang perbankan memang menarik dan wajar dijadikan rujukan para pelajar kita.

Pada PRU lepas, saya antara orang yang sangat berharap agar Asyraf Wajdi menang di Parlimen Pasir Puteh, namun nasib menyebelahi calon Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dengan kemenangan majoriti sekitar 3,000 undi. Saya kagum dengan Asyraf Wajdi kerana sekalipun tewas dalam PRU dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, beliau masih terus bersuara demi kepentingan umat dan negara. Inilah baharu dikatakan pejuang yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah, mengalah jauh sekali.

Pada PRU15 ini, Asyraf Wajdi bertanding di Parlimen Gerik, Perak dan insya-Allah, kejayaan di pihaknya.

Ketiga, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim, juga bekas aktivis pelajar yang pernah mencetuskan kekecohan apabila menurunkan bendera yang memaparkan wajah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu pejabat UMNO, Kuala Lumpur pada 2011. Akibat perbuatan itu, beliau digantung tiga semester di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana mencemar imej universiti.

Waktu itu, ramailah dalam kalangan kita yang mentohmah dan mencerca beliau, namun akhirnya akur dengan apa yang dilakukannya ada kebenaran. Kalau dahulu Adam Adli turunkan bendera bekas Perdana Menteri, hari ini Ketua Hakim Negara pula menjatuhkan hukuman bersalah kepada orang yang sama.

Adam Adli bakal bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya dan saya turut teruja untuk melihat seorang lagi anak muda masuk Parlimen.

Inilah saatnya untuk kita memberi peluang dan ruang kepada wajah-wajah baharu pemain politik tanah air. Sampai bila kita nak hanya muka yang sama? Sampai bila kita hanya membiarkan ahli politik warga emas menentukan masa depan negara? Jadikan PRU15 sebagai permulaan Malaysia yang lebih hebat. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×