BN boleh menang 132 kerusi Parlimen?

BN boleh menang 132 kerusi Parlimen?

TIDAK mustahil Barisan Nasional (BN) mampu menang 132 kerusi Parlimen dalam PRU15 berikutan mood rakyat yang mahukan BN kembali memerintah. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 10 Oktober 2022 membawa kepada tamatnya kemelut membabitkan banyak pihak yang memberikan pelbagai alasan dan hujahan berkaitan tarikh pembubaran Parlimen.

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada tarikh tersebut memberikan ruang kepada parti-parti politik khususnya Barisan Nasional (BN) untuk menetapkan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengumuman calon oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 1 November lalu menimbulkan pelbagai reaksi – gembira, sedih serta kebimbangan dalam kalangan ahli apabila ramai nama besar tidak tersenarai. Di sini, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Gerakan Tanah Air (GTA) dan beberapa parti lain mula melihat BN bakal hilang banyak kerusi.

Namun di sebalik perspektif ini, tidak mustahil sekiranya BN mampu memenangi minimum 132 kerusi Parlimen dalam PRU15. Adakah minimum 132 kerusi ini merupakan jumlah terlalu besar? Terlebih yakin?

Pertama, realitinya sehingga 6 April 2018 ketika pembubaran Parlimen bagi PRU14, jumlah kerusi BN adalah 132 yang mana dalam PRU13, BN memenangi 133 kerusi manakala Pakatan Rakyat menang 89 kerusi.

Kemenangan BN di Teluk Intan dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bertindak keluar parti menjadikan UMNO memiliki 132 kerusi. Ini bermaksud sebelum jatuhnya BN pada Mei 2018 (PRU14), jumlah semasa kerusi BN adalah 132.

Jumlah kerusi ini adalah jumlah kerusi boleh menang dengan mood rakyat terhadap BN negatif ketika itu daripada 157 kawasan marginal majoriti Melayu di seluruh negara. Jadi, PRU15 tidak mustahil minimum adalah lebih 132 memandangkan mood rakyat mahukan BN kembali memerintah.

Kedua, jumlah minimum 132 kerusi Parlimen BN ini dapat dilihat berdasarkan keputusan Pas yang buat pertama kalinya sejak 1957 bertanding melebihi 80 kerusi iaitu 158 kerusi Parlimen.

Malah terpampang dalam akhbar lidah rasmi Pas, Harakah bertajuk 130: Pas Optimis Menang PRU14. Dari manakah angka 130 kerusi yang diyakini Pas daripada jumlah yang ditandingi 158 kerusi?

RANCAK

Ini menunjukkan Pas menyasarkan kerusi semasa kawasan Parlimen BN yang ketika itu memiliki 132 kerusi daripada 157 kawasan marginal Melayu. Justeru, ia bermaksud terdapat 132 kawasan boleh menang yang menjadi sasaran BN dan Pas.

Ketiga, adakah reaksi negatif selepas pengumuman calon PRU15 memberikan kesan kepada BN? Hakikatnya, reaksi protes ini adalah perkara lumrah yang pernah dan sering berlaku kepada parti politik.

Namun dalam konteks BN, protes ini hanya bersifat sementara dan memiliki tempoh bertenang. Umumnya protes ini akan reda selepas tiga hari pengumuman calon apabila beberapa pihak kembali tenang, reda dan berfikir demi masa depan negara.

Ia dapat dilihat dengan jelas selepas tiga hari pengumuman calon, banyak bilik gerakan di pelbagai daerah mengundi kembali dibuka dan semakin rancak. Ia menunjukkan masalah ini tidak akan menjejaskan kemenangan BN.

Keempat, berdasarkan pencapaian BN sejak Januari 2019 sehingga Ogos 2020, terdapat lapan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan BN memenangi tujuh menggunakan logo BN. Kemudian pada September 2020 berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang memiliki 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 38 kerusi dan BN merupakan kerusi terbesar dalam GRS dengan 14 kerusi.

Pada November 2021, berlaku PRN Melaka di mana BN memenangi 21 kerusi daripada 28 yang menjadikan BN memiliki dua pertiga kerusi DUN.

Pada Mac 2022, berlaku PRN Johor di mana BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN juga merupakan kemenangan dua pertiga.

Kesemua ini menunjukkan rakyat telah kembali kepada BN dan tidak mustahil BN mampu memenangi minimum 132 kerusi Parlimen dalam PRU15.

TERUK

Kelima, penolakan rakyat terhadap PH dan PN. Penolakan rakyat terhadap PH dapat dilihat akibat daripada kegagalan serta pelbagai janji palsu yang ditabur kepada rakyat telah disedari dan menjadi teladan. Malah pencapaian PKR dalam beberapa PRK, PRN Sabah (73 kerusi DUN), PRN Sarawak (82 kerusi DUN) dan PRN Melaka (28 kerusi DUN) dan Johor (56 kerusi DUN) secara umumnya amat teruk di mana ia gagal memenangi mana-mana kerusi melainkan hanya satu kerusi dalam PRN Johor dan dua kerusi dalam PRN Sabah.

Mengapa dalam banyak-banyak kerusi DUN di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor, PKR hanya menang tiga kerusi? Pas turut gagal memenangi mana-mana kerusi dalam PRN Melaka dan hanya memenangi satu kerusi dalam PRN Johor, iaitu DUN Maharani. Justeru, ia menunjukkan rakyat sudah kembali kepada BN dan bakal membentuk Kerajaan Persekutuan dengan jumlah kerusi yang besar.

Keenam, dengan kegagalan PH dan PN telah menjadi teladan kepada rakyat untuk tidak lagi memperjudikan nasib negara dan rakyat yang terpaksa menanggung kegagalan berterusan.

Rakyat juga serik dengan terma ‘cuba tukar’ apabila tindakan ini telah membawa bencana kepada negara. Malah ketika harga dan stok ayam, minyak masak dan harga barang meningkat, rakyat tidak lagi turun berdemonstrasi seperti sebelum ini kerana mereka sudah tidak sabar untuk memberikan kembali mandat kepada BN. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohamad Faisol Keling ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×