Bila bendera ‘bulan’ tak berkibar

Bila bendera ‘bulan’ tak berkibar

Barisan Nasional (BN) akan bertanding menggunakan lambang dacing pada pilhan raya negeri (PRN) akan datang. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK seperti siri pilihan raya sebelum-sebelumnya apabila di serata ceruk Kedah kali ini tiada berkibaran dengan banyak bendera berwarna hijau yang di tengah-tengahnya berbulatkan warna putih. Lambang ‘bulan’ yang begitu sinonim dengan ahli dan penyokong Pas tidak digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana Kedah seperti kebanyakan negeri lain bersetuju menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) sebagai taruhan.

Kurang serinya di jalan-jalan raya ketika ini kerana tidak terselit bendera berwarna hijau putih yang selalunya akan menimbulkan kontra di samping warna biru (Barisan Nasional-BN), merah (Pakatan Harapan) atau putih (Parti Pejuang Tanah Air) serta bendera-bendera parti lain. Meskipun tiada bendera Pas, pengaruh parti itu di Kedah dikatakan tidak terhakis dek kerana faktor itu, malah terus membantu jenama PN bagi memenangi hati rakyat terutama pengundi yang akan menunaikan kewajipan masing-masing.

Pada awalnya, Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Menteri Besar ada memaklumkan, besar kemungkinan mereka akan mengikut jejak langkah Kelantan dan Terengganu untuk mengekalkan logo Pas. Namun, hasil permuafakatan dan perbincangan bersama rakan komponen, kepentingan kira-kira 25 peratus pengundi bukan Melayu di Kedah diambil kira untuk meneruskan hasrat mengetengahkan lambang PN.

“Mula-mula kita umum akan guna logo bulan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, depa (UMNO) seronok dan anggap Pas dah ‘terkena.’ Tiba-tiba kita pakai logo PN, depa pening. Ingat kita tak cerdik macam depa,” kata Muhammad Sanusi ketika menerangkan penggunaan lambang PN, baru-baru ini.

Tidak seperti di Kelantan dan Terengganu yang memiliki hanya kira-kira lima peratus pengundi bukan Melayu, Muhammad Sanusi berkata, hasil kajian dan penilaian dibuat menunjukkan pengundi berminat dengan logo menggambarkan banyak parti untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, penggunaan lambang PN sebenarnya masih menimbulkan ‘rungutan’ dalam kalangan akar umbi Pas sendiri kerana warnanya dikatakan seakan-akan mirip BN, selain di hujungnya terkandung perkataan ‘Nasional’ yang mengelirukan. Sebutan ringkasan antara BN dan PN juga sering kali disalah rujuk bila mana seseorang itu sebenarnya mahu menyebut huruf ‘P’ dan bukannya huruf ‘B’ serta sebaliknya.

Setakat ini, sudah dua pilihan raya menguji jenama dan lambang PN di atas kertas undi iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November 2021 dan PRN Johor pada Mac lalu yang menyaksikan nasib tidak menyebelahi mereka. Ramai yang beranggapan kedua-dua negeri itu bukan tempat terbaik untuk mengukur kekuatan PN yang ditunjangi Pas walaupun Johor adalah tempat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding dan terletak pula bersebelahan Melaka.

Mereka menjangkakan Kedah menjadi kayu ukur kepada penggunaan jenama PN kali ini berdasarkan kekuatan Pas di negeri itu yang masih kekal mentadbir kerajaan negeri sehingga ke hari ini selain aura kebangkitan di Perlis yang berjiran dengan Kedah.

AURA SANUSI

Walaupun tidak bertanding di peringkat Parlimen, populariti Muhammad Sanusi yang bukan setakat terkenal dari Bukit Kayu Hitam hingga Serdang, tetapi dari Kedah sehingga Johor dikatakan mampu memberi impak besar kepada keputusan PRU15. Apatah lagi peranan besarnya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat turut memerlukan idea dan strateginya untuk mencorakkan perjalanan PN dan parti itu khususnya dalam menghadapi pilihan raya ini.

Kehadiran beliau dalam siri ceramah PN sepanjang musim berkempen bukan hanya berjaya menarik kedatangan pengunjung, tetapi turut menghangatkan suasana malam yang dingin ekoran kelantangannya berhujah atau menerangkan sesuatu perkara. Meskipun terpalit dengan kontroversi ucapan yang didakwa memperlekeh atau memperkecil kemampuan wanita sebagai wakil rakyat, Muhammad Sanusi tetap mempertahankan kenyataan itu dengan merujuk situasi berkenaan sebagai konteks dalam kawasannya di Parlimen Sik.

“Ceramah saya itu dalam dialek kampung saya (dan) dalam konteks Sik dengan geografi, sosioekonomi, sosiobudaya, geopolitik, bentuk muka bumi, sikap penduduk, kawasan luar bandar, kawasan hutan dan mempunyai jarak jauh.

“Kesesuaian calon yang hendak diundi di Sik itu adalah calon lelaki. Itu satu hakikat, bukan saya seksis,” katanya.

Beliau juga pemimpin PN yang yakin gabungan itu mampu menyapu bersih kesemua 15 kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15 berdasarkan gelombang mahukan PN dan sokongan pelbagai pihak yang ditunjukkan sehingga kini. Bagaimanapun, sama ada PN benar-benar diterima di Kedah dan kemampuan Muhammad Sanusi menarik sokongan rakyat terhadap gabungan itu hanya akan terjawab selepas tamat pengundian pada 19 November ini.

Ketika ini, PN menerusi Pas pada PRU14 lalu berjaya memenangi tiga kerusi Parlimen ditandingi mereka iaitu Pendang, Jerai dan Sik dengan terus menampilkan penyandang masing-masing untuk mempertahankan kawasan tersebut. Selain itu, Pas turut diberi peluang untuk meletakkan calon mereka di kerusi-kerusi Jerlun, Padang Terap, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah dan Baling.

Sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberikan enam kerusi iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim Bandar Baharu. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×