NEGARA menua menurut laporan Perhimpunan Pengusiaan Dunia di Vienna, Austria pada 1982, warga emas didefinisikan sebagai individu berusia melebihi 60 tahun. Dengan bahasa mudahnya, sesiapa sahaja yang lahir sebelum 1962 dikategorikan sebagai warga emas.
Piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menetapkan istilah negara menua apabila 15 peratus penduduknya berusia 60 tahun ke atas. Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 menunjukkan 2.2 juta atau 6.8 peratus daripada 32.4 juta penduduk Malaysia berumur 65 tahun dan ke atas berbanding 1.4 juta atau bersamaan lima peratus pada 2010.
Berdasarkan unjuran tersebut, Malaysia dijangkakan termasuk dalam kelompok negara menua menjelang 2030. Daripada statistik tersebut juga didapati Perak mencatatkan peratusan penduduk tua tertinggi dengan 8.9 peratus, diikuti Perlis dan Kedah masing-masing 7.9 peratus dan Sarawak (7.5%). Kadar peratusan penuaan ini menyaksikan peningkatan mendadak apabila statistik menunjukkan pada 1980, jumlah penduduk dikategorikan dalam kelompok usia tersebut adalah 3.6 peratus, seterusnya meningkat kepada lima peratus pada 2010 dan 15 peratus menjelang 2030.
Di peringkat dunia, Jepun merupakan negara menua tertinggi dengan 29 peratus daripada penduduknya merupakan warga emas. Portugal pula negara menua terpantas di Kesatuan Eropah (EU) dengan kadar penuaan 3.6 peratus lebih tinggi berbanding keseluruhan negara EU. Berdasarkan unjuran semasa, dijangkakan pola berkenaan terus meningkat di peringkat global daripada 14 peratus pada 2021 kepada 25 peratus (2050).
FAKTOR
Ketidakseimbangan antara jangka hayat manusia yang semakin panjang (disebabkan gaya hidup dan kemajuan sistem kesihatan) dengan penurunan kadar kelahiran merupakan faktor utama negara menua. Penurunan kadar kelahiran boleh berlaku akibat pendidikan, peningkatan umur perkahwinan, kos sara hidup, pertambahan bilangan wanita bekerjaya serta perubahan terhadap pemikiran manusia yang membuat pilihan alternatif seperti enggan memiliki anak atau kekal membujang.
Begitu juga migrasi golongan muda ke negara maju turut menyumbang kepada faktor tersebut.
DINAMISME KES MAHKAMAH
Negara menua membentuk kedinamikan baharu belum pernah dialami oleh tamadun dunia. Bukan hanya memberi impak terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara, malah keunikan kes di mahkamah syariah.
Jika selama ini kita hanya menyaksikan pemfailan kes nafkah isteri, nafkah idah dan nafkah anak yang menuntut hak daripada suami/bekas suami atau bapa masing-masing, maka tidak mustahil sedikit masa lagi kita akan mendengar permohonan nafkah usul yang difailkan oleh ibu bapa terhadap anak mereka.
Sehingga kini, mahkamah syariah di Terengganu dan Negeri Sembilan pernah memerintahkan anak memberikan nafkah bulanan serta melunaskan kos perubatan ibu bapa mereka.
Walaupun kes tersebut agak terpencil, namun berkemungkinan trend tersebut meningkat pada masa akan datang. Malah kebertanggungjawaban baitul mal dalam menyalurkan nafkah kepada ibu bapa tidak mempunyai anak atau anak tidak berkemampuan juga berupaya menimbulkan polemik serta perbincangan ilmiah kelak.
Begitu juga halnya dengan pemfailan kes hak jagaan ibu bapa tidak berkemampuan menguruskan diri sendiri, bersendirian, tiada tempat bergantung atau menghadapi keuzuran dijangkakan tiba di kaunter mahkamah, memandangkan kes pengabaian terhadap ibu bapa semakin menular dalam masyarakat. Apatah lagi sejak 2000-an terdapat peningkatan dalam penubuhan pusat jagaan orang tua di seluruh negara sama ada oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu perseorangan.
Menurut rekod, kerajaan turut membelanjakan hampir RM900 juta setiap tahun bagi menyalurkan bantuan dan penjagaan kepada warga tua di seluruh negara, termasuk mereka yang ditempatkan di 15 institusi kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tidak dinafikan, jangka hidup panjang juga memberi kesan terhadap kemesraan hidup dan hubungan berumahtangga. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil permohonan poligami akan bertambah dan kes perceraian juga mengalami peningkatan. Sebagai contoh, semenjak 40 tahun lalu, bilangan kes perceraian dalam kalangan warga emas hanya melibatkan 4.5 peratus berbanding 10 peratus sepanjang 2017 hingga 2021. Jika trend ini semakin berkembang, bermakna lebih banyak tuntutan selepas perceraian akan difailkan oleh pihak terlibat.
Justeru, warga mahkamah perlu bersedia dan dilatih untuk bersikap lebih mesra dan prihatin bagi menyantuni golongan rentan tersebut.
POLISI
Beberapa negara yang mengalami populasi menua ini berdepan dengan kemerosotan produktiviti lantaran penyusutan sumber manusia, sekali gus memaksa pengambilan tenaga kerja dari luar negara. Bezanya kebanyakan negara maju mengimport tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk berkhidmat di negara mereka. Namun, di Malaysia pula lebih banyak menyedut masuk pekerja berkemahiran rendah.
Begitu juga peruntukan belanjawan negara bagi penyaluran bantuan dan kewangan perlu ditambah bagi menyokong kehidupan warga emas tersebut. Pecahan belanjawan bagi aspek kesihatan, pencen, kebajikan dan penjagaan amat perlu dititikberatkan.
IHSAN MENJAGA IBU BAPA
Al-Quran menerusi ayat 36, surah al-Nisa’ memperincikan dengan jelas agar manusia berbuat ihsan terhadap kedua ibu bapa dengan menegaskan: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar serta juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
Allah SWT menerusi ayat tersebut menggunakan perkataan ihsan. Istilah ini sering disempitkan maknanya dengan merujuk kepada perbuatan belas kasihan. Namun menurut Imam Al-Qurtubi, ihsan sebenarnya mempunyai maksud lebih unggul dan ditakrifkan sebagai perbuatan baik yang mencapai tahap maksimum. Tiada yang berhak disyukuri, diperlakukan dengan baik, ditaati melainkan kedua-dua ibu bapa.
Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din juga menyatakan bahawa ihsan merujuk kepada kecemerlangan dalam melakukan sesuatu tanggungjawab. Malah perbuatan ihsan ini mengatasi tindakan yang dilakukan secara adil mahupun makruf. Justeru, walaupun tanpa perintah mahkamah, menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk menyantuni ibu bapa. Sayangi dan kasihilah ibu bapa kerana dengan berkat kesabaran mereka, kita mampu membina harapan dan masa depan. Apatah lagi apabila keredaan mereka menjadi jambatan ke syurgawi yang kekal abadi. – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










